MATIUS 26:17-30

MATIUS 26:17-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

MATIUS 26:17-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti yang tiada bŭragi, maka datanglah murid muridnya kapada Isa, sŭrta bŭrkata padanya, Dimanakah angkau kahandaki, supaya kami sŭdiakan makan pŭrjamuan hari raya langka? Maka bŭrkatalah iya, Pŭrgilah kamu masok kadalam nŭgri kapada sa’orang anu, katakanlah padanya, Guru bŭrkata, bahwa ajalku sudah dŭkat, maka dalam rumahmulah aku handak mŭndapati hari raya langka sŭrta dŭngan murid muridku. Maka dipŭrbuatlah ulih murid muridnya spŭrti yang disurohkan Isa itu padanya, sŭrta disŭdiakannya pŭrjamuan langka itu. Maka apabila sudah pŭtang hari, lalu dudoklah Isa makan sa’hidangan dŭngan kadua blas murid muridnya itu. Maka tŭtkala marika itu makan, lalu bŭrkatalah iya, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang deri antaramu ini akan mŭnyŭrahkan aku kapada musohku. Maka duka chitalah sangat marika itu, lalu bŭrtanyalah masing masing kapadanya, Hambakah dia, ya Tuhan? Maka jawabnya, Adapun orang yang masok tangan sŭrtaku dalam pinggan ini, iyalah akan mŭnyŭrahkan aku. Bahwa Anak manusia itu akan mati spŭrti yang tŭlah tŭrsurat deri halnya, tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan Anak manusia itu, lebih baiklah jikalau orang itu tiada dipranakkan. Maka sahut Yudas yang akan mŭnyŭrahkan Isa itu, katanya, Hambakah dia itu ya Guru? Maka jawabnya, Spŭrti katamu itu. ¶ Bŭrmula maka adalah marika itu pada tŭngah makan, maka diambil ulih Isa roti, sŭtlah sudah dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannyalah, sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, katanya, Ambillah, makan ulihmu, bahwa inilah tubohku. Dan lagi diambilnya pula sa’chawan minoman, maka sŭtlah iya mŭnguchap shukor, lalu dibrikannyalah pada marika itu, katanya, minomlah ulihmu sŭmua akan dia: Kŭrna inilah darahku, iya itu pŭrjanjian bahru yang tŭlah tumpah sŭbab orang banyak, supaya dosanya dihapuskan. Maka aku bŭrkata padamu, bahwa deripada kutika ini tiadalah lagi aku minom deri pada ayer anggor ini, hingga sampie pada hari apabila aku dŭngan kamu kŭlak minom dia itu dŭngan bahrunya, dalam krajaan Ayahku. Sŭtlah sudah marika itu mŭnyanyi suatu puji pujian, maka kluarlah marika itu kabukit Zieton.

MATIUS 26:17-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ” Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah. Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu. Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?” Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa. Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami