MATIUS 2:1-10

MATIUS 2:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus lahir di kota Betlehem di negeri Yudea, pada masa pemerintahan Raja Herodes. Kemudian beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi? Kami nampak bintang-Nya terbit di sebelah timur, dan kami datang hendak menyembah Dia.” Apabila mendengar hal itu, Raja Herodes resah gelisah, demikian juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes mengumpulkan semua ketua imam dan guru Taurat lalu bertanya, “Di manakah Raja yang dijanjikan oleh Allah akan lahir?” Mereka menjawab, “Di kota Betlehem di negeri Yudea. Seorang nabi sudah menuliskan hal itu, ‘Hai Betlehem di negeri Yudea, engkau sekali-kali bukanlah yang terkecil antara kota-kota utama di Yudea; Daripadamu akan datang seorang pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ” Kemudian Raja Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan ahli-ahli kaji bintang itu. Daripada mereka, Raja Herodes mengetahui dengan tepat masa bintang itu mula kelihatan. Lalu Raja Herodes menyuruh ahli-ahli kaji bintang itu pergi ke Betlehem dengan perintah berikut, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia.” Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu.

MATIUS 2:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN sŭtlah sudah Isa dipranakkan diBathliham tanah Yahuda, tŭtkala Herodis mŭnjadi raja disitu, hieran, datanglah orang orang pŭndita deri sŭblah timor kaJerusalem, Katanya, Dimanakah Raja orang Yahudi yang bahru dipranakkan itu? kŭrna kami tŭlah mŭlihat bintangnya dinŭgri timor, maka datanglah kami handak mŭnyŭmbah akan dia. Hata apabila didŭngar ulih Raja Herodis akan hal itu, maka susahlah hatinya, sŭrta dŭngan sagala isi Jerusalem itu pun bŭrsama sama. Maka sŭtlah sudah dikampongkannya sagala Imam yang bŭsar bŭsar, dan Khatib Khatib deripada kaum itu, lalu dipreksainyalah kapada marika itu dimanakah Almasih itu akan jadi. Maka kata marika itu kapadanya, diBathliham tanah Yahuda, kŭrna dŭmkianlah tŭlah disuratkan ulih Nabi. Hie Bathliham tanah Yahuda, bukannya angkau tŭrkŭchil deri antara sagala kapala nŭgri Yahuda, kŭrna akan kluar kŭlak deri dalammu sa’orang Raja, maka iya itu akan mŭmrentahkan kaumku Israil. Sŭtlah itu maka dipanggil ulih Raja Herodis akan pŭndita pŭndita itu diam diam, sŭrta dipreksainya kapada marika itu baik baik, bilakah bintang itu tŭlah kŭlihatan. Hata maka disurohnyalah marika itu pŭrgi kaBathliham, katanya, pŭrgilah kamu chari baik baik kanak kanak itu, maka apabila kamu tŭlah mŭndapat dia, brilah tahu padaku, supaya aku pun datang mŭnyŭmbah akan dia. Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan pŭrkataan Raja, lalu pŭrgilah iya, hieran, adapun bintang yang dilihatnya dinŭgri timor itu, adalah tŭrdahulu bŭrjalan dihadapan marika itu, sampie datanglah bintang itu tŭrhŭnti diatas tŭmpat yang ada kanak kanak itu. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan bintang itu, suka chitalah marika itu dŭngan suka chita yang amat bŭsar.

MATIUS 2:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus dilahirkan di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.” Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya Kristus, Mesias itu. Mereka menjawab, “Di Betlehem, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi: ‘Wahai Betlehem di Tanah Yehuda, engkau bukanlah yang terkecil antara pemimpin kota utama Yehuda, kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ” Setelah itu, Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Betlehem dengan perintah demikian: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya, beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.” Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu.