MATIUS 28:1-20
MATIUS 28:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya. Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati. Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.” Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus. Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.” Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku. Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu. Mereka berkata kepada askar-askar itu, “Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur. Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.” Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi. Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka. Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.”
MATIUS 28:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA pada kasudahan hari sabtu, pada waktu dini hari, hari ahad, maka datanglah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam yang lain itu handak mŭlihat kubor itu. Maka hieran, datanglah gŭmpa yang bŭsar, sŭbab sa’orang mŭliekat Tuhan turon deri langit mŭnggolekkan batu itu deri hadapan pintu kubor itu, lalu dudoklah iya diatasnya itu. Maka adalah rupanya itu bŭrkilat kilat, dan pakieannya pun puteh spŭrti thalj. Maka ulih sŭbab sagala pŭnunggu kubor itu kŭtakotan sangat akan dia, maka gŭmŭntarlah, sahingga jadilah marika itu spŭrti orang mati. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu bagie pŭrampuan pŭrampuan itu, janganlah kamu takot, kŭrna kukŭtahui, bahwa kamu mŭnchari akan Isa yang tŭlah disalebkan itu. Maka iya itu tiada disini, kŭrna iya tŭlah hidop pula spŭrti pŭrkataannya itu, maka marilah kamu mŭlihat akan tŭmpat Tuhan dilŭtakkan. Maka sŭgralah pŭrgi katakan kapada murid muridnya, bahwa iya tŭlah hidop deripada matinya, maka tengoklah iya kŭlak pŭrgi tŭrdahulu deripada kamu kaGalilia, maka disanalah kŭlak kamu akan mŭlihat dia, maka bahwasanya aku tŭlah mŭmbri tahu pada kamu. Maka bŭrbaliklah marika itu dŭngan sŭgranya deri kubor itu dŭngan kŭtakotannya, sŭrta bŭrchampor kasukaan yang bŭsar, sambil bŭrlarilah marika itu handak mŭmbri tahu kapada murid murid Isa. ¶ Sŭmŭnjak marika itu bŭrjalan handak mŭmbri tahu kapada murid muridnya, maka hieran, bŭrtŭmulah Isa dŭngan dia, sambil katanya, Slamatlah. Maka datanglah marika itu mŭmŭlok kadua bŭlah kakinya, sŭrta sujud mŭnyŭmbah akan dia. Tŭtkala itu bŭrkatalah Isa pada marika itu, Janganlah kamu takot, pŭrgilah kamu bri tahu kapada sagala saudaraku, supaya marika itu pŭrgi kanŭgri Galilia, maka disanalah kŭlak marika itu akan bŭrtŭmu dŭngan aku. ¶ Bŭrmula maka sŭmŭntara marika itu bŭrjalan, maka bahwasanya adalah orang yang bŭrkawal itu pun masok kadalam nŭgri mŭmbri tahu kapada imam imam yang bŭsar akan sagala pŭrkara yang tŭlah jadi itu. Maka apabila marika itu sudah bŭrhimpun dŭngan orang tua tua, sambil bŭrbichara bŭrsama sama, maka dibri ulih marika itu tŭrlalu banyak upah kapada sagala lashkar itu: Katanya, Kamu katakan, bahwa murid muridnya tŭlah datang pada malam mŭnchuri akan dia, iya itu tŭtkala kami tidor. Maka jikalau kiranya kadŭngaran pada Raja kŭlak, maka kita oranglah akan mŭmbujok dia, dan mŭlindongkan kamu. Maka diambillah ulih marika itu wang itu, lalu dipŭrbuatnyalah spŭrti pŭngajaran marika itu; maka mashorlah pŭrkataan itu diantara orang Yahudi sampie skarang ini. ¶ Bŭrmula maka sa’blas orang murid muridnya itu pun pŭrgilah kanŭgri Galilia kapada sa’buah bukit yang tŭlah ditŭntukan ulih Isa kapada marika itu. Sŭtlah sudah dilihat ulih marika itu akan dia, lalu sujudlah mŭnyŭmbah padanya, tŭtapi ada orang deripada marika itu shak hatinya. Maka datanglah Isa mŭndapatkan marika itu, sŭrta bŭrtutor padanya, katanya, Sagala kwasa tŭlah dibrikan padaku, baik dilangit, baik diatas bumi ini. Sŭbab itu pŭrgilah kamu mŭngajar sagala bangsa, dan baptisakan marika itu dŭngan nama Ayah, dan Anak, dan Roh Alkudus. Maka ajarkanlah marika itu, supaya mŭmliharakan sagala sasuatu yang tŭlah aku bŭrpŭsan kapadamu, tengoklah aku bŭsŭrta dŭngan kamu pada sŭdiakalanya, hingga kasudahan alam ini: Amin.
MATIUS 28:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maria Magdalena dan Maria yang seorang lagi pergi melihat makam Yesus. Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya. Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji. Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati. Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, “Jangan takut, aku tahu kamu mencari Yesus yang telah disalib. Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dahulu. Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada murid-murid-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.” Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para murid Yesus. Dalam perjalanan, tiba-tiba Yesus menemui mereka sambil berkata, “Salam sejahtera!” Lalu mereka pun mendekati Yesus dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.” Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi. Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu serta berpesan, “Beritahu orang, ‘Para murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.’ Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan.” Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan dalam kalangan orang Yahudi hingga sekarang. Kemudian, murid Yesus yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya. Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu. Yesus datang dan berkata kepada mereka, “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.”