MATIUS 7:1-14

MATIUS 7:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

“Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu. Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan? Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu. Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.” “Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti? Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan? Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia! Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.” “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.”

MATIUS 7:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA janganlah kamu mŭnyalahkan orang, supaya kamu pun tiada disalahkannya. Kŭrna dŭngan kasalahan yang kamu salahkan itu juga kamu akan disalahkan, maka dŭngan sukatan yang kamu sukatkan itu juga kamu akan disukatkan. Maka apa sŭbab angkau mŭmandang sampah yang ada dalam mata saudaramu, tŭtapi balak yang dalam matamu sŭndiri itu tiada angkau indahkan. Atau bagimana angkau bulih bŭrkata pada saudaramu, biarlah aku kluarkan sampah yang didalam matamu, maka hieran, ada sa’batang balak dalam matamu sŭndiri. Hie munafik, kluarkanlah dahulu balak yang dalam matamu sŭndiri itu, kumdian kŭlak bulihlah angkau mŭlihat dŭngan trangnya, bagimana angkau bulih mŭngluarkan sampah yang didalam mata saudaramu itu. ¶ Janganlah angkau brikan bŭnda yang suchi itu kapada anjing, atau jangan champakkan mutiaramu dihadapan babi, maka kalau dipijak pijaknya dŭngan kakinya, sŭrta iya bŭrbalik mŭnggigit kamu. ¶ Mintalah, maka akan dibri; charilah, maka kamu akan mŭndapat; kŭtoklah, maka akan dibukakan. Kŭrna barang siapa yang mŭminta, iya juga akan bŭrulih; dan barang siapa yang mŭnchari, iya juga akan mŭndapat; dan pada yang mŭngŭtok, akan dibukakan. Maka siapakah iya itu diantara kamu, jikalau anaknya mŭminta roti akan dia, adakah dibrinya batu padanya? Dan jika dipintanya ikan, adakah dibrinya ular padanya? Sŭbab itu jikalau kamu yang jahat itu tahu mŭmbri bŭnda bŭnda yang baik pada anakmu, istimewa pula ayahmu yang ada dishorga itu akan mŭmbri bŭnda yang baik kapada sagala orang yang mŭminta kapadanya. Maka sŭbab itu, barang apa yang kamu sukai orang bŭrbuat padamu, dŭmkianlah handaknya kamu pun bŭrbuat padanya, kŭrna pŭrkataan inilah jŭmlah tauret dan surat sagala nabi nabi. ¶ Maka masoklah kamu dipintu yang sŭmpit, kŭrna luaslah pintu, dan lebarlah jalan, yang mŭmbawa kapada kabinasaan, maka banyaklah orang yang masok kasitu: Bahwa sŭmpitlah pintu, dan sŭsaklah jalan, yang mŭmbawa kapada hidup kŭkal, maka sŭdikit juga orang yang mŭndapat dia.

MATIUS 7:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu. Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar daripada mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu. Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.” “Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya. Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi.” “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.”

MATIUS 7:1-14

MATIUS 7:1-14 BM