MATIUS 18:1-35

MATIUS 18:1-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.” “Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga. [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!] Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.” “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.” Petrus datang kepada Yesus dan bertanya, “Ya Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadap aku, berapa kalikah harus aku ampuni dia? Sehingga tujuh kalikah?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali! Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.” Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, “Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

MATIUS 18:1-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA pada kutika itu juga datanglah murid murid itu kapada Isa katanya, Siapakah grangan yang tŭrlebih bŭsar dalam krajaan shorga? Maka dipanggil ulih Isa sa’orang kanak kanak hampir kapadanya, lalu ditarohnya akan dia pada sama tŭngah marika itu, Sŭrta bŭrkata, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, jikalau tiada angkau bŭrubah mŭnjadi spŭrti kanak kanak, maka skali kali tiada dapat kamu masok kadalam krajaan shorga. Maka sŭbab itu, barang siapa yang mŭrŭndahkan dirinya spŭrti kanak kanak ini, maka iyalah juga yang tŭrlebih bŭsar dalam krajaan shorga. Maka barang siapa yang mŭnyambut sa’orang kanak kanak spŭrti ini sŭbab namaku, maka srasa iya mŭnyambut aku. Tŭtapi barang siapa yang mŭndatangkan kasalahan pada sa’orang jua pun kanak kanak ini yang pŭrchaya akan daku, maka tŭrlebih baik padanya itu, jikalau digantongkan sa’buah batu kisaran dilehirnya, ditŭngglamkan ditŭngah laut. Karamlah bagie orang dunia, deri sŭbab mŭndatangkan kasalahan, kŭrna dapat tiada bŭbrapa kasalahan akan datang, tŭtapi karamlah bagie orang orang yang mŭndatangkan kasalahan itu. Maka sŭbab itu jikalau kiranya tanganmu, atau kakimu mŭndatangkan kasalahan bagiemu, kratkanlah akan dia, buangkan deripadamu, maka tŭrlebih baik angkau masok kadalam kahidopan kŭkal itu dŭngan tempang atau pinchang, deripada bŭrtangan dua, atau bŭrkaki dua dimasokkan kadalam api yang kŭkal. Dan jikalau matamu mŭndatagkan kasalahan bagiemu, korekkanlah dia, buangkan deri padamu, maka tŭrlebih baik angkau masok kadalam kahidopan kŭkal dŭngan sŭblah mata, deripada bŭrmata kaduanya dimasokkan kadalam api nŭraka. ¶ Ingatlah, jangan kamu mŭnghinakan barang sa’orang deripada sagala orang yang tŭrkŭchil ini, kŭrna aku bŭrkata padamu, bahwa mŭliekatnya dalam shorga lagi sŭntiasa mŭmandang halrat ayahku yang dalam shorga. Kŭrna anak manusia datang akan mŭmliharakan yang tŭlah hilang. Maka bagimanakah sangkamu, jikalau ada kiranya sa’orang mŭnaroh sratus ekor domba, maka sa’ekor dombanya tŭlah sŭsat barat, bukankah ditinggalkannya sŭmbilan puloh sŭmbilan ekor domba itu, iya naik turon gunong mŭnchari yang sŭsat itu? Jikalau didapatinya akan dia itu, bahwasanya aku bŭrkata padamu, suka chitalah iya akan dia, tŭrlebih deripada sŭmbilan puloh sŭmbilan yang tiada sŭsat itu. Maka dŭmkianlah kahandak ayahmu yang ada dishorga pun, supaya jangan binasa barang sa’orang jua pun deripada yang tŭrkŭchil ini. ¶ Tambahan pula, jikalau saudaramu ada bŭrsalah padamu, pŭrgilah tŭgor akan dia antara sama sa’orang angkau dŭngan dia, jikalau ditrimanya akan pŭrkataanmu itu, tŭlah angkau bŭrulih kŭmbali akan saudaramu itu. Tŭtapi jikalau tiada iya mahu mŭnrima pŭrkataanmu itu, bawalah sa’orang atau dua orang lagi sŭrtamu, supaya bulih ditŭntukan sagala pŭrkataanmu itu ulih mulot dua tiga orang saksi itu. Dan jikalau ŭnggan iya akan marika itu, brilah tahu pada sidang jŭmaah, maka jikalau iya ŭnggan pula akan sidang jŭmaah, maka handaklah angkau mŭmbilang dia spŭrti orang sŭsat, dan orang yang mŭmŭgang chukie. Maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, barang suatu yang kamu ikat diatas bumi ini, iya itu ada tŭrikat dalam shorga; dan barang suatu yang kamu uriekan diatas bumi ini, maka iya itu pun ada tŭrurie dalam shorga. Lagi pun aku bŭrkata padamu, jikalau kiranya dua orang deripadamu bŭrmufakat sama sama diatas bumi ini, iya itu derihal barang apa yang handak dipintanya, maka iya itu akan dikurniakan bagienya ulih ayahku yang ada dishorga. Kŭrna barang dimana ada dua tiga orang