MATIUS 26:17-75

MATIUS 26:17-75 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.” Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam? Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.” Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.” Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk. Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga. Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!” Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ” Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!” Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. Apakah keputusan kamu?” Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?” Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.” Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.” Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!” Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.” Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.

MATIUS 26:17-75 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti yang tiada bŭragi, maka datanglah murid muridnya kapada Isa, sŭrta bŭrkata padanya, Dimanakah angkau kahandaki, supaya kami sŭdiakan makan pŭrjamuan hari raya langka? Maka bŭrkatalah iya, Pŭrgilah kamu masok kadalam nŭgri kapada sa’orang anu, katakanlah padanya, Guru bŭrkata, bahwa ajalku sudah dŭkat, maka dalam rumahmulah aku handak mŭndapati hari raya langka sŭrta dŭngan murid muridku. Maka dipŭrbuatlah ulih murid muridnya spŭrti yang disurohkan Isa itu padanya, sŭrta disŭdiakannya pŭrjamuan langka itu. Maka apabila sudah pŭtang hari, lalu dudoklah Isa makan sa’hidangan dŭngan kadua blas murid muridnya itu. Maka tŭtkala marika itu makan, lalu bŭrkatalah iya, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang deri antaramu ini akan mŭnyŭrahkan aku kapada musohku. Maka duka chitalah sangat marika itu, lalu bŭrtanyalah masing masing kapadanya, Hambakah dia, ya Tuhan? Maka jawabnya, Adapun orang yang masok tangan sŭrtaku dalam pinggan ini, iyalah akan mŭnyŭrahkan aku. Bahwa Anak manusia itu akan mati spŭrti yang tŭlah tŭrsurat deri halnya, tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan Anak manusia itu, lebih baiklah jikalau orang itu tiada dipranakkan. Maka sahut Yudas yang akan mŭnyŭrahkan Isa itu, katanya, Hambakah dia itu ya Guru? Maka jawabnya, Spŭrti katamu itu. ¶ Bŭrmula maka adalah marika itu pada tŭngah makan, maka diambil ulih Isa roti, sŭtlah sudah dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannyalah, sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, katanya, Ambillah, makan ulihmu, bahwa inilah tubohku. Dan lagi diambilnya pula sa’chawan minoman, maka sŭtlah iya mŭnguchap shukor, lalu dibrikannyalah pada marika itu, katanya, minomlah ulihmu sŭmua akan dia: Kŭrna inilah darahku, iya itu pŭrjanjian bahru yang tŭlah tumpah sŭbab orang banyak, supaya dosanya dihapuskan. Maka aku bŭrkata padamu, bahwa deripada kutika ini tiadalah lagi aku minom deri pada ayer anggor ini, hingga sampie pada hari apabila aku dŭngan kamu kŭlak minom dia itu dŭngan bahrunya, dalam krajaan Ayahku. Sŭtlah sudah marika itu mŭnyanyi suatu puji pujian, maka kluarlah marika itu kabukit Zieton. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭmua kamu ini kŭlak akan mŭmungkirkan aku pada malam ini, kŭrna tŭlah tŭrsurat dŭmkian, Bahwa aku akan mŭnyinchang gombala itu, maka domba sa’kawan itu pun akan chŭrie brielah. Tŭtapi apabila aku kŭlak hidop pula, maka aku akan bŭrjalan dahulu dihadapanmu pŭrgi kanŭgri Galilia. Maka disahut ulih Petros akan dia, Jikalau kiranya sagala orang mungkirkan angkau skali pun, bahwa skali kali aku tiada mungkir. Maka bŭrkata Isa padanya, Sasungguhnya juga aku bŭrkata padamu, bahwa pada malam ini juga, sŭbŭlom ayam bŭrkokok, maka angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka kata Petros padanya, Jikalau mati hamba skali pun, sŭrta juga dŭngan angkau, bahwa tiadalah aku kŭlak mŭnyagkali angkau; dŭmkian lagi pŭrkataan sagala murid muridnya yang lain pun. ¶ Tŭtkala itu datanglah Isa bŭrsama sama dŭngan marika itu masok kadalam suatu tŭmpat yang bŭrnama Gethsamani, maka bŭrkata Isa pada murid muridnya, Dudoklah kamu disini sŭmŭntara aku pŭrgi minta doa disitu. Maka dibawanyalah bŭrsama sama Petros, dan anak Zabdi kadua, maka bahrulah datang duka chitanya, sŭrta dŭngan sangat brat rasanya. