MATIUS 26:47-56

MATIUS 26:47-56 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.

MATIUS 26:47-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka antara iya bŭrkata kata itu lagi, bahwasanya Yudas, sa’orang deripada yang kadua blas orang itu pun datanglah dŭngan mŭmbawa banyak rayat bŭrsama sama, sŭrta dŭngan pŭdang pŭdang, dan kayu kayu, iya itu disuroh imam bŭsar bŭsar, dan orang tua tua kaum itu. Adapun orang yang mŭnyŭrahkan Isa itu tŭlah mŭmbri suatu isharat pada marika itu, katanya, Barang siapa yang kuchium iya itulah dia, tangkaplah ulihmu. Maka dŭngan skutika itu juga datanglah Yudas kapada Isa, katanya, Slamatlah Guru, maka dichiumnya akan dia. Tŭtapi jawab Isa padanya, Sahabat, apa mulanya angkau datang ini? Sŭtlah itu datanglah marika itu mŭmbuboh tangannya ka’atas Isa, lalu ditangkapnya. Maka sasungguhnya ada sa’orang deripada marika itu yang bŭrsama sama dŭngan Isa mŭnghulorkan tangannya, sŭrta dihunasnya pŭdangnya, lalu dichinchangnya hamba imam bŭsar itu, putuslah tlinganya. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Sarongkanlah pŭdangmu itu kŭmbali, kŭrna barang sa’orang yang mŭmakie pŭdang itu, iya akan dibinasakan ulih pŭdang juga. Untah pada sangkamu, tiadakah bulih aku mŭminta pada Ayahku skarang ini, bahwasanya iya akan mŭmbri aku lebih deripada dua blas pasukan mŭliekat? Tŭtapi bagimanakah garangan kitab itu bulih digŭnapkan? Bahwasanya dapat tiada dŭmkianlah jadinya. Maka pada masa itu bŭrkatalah Isa pada sagala rayat itu, Kamu ini kluar sa’olah olah handak mŭnangkap orang pŭnyamunkah, dŭngan mŭmbawa pŭdang dan kayu handak mŭnangkap aku? Maka pada tiap tiap hari aku dudok bŭrsama sama dŭngan kamu mŭngajar dalam ka’abah, maka tiada kamu mŭnangkap aku. Tŭtapi skaliannya ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah surat sagala nabi; tŭtkala itu maka ditinggalkanlah ulih sagala murid muridnya akan Isa, lalu larilah marika itu.

MATIUS 26:47-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada murid-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.” Dengan segera dia menghampiri Yesus sambil berkata, “Selamat sejahtera, Rabbi!” lalu mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?” Orang ramai itu pun menangkap Yesus. Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang. Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku? Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?” Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi segala ini berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.