bŭrhimpun deri kŭrna namaku, maka disitulah aku pun ada bŭrsama sama ditŭngah marika itu. ¶ Maka pada tŭtkala itu, datanglah Petros padanya, katanya, Ya Tuhan, brapa kali saudaraku bŭrsalah padaku yang patut kuampuni akan dia, sampia tujoh kalikah? Maka jawab Isa padanya, Bahwa bukannya aku bŭrkata padamu, sampie tujoh kali, mŭlainkan sampie tujoh puloh kali tujoh. Sŭbab itulah krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan sa’orang Raja, yang handak mŭnŭntukan kira kira dŭngan orangnya. Adapun tŭtkala bahru dimulainya mŭlihat kira kira, maka dibawa oranglah kapadanya sa’orang yang bŭrhutang wang salaksa tŭlanta. Maka sŭbab tiada padanya pŭmbayar itu, maka disuroh ulih tuannya itu jualkan dia laki bini, anak branak, dan sagala sasuatu harta bŭndanya, akan mŭmbayar hutangnya. Maka mŭnyŭmbahlah orang itu sampie katanah, sambil bŭrkata, Ya tuan, sabarlah, maka hamba nanti mŭmbayar sŭmuanya skali. Maka kasihanlah tuannya akan orang itu, sambil dilŭpaskannya akan dia, lalu dimaafkannyalah hutangnya itu. Hata kluarlah orang itu, lalu bŭrtŭmulah iya dŭngan sa’orang kawannya yang sa’tuan dŭngan dia, yang ada bŭrhutang padanya sratus dinar; maka ditangkapnya akan dia, sŭrta dichŭkekkannya lehirnya, katanya, Bayarlah hutangmu. Maka mŭnyŭmbahlah kawannya itu dikakinya, sŭrta mŭminta padanya, Sabarlah kiranya, maka hamba akan mŭmbayar sŭmuanya. Maka ŭngganlah iya, lalu dibawanya pŭrgi dimasokkannya kadalam pŭnjara, sampie dibayarnya hutangnya itu. Maka apabila dilihat ulih sagala kawan lain yang sa’tuan dŭngan dia itu akan hal yang dŭmkian, maka duka chitalah marika itu sangat, sŭrta pŭrgilah iya skalian pada tuannya mŭmbri tahu akan sagala hal ahwal itu. Sŭtlah sudah dipanggil ulih tuannya itu akan dia, lalu bŭrkata, Hie hamba yang jahat, adapun hutangmu sŭmuanya sudah kumaafkan, sŭbab angkau mŭminta padaku: Maka bukankah patut angkau pun kasihankan kawanmu itu spŭrti aku tŭlah mŭngasihi akan dikau? Maka morkalah tuannya itu, sŭrta disŭrahkannya dia kapada pŭnunggu pŭnjara, sampie dibayarnya hutangnya itu sŭmuanya. Dŭmkianlah juga ayahku pun yang ada dishorga kŭlak buat padamu, jikalau tiada dŭngan sungguh hati kamu mŭngampuni akan sŭsa’orang saudaramu deri pada sagala kasalahannya.

MATIUS 18:1-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada ketika itu para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus pun berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga. Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku.” Sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api kekal. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam api neraka. “Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada murid-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga. Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang hilang. Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya hilang, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang hilang itu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu. Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun yang kecil ini hilang.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, ‘Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.” “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.” Petrus datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali. Kerana kerajaan syurga seperti yang berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya. Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak sepuluh ribu talenta dibawa menghadapnya. Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu. Hamba itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.’ Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya. Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang dinar kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, ‘Bayar semua hutangmu.’ Rakannya itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.’ Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya. Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja. Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, ‘Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu. Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?’ Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar. Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.”