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Nyawaku tŭrsangatlah bŭrduka bagie akan mati, nantilah kamu disini sŭrta bŭrjaga dŭngan aku. Maka pŭrgilah iya jauh sŭdikit, maka sujudlah iya mŭniarap, sambil mŭminta doa, katanya, Ya Ayahku, jikalau bulih kiranya, biarlah chawan minoman itu dinyahkan deripada aku, tŭtapi dalam pada itu pun bukannya spŭrti kahandakku, mŭlainkan spŭrti kahandakmu. Maka kŭmbalilah iya pada murid muridnya, maka didapatinya marika itu tidor, lalu katanya kapada Petros, Bagimana, tiadakah bulih kamu bŭrjaga sŭrtaku sa’jam sahja? Bŭrjagalah dŭngan bŭrminta doa, supaya jangan kamu kŭna pŭrchobaan, maka sungguh pun Roh itu bŭrkahandak, tŭtapi hati itu lŭmahlah adanya. Maka pŭrgilah iya pula pada kadua kalinya mŭminta doa, katanya, Ya Ayahku, jikalau kiranya chawan minoman itu tiada bulih nyah deripadaku, mŭlainkan handak kuminom juga akan dia itu, kahandakmu jadilah. Maka iya pun kŭmbalilah, lalu didapatinya akan marika itu tidor pula, kŭrna tŭrlalu sangat brat matanya. Maka ditinggalkanyalah marika itu, lalu pŭrgilah iya mŭminta doa pada katiga kalinya, mŭngatakan pŭrkataan itu juga. Sŭtlah itu kŭmbalilah iya kapada murid muridnya, lalu bŭrkata padanya, Tidorlah juga skarang, sŭnangkanlah dirimu, sasungguhnya kutika tŭlah sampie, bahwa Anak manusia itu akan disŭrahkan kŭtangan orang bŭrdosa. Bangunlah kamu, mari kita pŭrgi; tengoklah, orang yang handak mŭnyŭrahkan aku itu ada datang. ¶ Maka antara iya bŭrkata kata itu lagi, bahwasanya Yudas, sa’orang deripada yang kadua blas orang itu pun datanglah dŭngan mŭmbawa banyak rayat bŭrsama sama, sŭrta dŭngan pŭdang pŭdang, dan kayu kayu, iya itu disuroh imam bŭsar bŭsar, dan orang tua tua kaum itu. Adapun orang yang mŭnyŭrahkan Isa itu tŭlah mŭmbri suatu isharat pada marika itu, katanya, Barang siapa yang kuchium iya itulah dia, tangkaplah ulihmu. Maka dŭngan skutika itu juga datanglah Yudas kapada Isa, katanya, Slamatlah Guru, maka dichiumnya akan dia. Tŭtapi jawab Isa padanya, Sahabat, apa mulanya angkau datang ini? Sŭtlah itu datanglah marika itu mŭmbuboh tangannya ka’atas Isa, lalu ditangkapnya. Maka sasungguhnya ada sa’orang deripada marika itu yang bŭrsama sama dŭngan Isa mŭnghulorkan tangannya, sŭrta dihunasnya pŭdangnya, lalu dichinchangnya hamba imam bŭsar itu, putuslah tlinganya. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Sarongkanlah pŭdangmu itu kŭmbali, kŭrna barang sa’orang yang mŭmakie pŭdang itu, iya akan dibinasakan ulih pŭdang juga. Untah pada sangkamu, tiadakah bulih aku mŭminta pada Ayahku skarang ini, bahwasanya iya akan mŭmbri aku lebih deripada dua blas pasukan mŭliekat? Tŭtapi bagimanakah garangan kitab itu bulih digŭnapkan? Bahwasanya dapat tiada dŭmkianlah jadinya. Maka pada masa itu bŭrkatalah Isa pada sagala rayat itu, Kamu ini kluar sa’olah olah handak mŭnangkap orang pŭnyamunkah, dŭngan mŭmbawa pŭdang dan kayu handak mŭnangkap aku? Maka pada tiap tiap hari aku dudok bŭrsama sama dŭngan kamu mŭngajar dalam ka’abah, maka tiada kamu mŭnangkap aku. Tŭtapi skaliannya ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah surat sagala nabi; tŭtkala itu maka ditinggalkanlah ulih sagala murid muridnya akan Isa, lalu larilah marika itu. Adapun orang orang yang mŭnangkap Isa itu, dibawanyalah akan dia kapada Kiefas, imam bŭsar itu, ditŭmpat pŭrhimpunan khatib khatib, dan orang tua tua itu. Akan tŭtapi Petros mŭngikotlah akan dia deri jauh, sampie kapada balerong imam yang bŭsar itu, sŭtlah sudah iya masok, maka dudoklah iya bŭrsama sama dŭngan hamba imam, sŭbab handak mŭlihat kasudahannya. Maka imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua, sŭrta sagala orang bichara pun mŭnchari saksi dusta handak mŭnyalahkan Isa, supaya dibunohnya akan dia. Tiada juga didapatinya sa’orang pun, bahkan, maka sungguh pun banyak saksi yang dusta tŭlah datang, tŭtapi tiada juga sa’orang tŭrpakie. Kŭmdian deripada itu, datang pula dua orang saksi dusta, katanya, Iya ini tŭlah bŭrkata, iya bulih mŭmŭchahkan ka’abah Allah, dan bulih pula mŭmbangunkan dia dalan tiga hari. Maka bangunlah imam yang bŭsar, lalu bŭrkata pada Isa, Suatu pun tiadakah angkau jawab, apakah dia itu yang ditudoh ulih saksi ini atasmu? Tŭtapi Isa mŭndiamkan dirinya. Maka sahut imam yang bŭsar itu, sŭrta bŭrkata, Bahwasanya aku mŭlŭtakkan ka’atasmu sumpah, dŭmi Allah yang hidop, supaya angkau mŭngatakan pada kami kalau kalau angkaukah Almasih anak Allah itu. Maka kata Isa padanya, Spŭrti katamu itu; tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa kumdian deripada ini kŭlak kamu akan mŭliat Anak manusia itu dudok disŭblah kanan Allah yang maha kwasa, sŭrta datang diatas awan awan deri langit. Maka tŭtkala itu imam yang bŭsar itu mŭngoyakan pakieannya sŭndiri, katanya, Bahwasanya iya ini mŭmbuat fitnah akan Allah, apa gunanya saksi lagi, bahwa sasungguhnya skarang kamu sudah mŭnŭngar fitnahnya itu. Bagimanakah fikiran kamu? Maka disahut ulih marika itu katanya, Adapun