MATIUS 5:1-8
MATIUS 5:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yesus melihat orang ramai itu, Dia naik ke bukit lalu duduk. Pengikut-pengikut-Nya berkumpul di sekeliling-Nya, lalu Dia mula mengajar mereka: “Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah orang yang bersedih hati, Allah akan menghiburkan mereka! Berbahagialah orang yang rendah hati, mereka akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah! Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah!
MATIUS 5:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA maka apabila dilihat ulih Isa akan pŭrhimpunan orang banyak itu, maka naiklah iya ka’atas sa’buah bukit, sŭtlah iya dudok, lalu datanglah murid muridnya mŭnghampiri akan dia. Shahadan maka dibukanya mulotnya sŭrta mŭngajar marika itu; katanya, Bŭrbahgialah sagala orang yang rŭndah hatinya: kŭrna marika itulah yang mŭmpunyai krajaan shorga. Bŭrbahgialah sagala orang yang duka chita: kŭrna marika itu juga akan dihiburkan. Bŭrbahgialah sagala orang yang lŭmah lŭmbut hatinya: kŭrna marika itu juga mŭmpusakai tanah. Bŭrbahgialah sagala orang yang lapar dan dahaga akan kabŭnaran: kŭrna marika itu juga akan dikŭnyangkan. Bŭrbahgialah sagala orang yang bŭrhati kasihan: kŭrna marika itulah juga akan mŭndapat kasihan. Bŭrbahgialah sagala orang yang suchi hatinya: kŭrna marika itulah akan mŭmandang Allah.
MATIUS 5:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. Dia pun mula mengajar mereka: “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga. Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur. Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini. Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan. Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.