MATIUS 15:21-39

MATIUS 15:21-39 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.” Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!” Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.” Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh. Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk. Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua. Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel. Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.

MATIUS 15:21-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan maka Isa pun kluarlah deri sana, lalu pŭrgilah iya kapada jajahan Thor dan Sidon. Maka hieran, kluarlah sa’orang pŭrampuan Kanaan deri pada jajahan itu, sambil iya bŭrtriak akan Isa katanya, Ya Tuhan, anak Daud, kasihankanlah aku, bahwa anakku pŭrampuan tŭrkŭna ulih jin, tŭrlalu sangat sakit. Maka barang sapatah kata jua pun tiada disahut Isa akan dia; maka datanglah murid muridnya mŭminta padanya, katanya, Surohkanlah pŭrampuan itu pŭrgi, kŭrna iya mŭnjŭret mŭngikot blakang kita. Maka sahut Isa, Bahwa aku ini bukannya disurohkan pada yang lain, mŭlainkan kapada domba yang hilang, iya itu kaum bŭnih Israil. Maka pŭrampuan itu pun datanglah sujud kapadanya, katanya, Tuhan, tolonglah hamba. Maka mŭnyahutlah Isa sambil bŭrkata, Bahwa tiada patut aku mŭngambil makanan kanak kanak itu dibrikan kapada anjing. Maka bŭrkatalah pŭrampuan itu, Bŭnarlah Tuhan, mŭlainkan anjinglah yang mŭmakan deripada remah yang jatoh deri atas meja tuannya. Sŭtlah itu, maka dijawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Hie pŭrampuan, bŭsarlah imanmu, jadilah juga kapadamu spŭrti kahandakmu; maka pada kutika itu juga sŭmbohlah anak pŭrampuan itu. ¶ Sabŭrmula maka undorlah Isa deri sana, datang hampir kapada tasik Galilia, maka naiklah iya ka’atas sa’buah bukit, lalu dudok disana. Maka banyaklah pŭrhimpunan orang datang kapadanya, sŭrta mŭmbawa bŭbrapa orang tempang, dan buta, dan kŭlu, dan pinchang, dan bŭbrapa orang bŭrpŭnyakit yang lain pun, lalu dilŭtakkan akan dia dikaki Isa, maka disŭmbohkannyalah marika itu. Sampie hieranlah sagala orang itu, apabila mŭlihat orang kŭlu itu bŭrkata kata, dan orang pinchang itu tŭlah sŭmboh, dan orang yang tempang itu pun tŭlah bŭrjalan bŭtol, dan orang buta itu tŭlah chŭlek; lalu marika itu pun mŭmuliakan Allah orang Israil. ¶ Tŭtkala itu dipanggillah ulih Isa akan murid muridnya, lalu bŭrkata padanya, Bahwa kasihanlah aku akan sagala orang ini, sŭbab tŭlah tiga hari lamanya skarang marika itu sudah bŭrsama sama dŭngan aku, maka tiadalah kapada marika itu barang suatu yang handak dimakannya; aku tiada handak mŭlŭpaskan dia dŭngan kŭlaparannya, kalau kalau jangan pula marika itu pengsan dijalan. Maka jawab murid muridnya, Deri manakah kami akan mŭndapat makanan sŭbanyak itu dalam hutan padang ini, yang akan mŭngŭnyangkan prot orang sŭbanyak ini? Maka kata Isa pada marika itu, Ada brapa buah roti padamu? Maka jawab marika itu, Ada tujoh buah, dan ikan kŭchil kŭchil sŭdikit. Maka disurohkanlah ulih Isa akan orang banyak itu dudok ditanah. Lalu diambilnyalah tujoh buah roti itu, sŭrta ikan itu, lalu iya mŭminta doa, sŭtlah sudah dipŭchahkannya, lalu dibrikannya itu kapada murid muridnya, maka murid muridnya itu pula mŭmbrikan kapada orang banyak itu. Maka makanlah sagala marika itu sampie kŭnyang; kumdian diangkat oranglah sisa yang tinggal tinggal itu, tujoh buah bakol pŭnoh. Adapun sagala orang yang tŭlah makan itu, ada ampat ribu orang banyaknya, lain pula sagala pŭrampuan dan kanak kanak. Sŭtlah itu maka dilŭpaskannya orang banyak itu pulang, maka naiklah iya kadalam sa’buah pŭrahu, sŭrta pŭrgi kapada jajahan Magdala.

MATIUS 15:21-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Yesus sambil berseru, “Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!” Yesus diam tidak menjawab. Para murid-Nya memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.” Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang.” Wanita itu mendekati Yesus dan menyembah-Nya sambil berkata, “Tuan, tolonglah aku.” Yesus menjawab, “Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.” “Benar, Tuan,” balas wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Oleh yang demikian Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.” Serta-merta anak wanita itu pulih. Yesus beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu, Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ. Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang menghidap pelbagai penyakit. Yesus menyembuhkan mereka. Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Allah Israel. Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.” Para murid-Nya berkata, “Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?” Yesus bertanya, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?” “Tujuh buku,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh. Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak. Setelah itu, Yesus menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.