MATIUS 6:1-34

MATIUS 6:1-34 Alkitab Berita Baik (BM)

“Ingatlah, janganlah kamu lakukan kewajipan agama di hadapan umum supaya dilihat orang. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan menerima pahala daripada Bapa kamu yang di syurga. Oleh itu, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan perbuatan itu seperti yang dilakukan oleh orang munafik di dalam rumah ibadat dan di jalan raya. Mereka melakukan perkara itu supaya dipuji orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. Tetapi apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, lakukanlah hal itu secara diam-diam, supaya sahabat karib kamu sekalipun tidak mengetahuinya. Biarlah hal itu tidak diketahui oleh sesiapa pun. Bapa kamu yang melihat perbuatan yang tersembunyi itu akan memberikan pahala kepada kamu.” “Apabila kamu berdoa, jangan seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. Tetapi apabila kamu berdoa, masuklah ke bilik dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapa kamu yang tidak kelihatan itu. Bapa kamu yang mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi itu, akan memberikan pahala kepada kamu. Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka bahawa Allah akan mendengarkan permintaan mereka kerana doa mereka panjang. Jangan berbuat seperti mereka. Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya. Sepatutnya kamu berdoa begini, ‘Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati. Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat. [Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.]’ Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadap kamu, Bapa kamu yang di syurga pun akan mengampunkan kesalahan kamu. Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu juga.” “Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia.” “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya. Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!” “Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, alangkah pekatnya kegelapan itu!” “Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu - apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian? Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung? Siapakah antara kamu dapat memanjangkan umur walaupun sedikit dengan mengkhuatiri hidupnya? Mengapa kamu khuatir tidak mempunyai cukup pakaian? Lihatlah bunga-bunga di padang, yang tidak bekerja atau menenun. Tetapi Raja Salomo dengan segala kekayaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberi kamu pakaian? Tetapi kamu kurang percaya kepada Allah! Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Allah. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu. Oleh itu, jangan khuatiri hari esok, kerana ada cukup hal yang dikhuatirkan pada hari esok. Cukuplah kesusahan hari ini, tidak usah ditambah lagi.”

