MATIUS 10:1,5-10,16-20
MATIUS 10:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit.
MATIUS 10:5-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, “Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat. Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’ Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran! Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga. Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.
MATIUS 10:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
“Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu.
MATIUS 10:1 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka sŭtlah dipanggil ulih Isa akan kadua blas muridnya, lalu dibrikannyalah kwasa padanya, supaya marika itu bulih mŭmbuangkan sagala jin yang nŭjis nŭjis, dan mŭnyŭmbohkan sagala jŭnis pŭnyakit, dan sagala pŭnyakitan.
Injil Mathius 10:5-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kadua blas orang itulah disurohkan ulih Isa, sŭrta iya bŭrpŭsan padanya, katanya, Janganlah kamu skalian pŭrgi kanŭgri orang sŭsat, dan janganlah kamu masok kadalam nŭgri orang Samaria: Mŭlainkan tŭrutamalah kamu pŭrgi kapada kambing yang hilang, iya itu kaum bŭni Israil itu. Maka sambil kamu bŭrjalan itu, ajarkanlah, katakan, Krajaan shorga sudah dŭkat. Sŭmbohkanlah orang yang sakit, dan suchikanlah orang kusta, dan hidopkanlah orang yang mati, dan buangkanlah sagala jin; maka kamu tŭlah trima dŭngan kŭmurahannya, maka handaklah kamu bri dŭngan kŭmurahannya juga. Maka janganlah kiranya kamu mŭmbawa bŭkal mas, atau perak, atau tŭmbaga digandonganmu: Atau barang bŭkal makanan kapada pŭrjalananmu, dan lagi jangan kamu bŭrbaju dua lapis, dan jangan bŭrbŭkal trompah, atau tongkat; kŭrna dapat tiada orang yang bŭkŭrja itu, patutlah akan mŭndapat rŭzkinya.
Injil Mathius 10:16-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Tengoklah, bahwasanya aku mŭnyurohkan kamu ini spŭrti domba masok diantara sŭrigala, sŭbab itu handaklah kamu bijaksana spŭrti ular, dan tulus spŭrti mŭrpati. Maka ingat ingatlah kamu deripada manusia, kŭrna marika itu akan mŭmbawa kŭlak kamu kadalam bichara, dan dalam kŭnisanya marika itu akan mŭnyŭsah kamu. Dan lagi akan dibawanya kamu kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja, ulih sŭbab aku, supaya kamu mŭnjadi saksi bagie marika itu, sŭrta orang sŭsat. Tŭtapi apabila disŭrahkan orang akan kamu kadalam bichara, maka janganlah kamu mŭnaroh fikiran, bagimana, atau apa yang handak kamu kata, kŭrna pada sa’at itu juga akan dikurniakan padamu apa yang patut kamu bŭrkata kata; Kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata, mŭlainkan roh ayahmu yang bŭrkata kata didalammu itu.
MATIUS 10:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus memanggil dua belas orang murid-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.
Matius 10:5-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus mengutus dua belas orang murid itu dengan petunjuk demikian: “Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan kaum Israel. Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat. Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian. Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga dalam tali pinggangmu. Jangan bawa beg, atau dua helai baju, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu, kerana seorang pekerja layak menerima makanannya.
Matius 10:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu.