MATIUS 26:69-75
MATIUS 26:69-75 Alkitab Berita Baik (BM)
Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.” Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.” Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!” Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.” Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.
MATIUS 26:69-75 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭbarmula derihal Petros itu, adalah iya dudok diluar balierong, maka datanglah sa’orang pŭrampuan muda kapadanya, katanya, Angkau ini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Galilia itu. Maka bŭrsangkallah iya dihadapan sagala orang itu, katanya, Apakah angkau kata itu? tiada aku kŭtahui. Maka tŭtkala itu kluarlah iya kasrambi balie, maka dilihat pula ulih sa’orang pŭrampuan yang lain akan dia, katanya kapada orang orang yang ada disana, Iyaini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Nazareth itu. Maka iya bŭrsangkal pula dŭngan sumpah katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka skutika lagi orang yang bŭrdiri disana bŭrkata pada Petros, Sungguhlah angkau ini sa’orang deripada marika itu, kŭrna deripada bahsamu angkau dikŭnal. Hata maka tŭtkala itu bahrulah iya mŭngutoki dirinya, sŭrta bŭrsumpah, katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka sŭbŭntar lagi ayam pun bŭrkokoklah. Maka tŭrkŭnanglah Petros akan pŭrkataan Isa yang tŭlah dikatakannya padanya, bahwa sŭbŭlom ayam bŭrkokok, tiga kali angkau akan mŭnyangkali aku; maka kluarlah iya, sŭrta mŭnangis dŭngan tŭrsŭdeh sŭdeh.
MATIUS 26:69-75 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, “Kamu pun bersama Yesus, orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.” Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Orang ini pun bersama Yesus orang Nazaret.” Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Aku tak kenal orang itu!” Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, “Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.” Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang itu!” Serta-merta ayam berkokok. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.