MATIUS 23:23-33

MATIUS 23:23-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain. Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan. Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan. Hai orang Farisi, kamu buta! Bersihkan bahagian dalam cawan itu terlebih dahulu, lalu bahagian luarnya akan bersih juga! Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. Demikianlah halnya dengan kamu! Pada lahirnya kamu kelihatan melakukan kehendak Allah, tetapi kamu sebenarnya orang jahat dan munafik.” “Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi, serta menghiasi kubur orang yang melakukan kehendak Allah. Kamu berkata, ‘Seandainya kami hidup pada zaman nenek moyang kami, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang membunuh nabi.’ Oleh itu kamu mengakui kamu keturunan orang yang membunuh nabi! Jika demikian teruskan dan selesaikan apa yang dimulakan oleh nenek moyang kamu! Kamu jahat seperti ular berbisa dan kamu keturunan orang jahat! Bagaimana mungkin kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman di neraka?

MATIUS 23:23-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Karamlah bagiemu khatib khatib, dan orang orang Farisia, hie munafik! kŭrna kamu mŭmbayar dalam spuloh asa deripada slasih, dan adas manis, dan jintan, tŭtapi kamu laliekan pŭrkara yang tŭrlebih brat hukumnya dalam Tauret, iya itu bŭnar, dan rahmat, dan iman; adapun sagala pŭrkara ini patutlah kamu bŭrbuat, tŭtapi janganlah kamu mŭninggalkan lain pŭrkara itu pun. Hie pŭmimpin buta! kuman kamu tapiskan, tŭtapi onta kamu tŭlan bulat. Karamlah bagiemu khatib khatib, dan orang Farisia, hie munafik! bahwa kamu mŭnyuchikan luar chawan dan pinggan, tŭtapi dalamnya pŭnoh dŭngan rampasan dan nŭjis. Hie orang Farisia yang buta! suchikanlah dahulu dalam chawan dan pingganmu, supaya diluarnya pun bulih suchi. Karamlah bagiemu khatib khatib, dan orang orang Farisia, hie munafik! bahwa adalah kamu spŭrti kubor yang dilŭbor puteh, sasunggohnya klihatan diluarnya chantek, tŭtapi dalamnya pŭnoh dŭngan tulang orang mati, dan sagala jŭnis chŭmar. Maka dŭmkianlah adanya kamu ini klihatan diluar bŭnar pada manusia, tŭtapi dalamnya pŭnoh dŭngan munafik, dan kŭjahatan. Karamlah bagiemu khatib khatib, dan orang orang Farisia, hie munafik! kŭrna kamu mŭmbaikki kubor sagala nabi nabi, dan mŭnghiasi kubor sagala orang yang bŭrbakti; Sambil kamu bŭrkata, Jikalau kiranya ada kami pada tŭtkala zaman nenek moyang kami, nŭschaya tiadalah kami sŭdaya dŭngan marika itu mŭnumpahkan darah nabi nabi itu. Dŭmkianlah kamu juga mŭnjadi saksi atas diri kamu, bahwa kamulah anak chuchu yang tŭlah mŭmbunoh nabi nabi. Bahwa chukopkanlah ulihmu sukatan nenek moyangmu itu. Hie ular, dan kŭturonnan ular yang bisa! bagimanakah kŭlak kamu bulih lŭpas lari dirimu deripada seksa nŭraka itu?

MATIUS 23:23-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain. Hai pemimpin yang buta! Agas kamu tapis, tetapi unta kamu telan. Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu. Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga. Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang mayat dan segala macam kekotoran. Begitulah kamu! Pada lahirnya kamu orang yang benar, tetapi sebenarnya kamu durjana dan munafik.” “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina makam yang indah untuk nabi-nabi dan menghiasi kubur orang yang benar. Kamu berkata, ‘Kalaulah kami hidup pada zaman nenek moyang kami dahulu, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang menumpahkan darah para nabi.’ Jadi, kamu sendiri memberikan kesaksian bahawa kamu keturunan pembunuh nabi! Kalau begitu, teruskan dan sempurnakanlah apa yang dimulakan oleh nenek moyangmu! Hai kamu ular, bahkan kamu bagaikan ular kapak berbisa! Bagaimana kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman neraka?