MATIUS 14:22-33
MATIUS 14:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ. Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. “Hantu!” jerit mereka dengan ketakutan. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” Lalu Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.” “Marilah,” jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus. Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!” Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?” Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh. Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, “Sesungguhnya Engkau Anak Allah!”
MATIUS 14:22-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭbarmula sŭtlah itu sŭgralah dikŭrahkan ulih Isa akan murid muridnya naik kaprahu mŭndahului dia bŭrlayar kasŭbrang, sŭmŭntara iya handak malŭpaskan pŭrhimpunan orang orang itu pulang. Maka sŭtlah sudah iya mŭlŭpaskan sagala orang itu pulang, lalu naiklah iya ka’atas sa’buah bukit sa’orang orang dirinya, handak mŭminta doa; maka sŭtlah sudah malam hari, maka tinggallah iya disana sa’orang orangnya. Maka adalah pŭrahu itu kapada sama tŭngah tasik, dipukol ombak sangat, kŭrna mŭndahaga angin. Maka adalah kira kira pukol tiga tŭngah malam, maka datanglah Isa mŭndapatkan murid muridnya itu, dŭngan bŭrjalan diatas ayer. Maka apabila dilihat ulih marika itu iya bŭrjalan diatas ayer, maka kŭtakotanlah marika itu, katanya, Itutah hantu! lalu bŭrtriaklah iya sŭbab takotnya. Tŭtapi sŭgralah disahut Isa pada marika itu, katanya, Tŭtapkanlah hatimu, akulah; janganlah kamu takot. Maka mŭnyahutlah Petros katanya, Tuhan, kalau sungguh angkau, surohkanlah hamba datang kapadamu, bŭrjalan diatas ayer ini. Maka jawabnya, Marilah; lalu turonlah Petros deri dalam pŭrahu, sambil bŭrjalan diatas ayer, handak pŭrgi mŭndapatkan Isa. Tŭtapi apabila dilihatnya angin kras, takotlah iya; maka tŭtkala hampirlah iya handak tŭngglam, maka bŭrtriaklah iya katanya, Tuhan tulonglah hamba. Maka dŭngan skutika itu juga dihulorkan Isa tangannya, sŭrta mŭnchapie dia, sambil katanya, Hie yang korang iman, apa mulanya angkau shak? Maka apabila naiklah marika itu kapŭrahu, lalu angin pun tŭdohlah. Maka sagala orang yang dalam pŭrahu itu datanglah sujud kapadanya, sŭrta bŭrkata, Sasungguhnyalah angkau anak Allah.
MATIUS 14:22-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri. Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan. Antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, “Hantu!” Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut.” Petrus berkata, “Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.” “Marilah,” sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus. Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. “Tuhan! Selamatkan aku!” serunya. Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, “Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?” Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, “Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!”