MATIUS 11:2-11

MATIUS 11:2-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Yohanes Pembaptis yang berada di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus, dia menghantar beberapa orang pengikutnya kepada Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Guru orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?” Yesus menjawab, “Baliklah dan beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan nampak: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!” Sementara pengikut-pengikut Yohanes meninggalkan tempat itu, Yesus berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana! Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi! Yohanes Pembaptis itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia dahulu daripada-Mu untuk menyediakan jalan bagi-Mu.’ Ketahuilah! Yohanes Pembaptis lebih besar daripada semua orang yang pernah hidup di dunia ini. Namun demikian orang yang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.

MATIUS 11:2-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila didŭngar ulih Yahya deri dalam pŭnjara, akan sagala pŭrbuatan Almasih, lalu disurohkannyalah dua orang muridnya pŭrgi bŭrtanya kapada Isa: Bahwa angkaulah dia itu yang akan datang, atau kami nantikankah orang yang lain? Maka dijawab ulih Isa kapada marika itu, katanya, Bahwa pŭrgilah kamu bri tahu kapada Yahya, derihal barang yang kamu dŭngar, dan yang kamu lihat: Orang buta tŭlah chŭlek, dan orang tempang bulih bŭrjalan bŭtul, dan orang kusta sudah disuchikan, dan orang tuli bulih mŭnŭngar, dan orang mati tŭlah dihidopkan, dan Injil pun tŭlah dibri tahu kapada orang mŭskin. Bahwa bŭrbahgialah orang yang tiada shak iya akan daku. ¶ Arkian sŭtlah undorlah orang orang itu, maka dimulai Isa bŭrkata kata pada pŭrhimpunan orang itu akan hal Yahya, Apakah mulanya kamu kluar pŭrgi kahutan mŭmandang, sa’batang bambukah yang digonchangkan ulih angin? Untah apakah yang kamu tŭlah kluar mŭlihat, bahwa sa’orang manusia yang mŭmakie kain haluskah? Maka sasungguhnya orang yang mŭmakie kain halus itu, ada iya dalam istana raja raja. Untah apakah yang kamu kluar mŭlihat? Sa’orang nabikah? Maka sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, iya itu tŭrlebih deripada nabi adanya. Bahwa inilah dia yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa sasungguhnya aku mŭnyurohkan surohanku dihadapanmu, maka iyalah nanti sŭdiakan jalanmu dihadapanmu. Maka sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa bŭlom pŭrnah jadi deri antara sagala orang yang dipranakkan ulih pŭrampuan, sa’orang jua pun yang tŭrlebih bŭsar deripada Yahya Pŭmbaptisa: tŭtapi barang siapa yang tŭrkŭchil dalam krajaan shorga, maka iya itu tŭrlebih bŭsar pula deripadanya.

MATIUS 11:2-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yohanes yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus. Yohanes pun menyuruh beberapa orang muridnya untuk bertanya kepada Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?” Yesus menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan lihat: Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin. Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku!” Ketika murid-murid Yohanes beredar dari situ, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes: “Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin? Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana. Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi. Tentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci: ‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’ Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun begitu, orang yang terkecil dalam kerajaan syurga lebih besar daripadanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami