MATIUS 11:25-30
MATIUS 11:25-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu Yesus berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar. Ya Bapa, memang hal inilah yang Engkau kehendaki.” Yesus berkata lagi, “Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa. Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan. Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”
MATIUS 11:25-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka pada kutika itu juga bŭrkata Isa, Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapadamu, hie Ayah, Tuhan langit dan bumi, sŭbab angkau tŭlah mŭnyŭmbunyikan sagala pŭrkara ini deripada orang bŭrilmu dan bijaksana, dan tŭlah mŭnyatakan dia itu kapada kanak kanak. Biarlah dŭmkian itu, ya Ayah: kŭrna dŭmkianlah tampak baik pada pŭmandanganmu. Adapun sagala sa’suatu itu tŭlah disŭrahkan ulih Ayahku padaku: maka sa’orang pun tiada mŭngtahui Anak, mŭlainkan Ayah, dan sa’orang pun tiada mŭngtahui Ayah, mŭlainkan Anak: dan lagi pula orang yang dikahandaki ulih Anak itu, maka dinyatakannya deri hal Ayah kapadanya. ¶ Marilah padaku, hie sagala orang yang bŭrlŭlah, dan yang mŭnanggong brat, maka akulah kŭlak akan mŭmbri pŭrhŭntian pada kamu. Pakielah kokku, dan blajarlah deripadaku, kŭrna aku ini lŭmah lŭmbut, sŭrta dŭngan hati yang rŭndah, maka kamu kŭlak akan mŭndapat pŭrhŭntian bagie jiwa kamu. Kŭrna kokku itu kamudahan, dan tanggonganku pun rengan adanya.
MATIUS 11:25-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu Yesus berucap, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil. Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.” “Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa. Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan. Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang. Sebab kuk-Ku serba mudah, dan beban-Ku pun ringan.”