MATIUS 5:1-4,6-20

MATIUS 5:6-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah! Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya! Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku. Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Allah sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.” “Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.” “Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.”

Injil Mathius 5:6-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrbahgialah sagala orang yang lapar dan dahaga akan kabŭnaran: kŭrna marika itu juga akan dikŭnyangkan. Bŭrbahgialah sagala orang yang bŭrhati kasihan: kŭrna marika itulah juga akan mŭndapat kasihan. Bŭrbahgialah sagala orang yang suchi hatinya: kŭrna marika itulah akan mŭmandang Allah. Bŭrbahgialah sagala orang yang mŭndamiekan orang: kŭrna marika itulah akan dinamai anak anak Allah. Bŭrbahgialah sagala orang yang tŭrannyaya sŭbab iya mŭnurut yang bŭnar: kŭrna marika itulah yang mŭmpunyai krajaan shorga. Bŭrbahgialah kamu apabila diumpat orang akan kamu, dan diannyayainya kamu, sŭrta mŭngatakan sagala jŭnis jŭnis pŭrkataan jahat dŭngan bohongnya, iya itu deri sŭbab aku. Bŭrsuka sukalah kamu dŭngan suka chita yang amat sangat: bahwa bŭsarlah fahalamu dalam shorga, kŭrna dŭmkianlah juga sagala nabi nabi yang dahulu dahulu deripada kamu itu pun tŭlah diannyayakan orang adanya. ¶ Maka kamu inilah spŭrti garam didunia ini: tŭtapi jikalau kiranya tawarlah garam itu, bagimanakah grangan bulih pulang samula, sŭbab itu suatu pun tiada apa gunanya lagi, mŭlainkan dibuangkan, iya itu dipijak pijak ulih manusia. Maka kamu inilah spŭrti trang didunia ini, adapun nŭgri yang dipŭrbuat diatas sa’buah bukit itu, tiada bulih disŭmbunyikan. Atau pun tiada pŭrnah orang mŭmasang dian, ditudongkannya dibawah suatu bŭkas, mŭlainkan diatas kaki dian juga, supaya iya mŭnŭrangkan sagala orang yang dalam rumah itu. Maka biarlah kiranya trangmu bŭrchahya dihadapan manusia, maka apabila dilihatnya akan sagala pŭrbuatanmu yang baik itu, supaya dipŭrmuliakannya ayahmu yang ada dishorga. ¶ Bahwasanya janganlah kamu kirakan, aku datang ini handak mŭrosakkan hukum taurat, atau surat nabi nabi, aku tiada datang mŭrosakkan, mŭlainkan mŭnggŭnapi. Kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, sahingga langit dan bumi ini lŭnyap skali pun, nŭschaya tiada akan bŭrkorangan skali kali suatu nokta, atau kuman deripada hukum taurat, sampielah samuanya digŭnapi juga. Maka sŭbab itu, jikalau barang siapa mŭrosakkan salah suatu deripada hukum yang tŭrkŭchil ini skali pun, dan diajarkannya kapada manusia dŭmkian itu, maka orang itu akan disŭbutkan amat kŭchil dalam krajaan shorga; tŭtapi jikalau dipŭrbuat, dan diajarkannya spŭrti dalam hukum itu, maka orang itu akan disŭbutkan bŭsar dalam krajaan shorga. Kŭrna aku bŭrkata pada kamu, jikalau tiada kabŭnaranmu itu tŭrlebih deripada kabŭnaran khatib khatib dan orang Farisia itu, skali kali tiada dapat kamu masok kadalam krajaan shorga.

Matius 5:6-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan. Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah. Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka. Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.” “Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang. Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.” “Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi.”