MATIUS 3:1-17

MATIUS 3:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa itu Yohanes Pembaptis tiba di padang gurun di Yudea dan mula memberitakan hal ini. “Bertaubatlah daripada dosa kamu,” katanya, “kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” Yohaneslah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Yesaya ketika dia berkata, “Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya.’ ” Pakaian Yohanes dibuat daripada bulu unta, dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu hutan. Orang dari Yerusalem, seluruh negeri Yudea, dan seluruh kawasan di sekitar Sungai Yordan datang kepada Yohanes. Mereka mengaku dosa, lalu Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Banyak orang Farisi dan Saduki datang kepadanya untuk dibaptis. Apabila Yohanes melihat mereka, dia berkata “Hai kamu orang jahat! Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibuang ke dalam api. Aku membaptis kamu dengan air untuk menyatakan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Tetapi Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasut-Nya pun aku tidak layak. Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam.” Pada masa itu Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia menemui Yohanes dan minta supaya dibaptis olehnya. Tetapi Yohanes cuba menolak permintaan itu. Dia berkata, “Sayalah yang seharusnya dibaptis oleh Tuan. Tetapi Tuan pula yang datang kepada saya!” Tetapi Yesus menjawab, “Untuk sekarang ini biarlah demikian, kerana dengan jalan ini kita akan melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Allah.” Yohanes pun bersetuju. Setelah Yesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Yesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian terdengar suara Allah berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.”

MATIUS 3:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka pada masa itu kluarlah Yahya Pŭmbaptis, sŭrta mŭngajar dalam padang bŭlantara tanah Yahuda. Maka katanya, Taubatlah kamu skalian, kŭrna krajaan shorga sudah dŭkat. Maka derihal Yahya inilah tŭlah dikatakan ulih Nabi Jasia, katanya, Suara orang bŭrtriak dalam padang bŭlantara, sŭdiakanlah jalan bagie Tuhan, dan bŭtulkanlah lorong lorongnya. Shahadan adapun pakiean Yahya itu deripada bulu onta, dan pŭngikat pinggangnya kulit, dan makanannya bilalang dan ayer madu dihutan. Maka tŭtkala itu kluarlah sagala orang isi Jerusalem, dan isi sŭgŭnap tanah Yahuda, dan orang isi sagala jŭjahan yang dŭkat dŭngan sungie Jordan, datang mŭndapatkan dia. Lalu sagala marika itupun dibaptiskannyalah dalam Jordan, sŭrta mŭngakulah marika itu akan dosa dosanya. ¶ Shahadan apabila dilihat ulih Yahya banyak orang Farisia dan Sadokia, itupun datang kapada baptisannya, maka bŭrkatalah iya bagie marika itu, Hie katurunan ular yang bisa, siapakah yang tŭlah mŭngingatkan kamu mŭnyurohkan lari deripada morka yang akan datang? Sŭbab itu handaklah angkau kluarkan buah buahan kalakuan yang stuju dŭngan taubat. Dan janganlah kamu sangkakan dalam hatimu, bahwa Ibrahim itu bapa pada kita, kŭrna aku bŭrkata padamu, bahwa Allah itu bulih iya mŭngadakan deripada batu batu ini pun kanak kanak bagie Ibrahim. Maka skarang inipun tŭlah sŭdialah mata kapak diakar pohon kayu, sŭbab itu barang suatu pohon kayu yang tiada bŭrbuah yang baik, iya itu ditŭbang dibuangkan kadalam api. Maka sungguh pun aku baptiskan kamu dŭngan ayer akan bŭrtaubat, tŭtapi orang yang datang kŭlak kŭmdian deripadaku, tŭrlebih kuasanya deripadaku, maka aku ini tiada layak mŭngangkat trompanya, maka iyalah kŭlak akan mŭmbaptiskan kamu dŭngan Roh Alkudus dan api. Nyiru ada ditangannya, maka iya kŭlak akan mŭnyuchikan sagala anta gandomnya, lalu dikumpulkannya masok gandomnya kadalam langguan; tŭtapi sŭkam itu dibakarnya habis habis dŭngan api yang tiada padam. ¶ Bŭrmula maka Isa pun datanglah deri Galilia kaJordan kapada Yahya, supaya dibaptiskan ulih Yahya akan dia. Tŭtapi ditŭgahkan ulih Yahya, katanya, Bahwa patutlah hamba ini angkau baptiskan, skarang angkaukah datang kapada hamba? Maka disahut Isa sambil bŭrkata, Biarkanlah skarang, kŭrna dŭmkianlah yang patut pada kita mŭnggŭnapi sagala surohan. Hata maka diluluskannya itu. Sŭbarmula sŭtlah sudah Isa dibaptiskan itu, maka naiklah iya deri dalam ayer, hieran, tŭrbukalah langit bagienya, maka dilihatnya Roh Allah pun turon spŭrti sa’ekor mŭrpati rupanya mŭnghinggap diatasnya. Hieran, maka suatu suara deri langit bŭrkata, Bahwa inilah anakku yang kukasih, maka akan dialah juga aku suka chita.

MATIUS 3:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada masa itu Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun di Yudea. Dia berseru, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!” Yohaneslah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya: “Suara seorang berseru di gurun: ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ” Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yohanes. Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan. Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk dibaptiskan. Apabila melihat mereka, Yohanes berkata, “Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak? Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. Jangan sangka kamu dapat berkata sesama sendiri, ‘Abraham bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham! Kapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api. Aku membaptismu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan membaptismu dengan Roh Kudus dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak. Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.” Ketika itu, Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk dibaptiskan oleh Yohanes. Akan tetapi, Yohanes cuba menolak dengan berkata, “Sepatutnya Engkau yang membaptisku. Ini Engkau pula datang kepadaku!” Tetapi Yesus menjawab, “Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala perbenaran.” Yohanes pun patuh. Setelah dibaptiskan, Yesus keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian kedengaran suara dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami