MATIUS 10:1-42

MATIUS 10:1-42 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit. Inilah nama dua belas orang rasul itu: Simon (yang disebut Petrus) dan saudaranya, Andreas; Yakobus dan saudaranya, Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus dan Tadius; Simon, Si Patriot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, “Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat. Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’ Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran! Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga. Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya. Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu. Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam. Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu. Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu. Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!” “Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh. Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel. Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!” “Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan menyangka bahawa Aku membawa kedamaian ke dunia ini. Aku tidak membawa kedamaian, tetapi pertentangan. Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Demikian juga sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati.” “Sesiapa yang menyambut kamu, menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima pahala seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang baik kerana orang itu baik, akan menerima pahala seorang baik. Ingatlah! Sesiapa yang memberikan minuman walaupun hanya air sejuk kepada salah seorang pengikut-Ku yang paling hina kerana dia pengikut-Ku, akan menerima pahalanya.”

MATIUS 10:1-42 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sŭtlah dipanggil ulih Isa akan kadua blas muridnya, lalu dibrikannyalah kwasa padanya, supaya marika itu bulih mŭmbuangkan sagala jin yang nŭjis nŭjis, dan mŭnyŭmbohkan sagala jŭnis pŭnyakit, dan sagala pŭnyakitan. Maka inilah nama kadua blas Rasol itu: pŭrtama tama Simon yang bŭrgŭlar Petros, dan Andria saudaranya; Yakob ben Zabdi, dan Yahya saudaranya; Philipus, dan Bartholomu; dan Thomas, dan Mathius yang mŭmŭgang chukie itu; dan Yakob ben Alfius, dan Libius yang bŭrgŭlar Thaddius; Simon anak nŭgri Kanaan, dan Judas Iskariot, iya itulah yang mŭnyŭrahkan Isa dŭngan tipunya. Maka kadua blas orang itulah disurohkan ulih Isa, sŭrta iya bŭrpŭsan padanya, katanya, Janganlah kamu skalian pŭrgi kanŭgri orang sŭsat, dan janganlah kamu masok kadalam nŭgri orang Samaria: Mŭlainkan tŭrutamalah kamu pŭrgi kapada kambing yang hilang, iya itu kaum bŭni Israil itu. Maka sambil kamu bŭrjalan itu, ajarkanlah, katakan, Krajaan shorga sudah dŭkat. Sŭmbohkanlah orang yang sakit, dan suchikanlah orang kusta, dan hidopkanlah orang yang mati, dan buangkanlah sagala jin; maka kamu tŭlah trima dŭngan kŭmurahannya, maka handaklah kamu bri dŭngan kŭmurahannya juga. Maka janganlah kiranya kamu mŭmbawa bŭkal mas, atau perak, atau tŭmbaga digandonganmu: Atau barang bŭkal makanan kapada pŭrjalananmu, dan lagi jangan kamu bŭrbaju dua lapis, dan jangan bŭrbŭkal trompah, atau tongkat; kŭrna dapat tiada orang yang bŭkŭrja itu, patutlah akan mŭndapat rŭzkinya. Shahadan dinŭgri, atau diduson yang mana pun baik kamu masuki, tanya ulihmu siapa dalamnya yang layak, maka dirumahnyalah kamu tinggal sampie kamu kluar deri tŭmpat itu. Maka apabila kamu masok kadalam sa’buah rumah, brilah sŭlam kapada isi rumah itu. Maka jikalau layak kiranya orang dirumah itu, maka biarlah sŭlammu itu didapatinya, tŭtapi jikalau iya tiada layak, maka kŭmbalilah pula sŭlammu itu kapadamu. Maka barang siapa yang tiada mŭnŭrima kamu, dan tiada mŭnurot pŭrkataanmu, maka apabila kamu kluar deri dalam rumah itu, atau deri dalam nŭgri itu, maka kŭbaskanlah abok yang lŭkat pada kakimu itu. Maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa tŭrlebih ringan pula seksa orang nŭgri Sodom dan Gomorah pada hari kiamat deripada orang nŭgri itu. ¶ Tengoklah, bahwasanya aku mŭnyurohkan kamu ini spŭrti domba masok diantara sŭrigala, sŭbab itu handaklah kamu bijaksana spŭrti ular, dan tulus spŭrti mŭrpati. Maka ingat ingatlah kamu deripada manusia, kŭrna marika itu akan mŭmbawa kŭlak kamu kadalam bichara, dan dalam kŭnisanya marika itu akan mŭnyŭsah kamu. Dan lagi akan dibawanya kamu kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja, ulih sŭbab aku, supaya kamu mŭnjadi saksi bagie marika itu, sŭrta orang sŭsat. Tŭtapi apabila disŭrahkan orang akan kamu kadalam bichara, maka janganlah kamu mŭnaroh fikiran, bagimana, atau apa yang handak kamu kata, kŭrna pada sa’at itu juga akan dikurniakan padamu apa yang patut kamu bŭrkata kata; Kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata, mŭlainkan roh ayahmu yang bŭrkata kata didalammu itu. Maka sa’orang saudara akan mŭnyŭrahkan saudaranya supaya dibunoh, maka bapa pun bŭrbuat kapada anaknya dŭmkian, dan anak anak akan bŭrbangkit mŭlawan ibu bapanya, sahingga kaduanya itu dibunoh. Maka kamu ini akan dibŭnchi ulih sagala orang deri sŭbab namaku, tŭtapi barang siapa yang bŭrtahan sampie kasudahan, maka iyalah mŭndapat slamat. Maka apabila diannyayai orang akan kamu dalam nŭgri ini, larilah kamu kasa’buah nŭgri lain, kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, tiada akan habis pŭkŭrjaanmu dalam nŭgri nŭgri Israil itu, kalau sŭbŭlom datang anak manusia. Maka tiadalah murid itu tŭrlebih deripada Gurunya, dan tiada pula hamba itu tŭrlebih deripada tuannya. Maka chukoplah kiranya bagie murid itu, jikalau bŭrsamaan dŭngan gurunya, dan dŭmkian pula hamba itu pun dŭngan tuannya; jikalau orang mŭngatakan tuan yang ampunya rumah itu Bilzebab, istemewa pula orang isi rumahnya itu? Maka sŭbab itu, bahwa janganlah kamu takot akan marika itu, kŭrna sasuatu pun tiada yang tŭrtutop itu, mŭlainkan tŭrbuka juga, dan yang tŭrsŭmbunyi itu pun akan nyata. Maka barang apa yang kukatakan padamu dalam gŭlap, maka handaklah kamu katakan dalam trang; dan barang yang kadŭngaran kŭtlingamu, handaklah kamu mashorkan itu deri atas rumah. Dan janganlah kamu takot kapada orang yang mŭmbunoh tuboh, tŭtapi tiada kwasa iya mŭmbunoh nyawa; maka tŭrutamalah kamu takoti akan yang bŭrkwasa mŭmbinasakan nyawa dan tuboh kaduanya kadalam nŭraka. Maka bukankah dijual orang burong pipet itu dua ekor sa’duit? Bahwa sa’ekor jua pun tiada bulih jatoh katanah, jikalau tiada dŭngan kahandak ayahmu. Lagi pun sagala rambut kapalamu ada dŭngan bilangannya. Maka sŭbab itu, janganlah kamu takot, adapun kamu ini tŭrlebih indahnya deripada burong pipet yang banyak itu. Maka sŭbab itu, barang siapa yang mŭngaku akan daku dihadapan manusia ini, bahwa aku pun mŭngakulah kŭlak akan dia dihadapan ayahku yang ada dishorga. Tŭtapi barang siapa yang mŭnyangkal akan daku dihadapan manusia ini, maka aku pun akan mŭnyangkal dia kŭlak dihadapan ayahku yang ada dishorga. Maka janganlah kamu kirakan, bahwa aku datang ini mŭmbawa damie ka’atas bumi, aku datang bukannya mŭmbawa damie, mŭlainkan pŭdang. Kŭrna kŭdatanganku ini mŭngadu anak dŭngan bapanya, dan anak pŭrampuan dŭngan ibunya, dan mŭnantu pŭrampuan dŭngan mŭntua pŭrampuannya. Orang yang sa’rumahnya juga akan mŭnjadi musohnya. Maka barang siapa yang mŭngasihi bapanya, atau ibunya tŭrlebih deripadaku, bahwa iya itu tiadalah layak padaku, dan barang siapa yang mŭngasihi anaknya laki laki atau pŭrampuan tŭrlebih deripadaku, maka iya itupun tiadalah layak padaku. Dan barang siapa yang tiada mŭmikol salibnya, lalu mŭngikot aku, maka iya itupun tiadalah layak padaku. Maka barang siapa yang mŭmliharakan dirinya, iya akan mŭnghilangkan, dan barang siapa yang mŭnghilangkan dirinya ulih sŭbab aku, maka iya itulah akan mŭndapat dia pula. ¶ Maka barang siapa yang mŭnyambut kamu, sŭrasa iya mŭnyambut aku, dan barang siapa mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Barang siapa yang mŭnyambut nabi, sŭbab bŭrnama nabi, maka orang itu akan mŭndapat fahala nabi; dan barang siapa yang mŭnyambut orang bŭnar, sŭbab bŭrnama bŭnar, maka orang itu akan mŭndapat fahala orang bŭnar. Dan barang siapa yang mŭmbri minum ayer sŭjuk sa’chawan sahja kapada barang siapa yang tŭrkŭchil skali pun deri orang ini, sŭbab iya bŭrnama murid, maka sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa skali kali tiada akan hilang fahalanya.

MATIUS 10:1-42 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus memanggil dua belas orang murid-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan. Nama dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadeus; Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Dia. Yesus mengutus dua belas orang murid itu dengan petunjuk demikian: “Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan kaum Israel. Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat. Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian. Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga dalam tali pinggangmu. Jangan bawa beg, atau dua helai baju, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu, kerana seorang pekerja layak menerima makanannya. Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu. Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam. Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu. Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.” “Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu. Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak Manusia akan datang semula sebelum kamu sempat menyelesaikan kunjungan di semua bandar di Tanah Israel. Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya. Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!” “Jangan takut akan manusia. Yang tersembunyi akan dinyatakan; yang dirahsiakan akan didedahkan. Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah dari atas bumbung. Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka. Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga. Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan manusia, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang. Dengan kedatangan-Ku, ‘anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya. Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.’ Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi murid-Ku akan mendapat hidupnya.” “Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sesiapa yang menyambut seorang nabi kerana dia seorang nabi, akan menerima ganjaran seorang nabi. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberikan minum walau hanya secawan air sejuk kepada seorang murid-Ku yang paling rendah pun kerana dia murid-Ku, pasti akan mendapat ganjarannya.”