MALEAKHI 3:1-5
MALEAKHI 3:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN Yang Maha Kuasa menjawab, “Aku akan mengirim utusan-Ku untuk menyediakan jalan bagi-Ku. Lalu dengan tiba-tiba Tuhan yang kamu cari, akan datang ke Rumah TUHAN. Utusan-Ku yang kamu nanti-nantikan itu akan datang dan mengisytiharkan perjanjian-Ku.” Tetapi siapakah yang dapat tahan pada hari Dia datang dan menampakkan diri? Dia seperti sabun yang kuat dan seperti api yang memurnikan logam. Dia akan datang untuk menghakimi orang, seperti seorang yang membersihkan dan memurnikan perak. Sebagaimana tukang logam membersihkan dan memurnikan emas dan perak, demikian juga utusan TUHAN akan memurnikan para imam supaya mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan kepada TUHAN. Kemudian seperti pada zaman dahulu, TUHAN akan berkenan kepada korban yang dipersembahkan kepada-Nya oleh penduduk Yehuda dan Yerusalem. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan datang untuk menghakimi kamu. Aku akan segera menjadi saksi untuk menentang tukang-tukang sihir, orang yang berzina, orang yang memberikan kesaksian palsu, orang yang berlaku curang dalam hal memberikan gaji kepada pekerja, orang yang menindas balu, yatim piatu dan orang bangsa asing, serta terhadap semua orang yang tidak menghormati Aku.”
MALEAKHI 3:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Lihat, Aku menghantar utusan-Ku dan dia akan menyediakan jalan bagi-Ku. Kemudian dengan tiba-tiba Tuhan yang kamu cari itu akan hadir di Bait Suci-Nya lalu utusan perjanjian yang kamu kehendaki itu akan datang,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. Akan tetapi, siapakah yang mampu bertahan menghadapi hari kedatangan-Nya? Siapakah yang dapat bertahan ketika Dia menampakkan diri? Kerana Dia bagaikan api pemurni logam dan sabun tukang cuci. Dia akan mengambil tempat-Nya sebagai orang yang memurnikan dan membersihkan perak, lalu Dia akan menyucikan bani Lewi serta memurnikan mereka seperti emas dan perak, sehingga mereka menjadi orang yang membawa persembahan yang benar kepada TUHAN. Kemudian barulah persembahan Yehuda dan Yerusalem akan menyenangkan TUHAN seperti pada zaman dahulu, seperti pada tahun-tahun yang silam. “Akan Aku hampiri untuk menghakimi kamu. Dengan pantas Aku akan bersaksi terhadap para ahli sihir, dan terhadap para penzina, terhadap orang yang bersumpah dusta, terhadap orang yang menindas pekerja upahan, balu, dan anak yatim, serta terhadap orang yang menafikan hak para pendatang, tanpa sebarang rasa takut kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN alam semesta.