MATIUS 15:32-39
MATIUS 15:32-39 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.
MATIUS 15:32-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Tŭtkala itu dipanggillah ulih Isa akan murid muridnya, lalu bŭrkata padanya, Bahwa kasihanlah aku akan sagala orang ini, sŭbab tŭlah tiga hari lamanya skarang marika itu sudah bŭrsama sama dŭngan aku, maka tiadalah kapada marika itu barang suatu yang handak dimakannya; aku tiada handak mŭlŭpaskan dia dŭngan kŭlaparannya, kalau kalau jangan pula marika itu pengsan dijalan. Maka jawab murid muridnya, Deri manakah kami akan mŭndapat makanan sŭbanyak itu dalam hutan padang ini, yang akan mŭngŭnyangkan prot orang sŭbanyak ini? Maka kata Isa pada marika itu, Ada brapa buah roti padamu? Maka jawab marika itu, Ada tujoh buah, dan ikan kŭchil kŭchil sŭdikit. Maka disurohkanlah ulih Isa akan orang banyak itu dudok ditanah. Lalu diambilnyalah tujoh buah roti itu, sŭrta ikan itu, lalu iya mŭminta doa, sŭtlah sudah dipŭchahkannya, lalu dibrikannya itu kapada murid muridnya, maka murid muridnya itu pula mŭmbrikan kapada orang banyak itu. Maka makanlah sagala marika itu sampie kŭnyang; kumdian diangkat oranglah sisa yang tinggal tinggal itu, tujoh buah bakol pŭnoh. Adapun sagala orang yang tŭlah makan itu, ada ampat ribu orang banyaknya, lain pula sagala pŭrampuan dan kanak kanak. Sŭtlah itu maka dilŭpaskannya orang banyak itu pulang, maka naiklah iya kadalam sa’buah pŭrahu, sŭrta pŭrgi kapada jajahan Magdala.
MATIUS 15:32-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.” Para murid-Nya berkata, “Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?” Yesus bertanya, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?” “Tujuh buku,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh. Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak. Setelah itu, Yesus menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.