hukumannya ini patutlah dibunoh. Tŭtkala itu maka diludahilah ulih marika itu muka Isa, sŭrta ditumboknya akan dia, dan ada yang mŭnampar dia, Katanya, Nabuatkanlah pada kami, hie Almasih, siapakah yang mŭmukol angkau? ¶ Sŭbarmula derihal Petros itu, adalah iya dudok diluar balierong, maka datanglah sa’orang pŭrampuan muda kapadanya, katanya, Angkau ini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Galilia itu. Maka bŭrsangkallah iya dihadapan sagala orang itu, katanya, Apakah angkau kata itu? tiada aku kŭtahui. Maka tŭtkala itu kluarlah iya kasrambi balie, maka dilihat pula ulih sa’orang pŭrampuan yang lain akan dia, katanya kapada orang orang yang ada disana, Iyaini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Nazareth itu. Maka iya bŭrsangkal pula dŭngan sumpah katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka skutika lagi orang yang bŭrdiri disana bŭrkata pada Petros, Sungguhlah angkau ini sa’orang deripada marika itu, kŭrna deripada bahsamu angkau dikŭnal. Hata maka tŭtkala itu bahrulah iya mŭngutoki dirinya, sŭrta bŭrsumpah, katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka sŭbŭntar lagi ayam pun bŭrkokoklah. Maka tŭrkŭnanglah Petros akan pŭrkataan Isa yang tŭlah dikatakannya padanya, bahwa sŭbŭlom ayam bŭrkokok, tiga kali angkau akan mŭnyangkali aku; maka kluarlah iya, sŭrta mŭnangis dŭngan tŭrsŭdeh sŭdeh.

MATIUS 26:17-75 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ” Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah. Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu. Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?” Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa. Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.” Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, aku tidak akan goyah.” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus berkata kepada Yesus, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu!” Semua murid yang lain pun berkata demikian. Selepas itu, Yesus pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.” Yesus membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berasa dukacita dan resah. Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.” Yesus pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.” Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku? Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.” Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.” Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk. Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama. Setelah itu, Dia mendapatkan murid-murid-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Anak Manusia sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.” Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada murid-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.” Dengan segera dia menghampiri Yesus sambil berkata, “Selamat sejahtera, Rabbi!” lalu mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?” Orang ramai itu pun menangkap Yesus. Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang. Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku? Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?” Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi segala ini berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri. Orang yang menangkap Yesus membawa-Nya kepada Imam Besar Kayafas. Di situ ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun. Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah imam besar, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu. Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya. Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil dengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’ ” Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri. Imam besar berkata kepada-Nya, “Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?” Yesus berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya! Bagaimana pendapatmu?” Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.” Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?” Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, “Kamu pun bersama Yesus, orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.” Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Orang ini pun bersama Yesus orang Nazaret.” Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Aku tak kenal orang itu!” Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, “Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.” Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang itu!” Serta-merta ayam berkokok. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.