MATIUS 7:13-23

MATIUS 7:13-23 Alkitab Berita Baik (BM)

“Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.” “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara. Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk. Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar. Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.” “Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ”

MATIUS 7:13-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka masoklah kamu dipintu yang sŭmpit, kŭrna luaslah pintu, dan lebarlah jalan, yang mŭmbawa kapada kabinasaan, maka banyaklah orang yang masok kasitu: Bahwa sŭmpitlah pintu, dan sŭsaklah jalan, yang mŭmbawa kapada hidup kŭkal, maka sŭdikit juga orang yang mŭndapat dia. ¶ Ingatlah kamu deripada nabi nabi yang dusta, yang datang kapadamu dŭngan mŭmbuat buat dirinya spŭrti domba, tŭtapi dalam batin marika itu spŭrti sŭrigala yang mŭnŭrkam. Maka deripada pri buah buah kalakuannya kamu akan mŭngtahui dia; adakah pŭrnah orang mŭmŭtek buah anggor deripada pokok duri, atau buah ara deripada pokok onak? Maka dŭmkianlah barang suatu pohon kayu yang baik iya itu bŭrbuah yang baik, tŭtapi barang suatu pohon kayu yang jahat iya itu bŭrbuah yang busuk. Maka tiada bulih pohon kayu yang baik itu bŭrbuah yang busuk, dan tiada bulih pohon kayu yang jahat itu bŭrbuah yang baik. Adapun barang sa’suatu pohon kayu yang tiada bŭrbuah yang baik, iya itu ditŭbang dibuangkan kadalam api. Sŭbab itu deripada pri buah buahannya kamu akan mŭngtahui dia. ¶ Maka bukannya sagala orang yang bŭrkata padaku, Ya Mulana, ya Mulana, iya itu bulih masok kadalam krajaan shorga, mŭlainkan orang yang bŭrbuat kahandak ayahku yang ada dishorga. Maka adalah pada hari itu kŭlak banyak orang akan bŭrkata padaku, Mulana, Mulana, bukankah dŭngan kwasa namamu kami tŭlah mŭngajar, dan dŭngan kwasa namamu juga kami tŭlah mŭmbuangkan bŭbrapa jin, dan dŭngan kwasa namamu juga kami tŭlah mŭngadakan bŭbrapa pŭrbuatan yang ajaib? Maka tŭtkala itu kŭlak aku akan bŭrkata pada marika itu, bahwa skali kali tiada kukŭnal kamu, lalulah deri hadapanku hie orang yang bŭrbuat jahat.

MATIUS 7:13-23

MATIUS 7:13-23 BM