MATIUS 1:18-21
MATIUS 1:18-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah. Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam. Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”
MATIUS 1:18-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Alkesah adapun pri kŭjadian Isa Almasih adalah dŭmkian: Shahadan adapun Mŭriam Ibunya itu sudahlah bŭrtunangan dŭngan Yusof: maka sabŭlom marika itu bŭrdamping, maka nyatalah Mŭriam itu tŭlah mŭngandong dŭngan kuasa Roh Alkudus. Maka Yusof tunangannya itu, sŭbab orang yang bŭnar, dan tiadalah iya mahu mŭmbri malu nyata nyata akan dia, maka iya bŭrfikirlah handak mŭmbuangkan dia diam diam. Adapun tŭtkala iya bŭrfikir dŭmkiam itu, hieran, dilihatnyalah sa’orang Maliekat Tuhan dalam mimpi, katanya, hie Yusof, anak Daud, bahwa janganlah angkau takot mŭnŭrima Mŭriam itu akan istrimu, kŭrna gandongannya itu tŭlah jadi dŭngan kuasa Roh Alkudus. Maka iya kŭlak akan bŭranak sa’orang anak laki laki, dan handaklah angkau namai akan dia ISA: kŭrna iyalah kŭlak akan mŭlŭpaskan umatnya deri pada dosanya.
MATIUS 1:18-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus: Ibu-Nya, Maria bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, ternyata Maria mengandung melalui Roh Kudus. Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam. Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”