MATIUS 21:1-22
MATIUS 21:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.” Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, “Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus. Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ” Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ. Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Yesus lapar. Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, “Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!” Dengan segera pokok ara itu layu. Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, “Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?” “Ketahuilah,” jawab Yesus, “jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku. Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.”
MATIUS 21:1-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA sŭtlah marika itu hampir kanŭgri Jerusalem, lalu sampielah iya kaBethpagi, iya itu dŭkat bukit Zieton, maka tŭtkala itu disurohkan ulih Isa dua orang muridnya, katanya kapadanya, Pŭrgilah kamu kapada duson yang bŭrsŭbrangan dŭngan kita ini, maka skutika itu kamu akan mŭndapat sa’ekor kaldie tŭrtambat, sŭrta dŭngan sa’ekor anaknya bŭrsama; luchutkanlah akan dia, bawa kapadaku. Maka jikalau barang siapa bŭrkata apa apa kapadamu, maka jawablah kamu, bahwa ada bŭrguna kapada Tuhan, maka dŭngan skutika juga iya akan mŭnyurohkan iya datang. Adapun sagala pŭrkara ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi katanya; Katakanlah kapada anak pŭrampuan Zion, tengoklah Rajamu yang rŭndah hatinya datang kapadamu bŭrkaindraan diatas sa’ekor kaldie dŭngan sa’ekor anaknya. Maka pŭrgilah murid muridnya bŭrbuat spŭrti yang disurohkan Isa padanya itu. Maka dibawanyalah kaldie itu sŭrta dŭngan anaknya, maka dikŭnakannyalah pakiean ka’atasnya, lalu didudokannya Isa ka’atasnya. Maka bŭbrapalah banyak sangat orang yang mŭmbŭntangkan pakieannya pada jalan, dan ada pula orang yang mŭngŭratkan ranting ranting deripada pokok pokok, sŭrta dikaparkannya dijalan. Maka sagala orang yang bŭrjalan dahulu, dan yang mŭngikot dia itupun bŭrsrulah, katanya, Husana kiranya bagie anak Daud, dan bŭrbahgialah iya yang datang dŭngan nama Tuhan; Husana kiranya dalam tŭmpat kŭtinggian skali! Maka apabila iya masok kadalam Jerusalem, gŭmparlah isi nŭgri, mŭngatakan, siapakah iya ini? Maka bŭrkatalah orang banyak, Iya inilah Isa, nabi deri Nazareth, tanah Galilia. ¶ Maka masoklah Isa kadalam ka’abah Allah, maka dihalaukannyalah sagala orang yang bŭrjual bli dalam ka’abah itu, sŭrta dibalek balekkannyalah sagala meja meja orang mŭnukar wang, dan sagala bangku bangku orang yang bŭrjual mŭrpati. Lalu kata Isa pada marika itu, Tŭlah tŭrsurat, bahwa ka’abahku disŭbot orang rumah sŭmbahyang, tŭtapi kamu tŭlah mŭnjadikan dia goa tŭmpat pŭnyamun. Maka datanglah kapadanya bŭbrapa orang buta, dan tempang dalam ka’abah, maka disŭmbohkannyalah marika itu. Shahadan apabila imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib mŭlihat pŭrkara ajaib yang tŭlah dipŭrbuatnya itu, lagi pula sagala kanak kanak pun bŭrsru dalam ka’abah dŭngan bŭrkata, Husana kiranya bagie anak Daud; lalu marahlah marika itu sangat. Maka bŭrkatalah iya kapada Isa, Adakah angkau dŭngar apa kata budak budak ini? Maka jawab Isa bagie marika itu, Bahkan; bŭlomkah kamu mŭmbacha, bahwa deri dalam mulot kanak, dan kanak kanak yang mŭnyusu, angkau tŭlah mŭnyampornakan puji pujian? Maka ditinggalkan ulih Isa akan marika itu, lalu kluarlah iya deri dalam nŭgri itu, lalu pŭrgilah kaBethani, maka bŭrmalamlah iya disana. ¶ Maka pada pagi hari tŭtkala iya balik kanŭgri, laparlah iya. Maka dilihatnya ada sa’pohon ara disisi jalan itu, lalu dihampirinyalah akan dia, maka didapatinya suatu pun tiada buahnya, mŭlainkan daun sahja; lalu bŭrkatalah iya padanya, Janganlah lagi angkau bŭrbuah sampie slama lamanya; maka dŭngan skutika itu juga kakringanlah pohon ara itu. Maka sŭtlah dilihat ulih muridnya akan hal yang dŭmkian, maka hieranlah marika itu katanya, Bŭtapa hal pohon ara ini kakringan sŭbŭntaran. Maka disahut ulih Isa bagie marika itu, Bahwa sasungguhnya aku bŭrkata padamu, jikalau ada kiranya padamu iman, dan tiada shak, jangankan barang yang tŭlah jadi pada pohon ara ini sahja, mŭlainkan jikalau kamu bŭrkata pada bukit ini, tŭrangkat dan tŭrbuang kadalam laut skalipun, sasungguhnya akan mŭnjadi. Dan lagi sagala pŭrkara yang kamu mŭminta pada tŭtkala kamu bŭrdoa dŭngan pŭrchayamu itu, nŭschaya kamu akan bŭrulih dia.
MATIUS 21:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Betfage, di Bukit Zaitun, Yesus mengutus dua orang murid, kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Kamu akan terus melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dia akan terus memulangkannya.” Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh nabi: “Katakanlah kepada puteri Sion, ‘Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati, menunggang seekor keldai, seekor keldai muda.’ ” Kedua-dua orang murid Yesus itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya. Mereka membawa keldai itu bersama anak keldainya lalu mengalas keldai itu dengan jubah mereka. Yesus pun duduk di atasnya. Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Yesus berseru-seru, “Hosana bagi Anak Daud!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” “Hosana di tempat yang maha tinggi!” Apabila Dia masuk ke Yerusalem, seisi kota itu kagum lalu bertanya, “Siapakah ini?” Orang ramai itu berkata, “Inilah Yesus, nabi dari Nazaret di Galilea.” Setelah itu, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.’ ” Selepas itu, orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Yesus di Bait Suci, lalu Dia menyembuhkan mereka. Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Suci, “Hosana bagi Anak Daud!” mereka berasa marah. Mereka berkata kepada Yesus, “Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?” Yesus menjawab, “Ya, belum pernahkah kamu baca, ‘Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.’ ” Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Betania. Dia menginap di situ. Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Yerusalem, Dia berasa lapar. Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, “Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.” Serta-merta pokok itu layu dan mati. Apabila dilihat oleh murid-murid-Nya, mereka hairan dan bertanya, “Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,’ lalu hal itu akan terjadi. Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.”