MATIUS 4:18-22
MATIUS 4:18-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus.
MATIUS 4:18-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka apabila Isa bŭrjalan ditŭpi pantie tasik Galilia itu, lalu dilihatnya dua orang bŭrsaudara, iya itu Simon yang bŭrgŭlar Petrus, dau Andria saudaranya, marika itu mŭmbuang pukat dalam tasik itu, kŭrna marika itu pŭmukat. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Marilah kamu mŭngikot aku, kŭrna aku handak mŭnjadikan kamu pŭmukat manusia. Maka pada kutika itu juga marika itu mŭninggalkan pukatnya, lalu mŭngikot akan dia. Maka apabila Isa sudah bŭrjalan deri sana, lalu dilihatnya pula dua orang lain bŭrsaudara, iya itu Yakob anak Zabdi, dan Yahya saudaranya, dalam sa’buah pŭrahu, sŭrta dŭngan bapanya Zabdi itu mŭmbubol pukatnya, lalu dipanggil ulih Isa akan marika itu. Maka dŭngan skutika itu juga marika itu mŭninggalkan pŭrahunya sŭrta bapanya, lalu diikotnya akan dia.
MATIUS 4:18-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang saudara, iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.” Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya. Sejurus berjalan dari sana, Yesus ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yohanes bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus memanggil dua beradik itu. Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Yesus.