MATIUS 27:1-66

MATIUS 27:1-66 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma. Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!” Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri. Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.” Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.” Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.” Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!” Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!” Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!” Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.” “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.” Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.

MATIUS 27:1-66 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA apabila datanglah pagi hari, lalu bŭrbicharalah imam bŭsar, dan orang orang tua tua deripada kaum itu deri hal Isa, supaya dibunohnya akan dia. Maka sŭtlah sudah diikatnya, maka dibawanyalah sŭrta disŭrahkannya dia kapada Raja Pontius Pilatus. ¶ Apabila dilihat ulih Yudas yang mŭnyŭrahkan dia, bahwa sudah tŭntu hukum Isa itu, maka mŭnyŭsallah iya akan dirinya, lalu dikŭmbalikannyalah tiga puloh kŭping perak itu kapada imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua itu. Katanya, Aku sudah bŭrdosa, sŭbab tŭlah mŭnyŭrahkan darah orang yang suchi deripada salah itu. Maka dijawab ulih marika itu, Apa kami pŭduli, itu pulanglah kapadamu. Sŭtlah sudah dichampakkan ulih Yudas kŭping perak itu dalam ka’abah, maka kluarlah iya pŭrgi mŭnggantong dirinya. Maka diambillah ulih imam imam bŭsar kŭping kŭping perak itu, sŭrta bŭrkata, Tiadalah patut dimasokkan wang ini kadalam pŭrbandaharan, kŭrna iya ini harga darah adanya. Maka sŭtlah sudah marika itu mufakat, maka diblikannyalah dŭngan wang itu suatu tanah tukang priok blanga, iya itu dijadikannya tŭmpat pŭkuboran sagala orang orang dagang. Maka sŭbab itulah dinamai orang akan tanah itu, tanah darah sampie hari ini. Maka tŭtkala itu tŭlah gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi Jeremia, katanya, Marika itu tŭlah mŭngambil tiga puloh kŭping perak itu, iya itu harga orang yang tŭlah diniliekan ulih bŭni Israil. Maka wang itu dibuatnya pŭmbayar harga tanah tukang priok blanga itu, spŭrti yang disurohkan Tuhan padaku. ¶ Maka Isa pun bŭrdirilah mŭngadap Raja; bŭrtanyalah Raja itu padanya, Angkaukah Raja orang Yahudi? Maka jawab Isa, Spŭrti angkau kata. Maka apabila iya sudah ditudoh ulih imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua itu, maka suatu pun tiada disahutnya. Tŭtkala itu bŭrkatalah Pilatus padanya, Tiadakah angkau mŭnŭngar bŭbrapa pŭrkara marika itu bŭrsaksi mŭlawan dikau? Tŭtapi sa’patah pun tiada disahutnya akan dia, sampie hieranlah Raja itu sangat. ¶ Adapun pada hari raya itu Raja handak mŭlŭpaskan sa’orang rayat yang tŭrbŭlunggu bagie kaum itu, yang mana dikahandaki ulih marika itu. Maka tŭtkala itu adalah sa’orang tŭrbŭlunggu yang tŭrmashor jahatnya, namanya Bŭraba. Shahadan sŭtlah bŭrhimpunlah marika itu skalian, maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Siapakah yang kamu kahandaki kulŭpaskan, Bŭrabakah, atau Isa yang tŭrsŭbut Almasihkah? Kŭrna Raja tŭlah mŭngtahui, bahwa marika itu mŭnyŭrahkan Isa itu dŭngan dŭngkinya. ¶ Tŭtkala Raja dudok diatas tŭmpat bicharanya itu, maka disuroh ulih istrinya akan orang datang kapadanya, mŭngatakan, Janganlah angkau buat barang sasuatu akan orang yang bŭnar itu, kŭrna pada hari ini aku tŭlah bŭrmimpi dŭngan mŭrasai bŭbrapa susah deri sŭbabnya. Adapun imam imam yang bŭsar itu, sŭrta orang tua tua pun mŭmbujok akan sagala kaum, supaya iya skalian minta lŭpaskan Bŭraba, dan biarlah Isa dibinasakan. Maka kata Raja kapada marika itu, Dalam antara kadua orang ini, siapakah yang kamu kahandaki aku lŭpaskan? Maka bŭrkatalah marika itu, Bŭraba. Kata Pilatus pada marika itu, Kalau dŭmkian, apakah kŭlak kupŭrbuat akan Isa yang tŭrsŭbut Almasih itu? Maka bŭrkatalah skalian marika itu, Biarlah iya disalebkan. Maka jawab Raja, Apakah salah yang dipŭrbuatnya? Maka makinlah bŭrtriak marika itu, katanya, Biarlah iya disalebkan. Maka apabila dilihat ulih Pilatus, bahwa tiadalah bŭrguna lagi pŭrkataannya, mŭlainkan makinlah lebih jadi gŭmpar, maka diambilnyalah ayer, lalu dibasohnya kadua bŭlah tangannya dihadapan kaum itu, katanya, Aku tŭlah suchilah deri pada dosa mŭnumpahkan darah orang yang bŭnar ini, tanggonglah ulihmu. Maka mŭnyahutlah skalian orang itu, sŭrta bŭrkata, Biarlah darahnya itu tŭrtanggong ka’atas kami, dan atas anak anak chuchu kami. Maka tŭtkala itu dilŭpaskannya Bŭraba, tŭtapi Isa dipalunya dŭngan jari ampi, sŭrta disŭrahkannya supaya disalebkan. Tŭtkala itu maka diambillah ulih sagala lashkar Raja akan Isa, maka dibawanyalah bŭrsama sama kabalierong, maka bŭrkamponglah sagala pasukan lashkar itu kapadanya. Lalu ditanggalkannya pakieannya, maka dipakiekannya suatu baju yang ungu warnanya. Maka dianyamkannya pula suatu mahakota deripada duri, dipakiekannya ka’atas kapalanya, sŭrta dibrinya sa’batang buloh katangan kanannya, maka bŭrtŭlotlah marika itu dihadapannya, diolok olokkannya akan dia, katanya, Slamatlah hie Raja orang Yahudi. Maka diludahinya akan dia, sŭrta diambilnya tongkat itu dipukolkannya kakŭpalanya. Maka apabila sudahlah marika itu mŭngolok olokkan dia, maka ditanggalkannya baju itu, lalu dipakiekannya pakieannya sŭndiri, sambil dibawanyalah kluar handak disalebkannya akan dia. Maka apabila marika itu kluar, lalu didapatinya sa’orang orang Siereni yang bŭrnama Simon, maka iya pun dipaksainya mŭmikol kayu saleb itu. Maka sŭtlah sampie marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Golgotha, iya itu artinya tŭmpat tŭngkorak. Maka dibrinyalah akan Isa minom chuka bŭrchampor dŭngan hŭmpŭdu, maka apabila dichobainya, maka tiada iya mahu minom itu. Maka disalebkannya akan dia, lalu dibahgi ulih marika itu pakieannya dŭngan mŭmbuang undi, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi, Bahwa marika itu tŭlah mŭmbahgi pakieanku diantara marika itu, maka diatas bajuku marika itu mŭmbuang undi. Maka dudoklah marika itu mŭnunggui akan dia disana. Lalu dibubohkannya pula ka’atas kapalanya surat tudohan dŭmkian bunyinya, IYA INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI. Maka ada pula bŭrsama sama dŭngan dia dua orang pŭnyamun disalebkan, sa’orang sŭblah kanannya, sa’orang sŭblah kirinya. Maka sagala orang yang lalu lalang pun mŭnchŭla akan dia sambil mŭngonchang kapala. Sŭrta bŭrkata, Hie angkau yang mŭmŭchahkan ka’abah, dan dapat mŭmbangunkan dia dalam tiga hari, lŭpaskanlah dirimu. Jikalau sungguh angkau anak Allah, turonlah deri atas saleb itu. Maka dŭmkian lagi imam imam yang bŭsar, dan khatib khatib, dan orang tua tua pun, dan orang Farisia mŭngolok olokkan dia, sŭrta bŭrkata, Iya tŭlah mŭlŭpaskan orang lain, tŭtapi dirinya tiada dapat dilŭpaskannya. Maka jikalau kiranya iya Raja orang Israil, biarlah iya turon deri atas saleb itu, bahrulah kita pŭrchaya akan dia. Iya tŭlah harap pada Allah, maka biarlah dilŭpaskan Allah akan dia skarang jikalau direlainya akan dia, kŭrna iya tŭlah bŭrkata, Bahwa akulah anak Allah. Maka pŭnyamun pŭnyamun yang disalebkan sŭrtanya itupun dŭmkian juga mŭnista akan dia. ¶ Maka adalah kira kira deripada pukol dua blas tŭngah hari, maka datanglah gŭlap ka’atas sagala bŭnua itu sampielah kira kira pukol tiga pŭtang. Maka adalah sŭkira kira jam pukol tiga, lalu bŭrsrulah Isa dŭngan suara yang nyaring, katanya, Elie, Elie, lama sabahthani, iya itu artinya, Allahku, Allahku, mŭngapa angkau tŭlah mŭninggalkan aku? Adapun sŭparoh orang yang ada disitu, apabila didŭngarnya itu, lalu bŭrkatalah iya, Bahwa iya ini mŭmanggil Ilias. Maka skutika itu juga larilah sa’orang deripada marika itu, sŭrta mŭngambil satu lumot karang yang diisinya dŭngan chuka, lalu dibubohnya ka’atas sa’batang buloh, maka dibrikannya minom akan dia. Maka bŭrkata orang lain, Nanti juga supaya kita lihat kalau kalau Ilias datang mŭlŭpaskan dia. Maka bŭrtriaklah pula Isa dŭngan suara yang nyaring, lalu putuslah nyawanya. Maka hieran, sŭtlah itu tirie ka’abah itu pun bŭlahlah dua deri atas sampie kŭbawah, maka bumi pun gŭmpalah, dan batu batu pun habislah bŭlah bŭlah. Dan kubor kubor pun tŭrbukalah, maka bŭbrapa mayat orang orang saleh yang tŭlah mati pun hidoplah. Maka kluarlah skalian marika itu deri dalam kubornya, iya itu kumdian deripada Isa hidop pula, lalu masoklah marika itu kadalam Bethalmukadis, iya itu klihatan kapada orang banyak. Maka apabila Pŭnghulu sratus orang, dan orang orang yang sŭrtanya mŭnunggu Isa pun mŭlihat gŭmpah bumi, dan sagala pŭrkara yang tŭlah jadi itu, maka kŭtakotanlah iya sangat, katanya, Bahwa sŭbŭnarnyalah iya ini Anak Allah. Maka adapun pŭrampuan banyak disana yang mŭlihat deri jauh, yang tŭlah mŭngikot Isa deri Galilia, bŭrkhodmat padanya. Maka diantara marika itu adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam ibu Yakob dan Yuses, dan bonda anak laki laki Zabdi. ¶ Bŭrmula sŭtlah pŭtang hari, maka datanglah sa’orang kaya deri nŭgri Aremathia, yang bŭrnama Yosof, adapun iya itu sa’orang murid Isa juga. Maka pŭrgilah iya kapada Pilatus mŭminta mayat Isa. Maka disuroh Pilatus brikan mayat itu padanya. Sŭtlah sudah diambil ulih Yosof akan mayat itu, maka dikafankannya dŭngan kain puteh halus yang pŭrsih. Maka ditanamkannya kadalam kubornya sŭndiri, iya itu yang bahru dipahatkannya dalam batu, maka digulingkannya pula sa’buah batu yang bŭsar kapintu kubor itu, lalu pulanglah iya. Maka adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam yang lain itu, dudok pada fiak hadapan kubor itu. ¶ Maka pada kaesokkan harinya turutan hari bŭrsŭdia akan hari bŭsar, maka imam imam yang bŭsar, dan orang Farisia pun bŭrkumpollah mŭngadap Pilatus. Katanya, Ya Tuan, bahwa kami skalian tŭringat, adapun orang pŭnipu itu tŭlah bŭrkata tŭtkala iya lagi hidop, Maka kumdian deripada tiga hari aku akan hidop pula. Sŭbab itu handaklah angkau surohkan mŭnjaga kubornya sampie hari yang katiga, kalau kalau murid muridnya datang mŭnchuri akan dia pada malam, lalu bŭrkata pada kaum itu, iya sudah hidop deripada matinya; maka salah yang tŭrkumdian itu tŭrlebih pula jahatnya deripada yang pŭrtama. Maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Orang yang bŭrkawal itu ada kapadamu juga, pŭrgilah kamu kawali dia dŭngan sŭbulih bulihnya. Hata maka marika itu pun pŭrgilah mŭnŭgohkan kubor itu, maka dimutriekan batu tutop kubor itu, sŭrta disurohkannya lashkar bŭrkawal.

MATIUS 27:1-66 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Yesus. Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus. Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Yesus telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.” Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!” Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Suci lalu pergi menggantung dirinya. Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.” Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.” Gabenor itu bertanya kepada Yesus yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus berkata, “Begitulah seperti katamu.” Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?” Tetapi Yesus tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya. Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas. Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Yesus yang dipanggil Kristus?” Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.” Tetapi ketua-ketua imam dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Yesus dibunuh. Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?” Mereka menjawab, “Barabas!” Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Yesus yang dipanggil Kristus?” Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!” Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!” Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.” Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.” Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib. Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Kemudian mereka duduk berjaga di situ. Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.” Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian. Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.” Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman. Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.” Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir. Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah; kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula; mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ. Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus. Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu. Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’ Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.” Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.” Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami