MATIUS 21:12-17
MATIUS 21:12-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ” Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ.
MATIUS 21:12-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka masoklah Isa kadalam ka’abah Allah, maka dihalaukannyalah sagala orang yang bŭrjual bli dalam ka’abah itu, sŭrta dibalek balekkannyalah sagala meja meja orang mŭnukar wang, dan sagala bangku bangku orang yang bŭrjual mŭrpati. Lalu kata Isa pada marika itu, Tŭlah tŭrsurat, bahwa ka’abahku disŭbot orang rumah sŭmbahyang, tŭtapi kamu tŭlah mŭnjadikan dia goa tŭmpat pŭnyamun. Maka datanglah kapadanya bŭbrapa orang buta, dan tempang dalam ka’abah, maka disŭmbohkannyalah marika itu. Shahadan apabila imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib mŭlihat pŭrkara ajaib yang tŭlah dipŭrbuatnya itu, lagi pula sagala kanak kanak pun bŭrsru dalam ka’abah dŭngan bŭrkata, Husana kiranya bagie anak Daud; lalu marahlah marika itu sangat. Maka bŭrkatalah iya kapada Isa, Adakah angkau dŭngar apa kata budak budak ini? Maka jawab Isa bagie marika itu, Bahkan; bŭlomkah kamu mŭmbacha, bahwa deri dalam mulot kanak, dan kanak kanak yang mŭnyusu, angkau tŭlah mŭnyampornakan puji pujian? Maka ditinggalkan ulih Isa akan marika itu, lalu kluarlah iya deri dalam nŭgri itu, lalu pŭrgilah kaBethani, maka bŭrmalamlah iya disana.
MATIUS 21:12-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.’ ” Selepas itu, orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Yesus di Bait Suci, lalu Dia menyembuhkan mereka. Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Suci, “Hosana bagi Anak Daud!” mereka berasa marah. Mereka berkata kepada Yesus, “Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?” Yesus menjawab, “Ya, belum pernahkah kamu baca, ‘Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.’ ” Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Betania. Dia menginap di situ.