MATIUS 6:1-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

INGATLAH baik baik, janganlah kamu mŭmbri sŭdŭkah dihadapan manusia supaya dilihat orang, maka jikalau dŭmkian nŭschaya tiadalah kŭlak kamu mŭndapat fahala deripada ayahmu yang ada dishorga. Maka sŭbab itu apabila angkau mŭmbri sŭdŭkah, janganlah angkau mŭnyuroh tiup srunie dihadapanmu spŭrti dipŭrbuat ulih orang orang munafik dalam kŭnisa kŭnisa, dan lorong lorong, supaya dipŭrmuliakan ulih manusia akan dia, maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa itulah yang didapati marika itu fahalanya. Tŭtapi apabila kamu mŭmbri sŭdŭkah, bahwa janganlah angkau bri tahu tangan kirimu, apa yang dipŭrbuat ulih tangan kananmu. Supaya biarlah sŭdŭkahmu itu dŭngan tŭrsŭmbunyi, dan ayahmu yang ada mŭlihat sagala pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi, maka iyalah juga akan mŭmbalas padamu nyata nyata. ¶ Apabila angkau sŭmbahyang, maka janganlah angkau mŭnurot kalakuan orang orang munafik, kŭrna marika itu suka sŭmbahyang dŭngan bŭrdiri dalam kŭnisa kŭnisa, dan pada pŭnjuru sempang sempang, supaya dilihat ulih manusia; sasungguhnya aku bŭrkata padamu, itulah yang didapati ulih marika itu fahalanya. Tŭtapi apabila angkau sŭmbahyang, masoklah kadalam bilekmu, tutopkanlah pintumu, mintalah doa kapada ayahmu, maka ayahmu yang mŭlihat sagala pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi, maka iyalah juga kŭlak mŭmbalas padamu nyata nyata. Maka apabila kamu mŭminta doa, janganlah mŭngulang ulangi pŭrkataan yang sia sia spŭrti orang sŭsat, kŭrna pada sangka marika itu, supaya ditrima Allah sŭbab banyak pŭrkataan. Maka sŭbab itu, janganlah kamu turot kalakuan marika itu, kŭrna ayahmu itu mŭngtahui iya akan barang pŭrkara yang bŭrguna padamu, iya itu tŭrdahulu deripada kamu mŭminta kapadanya. Sŭbab itu handaklah kamu mŭminta doa dŭmkian bunyinya: Ayah kami yang ada dishorga, tŭrmulialah kiranya namamu; Luaslah kiranya krajaanmu, kahandakmu bŭrlakulah diatas bumi ini spŭrti dalam shorga; Brilah kiranya akan kami pada hari ini rŭzki yang chukop; Dan ampunilah kiranya sagala salah kami spŭrti kami mŭngampuni kasalahan orang lain pada kami; Maka janganlah kiranya masokkan kami kadalam pŭrchobaan, mŭlainkan lŭpaskanlah kami deripada yang jahat, kŭrna augkaulah yang ampunya krajaan, dan kuasa, dan kamuliaan, pada slama lamanya. Amin. Kŭrna jikalau kamu mŭngampuni kasalahan orang lain, maka ayahmu yang ada dishorga pun akan mŭngampuni pula kasalahanmu. Tŭtapi jikalau tiada kamu mŭngampuni kasalahan orang lain, maka ayahmu pun tiada akan mŭngampuni kasalahanmu. Danlagi pula apabila kamu puasa, janganlah kamu mŭnurot kalakuan orang munafik dŭngan masam muka, kŭrna marika itu mŭngubahkan rupa mukanya, supaya dilihat ulih orang iya puasa; maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, itulah yang didapati ulih marika itu fahalanya. Adapun apabila angkau puasa, handaklah angkau mŭmakie minyak kapalamu, sŭrta mŭmbasoh mukamu; Supaya jangan rupamu klihatan kapada orang angkau puasa, mŭlainkan biarlah dilihat ulih ayahmu yang tiada klihatan, maka ayahmu yang mŭlihat sagala pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi itu, maka iyalah juga akan mŭmbalas padamu nyata nyata. ¶ Maka janganlah kamu simpan bagiemu harta diatas bumi, iya itu ditŭmpat gŭgat dan karat mŭmbinasakan, dan ditŭmpat pŭnchuri mŭngorek lalu mŭnchuri. Tŭtapi simpanlah hartamu dalam shorga, iya itu ditŭmpat yang tiada bŭrgŭgat dan karat mŭmbinasakan, dan tiada pula pŭnchuri mŭngorek atau mŭnchuri. Kŭrna barang dimana ada hartamu, maka disitulah juga ada hatimu. Adapun yang mŭnŭrangkan tuboh iya itulah mata, maka sŭbab itu jikalau matamu itu baik, nŭschaya sagala tubohmu pun tranglah adanya. Tŭtapi jikalau matamu itu jahat, nŭschaya sagala tubohmu itupun pŭnuhlah gŭlap adanya; maka sŭbab itulah jikalau kiranya trang yang didalam dirimu itu mŭnjadi gŭlap, ŭntah bagimanakah grangan bŭsarnya glap itu! ¶ Bŭrmula tiada bulih sa’orang hamba itu bŭrtuankan dua orang, kŭrna dapat tiada kŭlak iya mŭmbŭnchikan salah suatu dan mŭngasihi suatu, atau iya pŭgang dŭngan salah suatu, dan dibŭnchikannya suatu; tiada bulih kamu mŭnjadi hamba bagie Allah dan kakayaan dunia. Sŭbab itu aku bŭrkata padamu, janganlah kamu mŭnaroh fikiran derihal kahidopanmu, apa yang handak kamu makan atau minum; dan lagi jangan kamu mŭnaroh fikiran derihal tubohmu, apakah yang handak kamu pakie, bukankah hidopmu itu pŭrkara yang tŭrlebih bŭsar deripada rŭzkimu, dan tubohmu itupun pŭrkara yang tŭrlebih bŭsar deripada pakieanmu? Tengoklah akan sagala burong yang diudara, tiada iya mŭnyŭmie, dan tiada pula iya mŭnuwie, dan lagi tiada dihimpunkannya bŭkal dalam langguan; tŭtapi ayahmu yang ada dishorga itu mŭmliharakan dia. Bukankah tŭrutama pula angkau deripada burong burong itu? Siapakah grangan deripadamu yang ada mŭnaroh fikiran bulih bŭrtambah lanjut umornya barang sŭdikit sahja? Dan mŭngapa angkau mŭnaroh fikiran derihal pakieanmu? Maka timbangkanlah akan hal bunga bunga lili dipadang, bagimana iya bŭrtumboh, tiada iya bŭrusaha, dan tiada iya mŭmintal bŭnang. Maka aku bŭrkata padamu, bahwa sungguh pun Sulieman dŭmkian bŭsar kamuliaanya, tiada bŭrpŭrhiasan spŭrti pŭrhiasan sa’kuntom bunga itu. Adapun jikalau dŭmkianlah dihiasi Allah akan rumput rumputan dipadang, iya itu yang pada hari ini ada, maka esoknya dichampakkanka dalam dapur; bahwa bukankah tŭrutama pula iya mŭmbri pakiean akan kamu itu, hie orang yang korang iman? Sŭbab itu janganlah kamu mŭnaroh fikiran sambil bŭrkata, apakah yang handak kami makan, atau apakah yang handak kami minum, atau apakah yang handak kami pakie? Kŭrna sagala pŭrkara inilah dituntut ulih orang sŭsat, kŭrna ayahmu yang ada dishorga itu mŭngtahui iya akan sagala pŭrkara yang bŭrguna padamu. Tŭtapi charilah kamu dahulu krajaan Allah sŭrta dŭngan kabŭnarannya, maka sagala pŭrkara itu akan ditambahi pada kamu. Sŭbab itu janganlah kamu mŭnaroh fikiran akan hari esok itu, kŭrna esok itu ada mŭnaroh fikiran derihal dirinya sŭndiri; maka chukoplah pada sa’hari itu dŭngan kasusahannya sŭndiri.

MATIUS 6:1-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Ingatlah: Jangan buat amal ibadat di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga. Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik meniup sangkakala di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang begitu sudah pun mendapat ganjaran mereka. Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. Jangan siapa pun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.” “Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu. Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya. Berdoalah demikian: ‘Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah nama-Mu. Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga. Berilah kami makanan untuk hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami tergoda, tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat. Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.’ Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.” “Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapat ganjaran mereka. Ketika berpuasa, minyakilah kepalamu dan basuhlah muka supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.” “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.” “Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!” “Seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih penting daripada pakaian? Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? Jadi, mengapakah kamu risau tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu! Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah mencari hal-hal ini. Akan tetapi, bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu. Oleh itu, jangan khuatir tentang hari esok, kerana hari esok akan khuatir tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.”