MATIUS 19:16-21
MATIUS 19:16-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.” “Hukum yang mana?” tanya orang itu. Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” “Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?” Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”
MATIUS 19:16-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Bahwa sasungguhnya datanglah sa’orang bŭrkata padanya, Hie Guru yang baik, apakah pŭrkara yang baik yang patut kupŭrbuat, supaya aku mŭndapat hidop kŭkal? Maka jawabnya pada orang itu, Mŭngapa angkau kata aku baik? Bahwa sa’orang jua pun tiada yang baik, mŭlainkan satu, iya itu Allah: tŭtapi jikalau angkau handak mŭndapat hidop kŭkal, pliharakanlah sagala surohan Allah. Maka bŭrtanyalah orang itu kapadanya, Yang manakah dia itu? Maka jawab Isa, Janganlah angkau mŭmbunoh orang, dan janganlah angkau bŭrbuat zinah, dan janganlah angkau mŭnchuri, dan janganlah angkau mŭnjadi saksi dusta. Brilah hormat akan ibu bapamu, dan handaklah angkau mŭngasihi akan samamu manusia spŭrti angkau mŭngasihi dirimu sŭndiri. Maka dijawab ulih orang muda itu akan dia, Sagala pŭrkara ini tŭlah kupŭrbuat deri pada kŭchilku; apakah lagi yang korang bagieku? Maka kata Isa padanya, Jikalau angkau handak mŭnjadi samporna, pŭrgilah angkau jual sagala harta bŭndamu, brikan sŭdŭkah pada orang mŭskin, sŭtlah itu angkau akan mŭndapat suatu pŭrbandaharan dalam shorga, maka kumdian deripada itu, marilah angkau mŭngikot aku.
MATIUS 19:16-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Yesus lalu bertanya, “Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?” Yesus menjawab, “Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.” Pemuda itu bertanya, “Hukum yang mana?” Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan memberi kesaksian palsu; hormatilah ibu bapamu; kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” “Semua hukum ini telah kupatuhi,” kata pemuda itu. “Adakah lagi yang harus kulakukan?” Yesus menjawab, “Jika kamu ingin menjadi sempurna, pergilah, jual segala harta bendamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu, datanglah dan ikut Aku.”