MALEAKHI 3:6-12
MALEAKHI 3:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
“Akulah TUHAN; Aku tidak berubah. Oleh itu kamu, keturunan Yakub, tidak dibinasakan sama sekali. Seperti nenek moyang kamu dahulu, kamu semua sudah menyimpang daripada hukum-Ku dan tidak setia melaksanakannya. Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu. Tetapi kamu bertanya, ‘Apakah yang harus kami lakukan untuk kembali kepada-Mu?’ Sekarang Aku bertanya kepada kamu, ‘Bolehkah manusia menipu Allah?’ Tentu tidak. Tetapi kamu menipu Aku juga. Kamu bertanya, ‘Bagaimana?’ Aku menjawab, ‘Dalam hal memberikan persepuluhan dan persembahan.’ Kamu semua kena kutuk kerana segenap bangsa menipu Aku. Bawalah seluruh persepuluhan kamu ke Rumah-Ku supaya ada banyak makanan di sana. Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik. Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu; pokok anggur kamu akan berbuah lebat. Kemudian kamu akan dikatakan berbahagia oleh semua bangsa, kerana negeri kamu akan menjadi tempat kediaman yang baik.”
MALEAKHI 3:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Aku TUHAN, dan Aku kekal tidak berubah, maka kamu, wahai bani Yakub, tidak dibinasakan. Sejak zaman nenek moyangmu kamu telah menyimpang daripada ketetapan-Ku dan tidak memegangnya dengan teguh. Kembalilah kepada-Ku agar Aku akan kembali kepadamu,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Tetapi kamu bertanya, ‘Dengan cara bagaimanakah kami harus kembali?’ ” “Sanggupkah manusia merompak Allah? Namun demikian, kamu merompak Aku. Tetapi kamu bertanya, ‘Bagaimanakah kami merompak Engkau?’ Dalam hal persembahan sepersepuluh dan persembahan khusus. Kamu dikutuk atas sebab kamu merompak Aku — ya, kamu seluruh bangsa! Bawalah seluruh persembahan sepersepuluh kamu ke dalam perbendaharaan, supaya ada makanan di Bait-Ku. Kemudian ujilah Aku dalam hal ini,” firman TUHAN alam semesta, “adakah Aku tidak membuka bagimu tingkap-tingkap di langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai tiada tempat yang memadai menampungnya. Lalu bagi pihak kamu, Aku akan mencela segala hama pemusnah, sehingga hama itu tidak memusnahkan hasil tanahmu. Pokok anggurmu di ladang tidak akan menggugurkan buah sebelum tiba masanya,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Segala bangsa akan menyebut kamu berbahagia, kerana kamu akan menjadi negeri kesukaan,” demikianlah firman TUHAN alam semesta.