MATIUS 2:16-20
MATIUS 2:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.” Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.”
MATIUS 2:16-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Kalakian apabila dilihat ulih Herodis, bahwa iya tŭlah ditipu ulih pŭndita pŭndita itu, maka tŭrlalulah marahnya, sŭrta disurohkannya orang pŭrgi mŭmbunoh sagala budak budak yang ada diBathliham, dan pada skalian jajahannya itu yang ada bŭrumor dua tahun dan korang deripada itu, diturotnya spŭrti kutika yang tŭlah dipreksainya baik baik deripada pŭndita pŭndita itu. Maka pada tŭtkala itu gŭnaplah pŭrkara yang dikatakan ulih Nabi Jermiah; Katanya, Kadŭngaranlah dinŭgri Rama, satu suara ratap dan tangis, dan duka chita yang amat sangat, iya itu Rahil mŭnangiskan anaknya, tiadalah iya mahu dihiburkan sŭbab katidaan anaknya. ¶ Adapun apabila matilah Herodis, hieran, datanglah sa’orang mŭliekat Tuhan, dilihat Yosof dalam mimpi diMasir; Katanya, Bangunlah angkau, ambil akan kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah pŭrgi katanah Israil, kŭrna adapun yang handak mŭmbunoh kanak kanak itu sudah mati.
MATIUS 2:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. Oleh yang demikian, terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Satu suara terdengar di Rama, rintih ratap dan perkabungan. Rahel meratapi anak-anaknya; dia tidak mahu dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.” Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. Kata malaikat itu, “Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.”