MALEAKHI 2:1-17

MALEAKHI 2:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Inilah perintah-Ku kepada kamu: Kamu mesti menghormati Aku dengan perbuatan kamu. Jika kamu tidak mahu mendengarkan firman-Ku, Aku akan mengutuk kamu. Aku akan mengutuk segala sesuatu yang kamu terima sebagai rezeki. Sesungguhnya, Aku sudah mengutuk semuanya kerana kamu tidak mengendahkan perintah-Ku. Aku akan menghukum anak-anak kamu, dan Aku melumuri muka kamu dengan najis binatang yang kamu persembahkan. Kemudian orang akan menyeret kamu ke timbunan najis. Dengan demikian kamu akan tahu bahawa Aku memberi kamu perintah ini supaya perjanjian-Ku dengan para imam, keturunan Lewi, tidak dibatalkan. Dalam perjanjian itu Aku berjanji memberi mereka hidup yang aman dan sejahtera. Aku menepati perjanjian itu supaya mereka menghormati Aku. Pada masa itu memang mereka menghormati Aku dan takut akan Aku. Mereka mengajar apa yang benar dan bukan yang salah. Mereka akrab dengan Aku; bukan sahaja mereka melakukan kehendak-Ku, tetapi mereka juga menolong banyak orang supaya berhenti melakukan kejahatan. Para imam wajib mengajarkan apa yang benar tentang Allah. Rakyat harus datang kepada para imam untuk mengetahui kehendak-Ku kerana mereka utusan TUHAN Yang Maha Kuasa. Tetapi sekarang, kamu imam-imam, telah menyimpang dari jalan yang benar. Ajaran kamu sudah menyebabkan banyak orang berbuat salah. Kamu sudah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan kamu. Oleh itu Aku pun akan menyebabkan kamu tidak dihormati oleh umat Israel kerana kamu tidak mentaati kehendak-Ku, dan kerana kamu membeza-bezakan orang ketika kamu mengajar.” Bukankah kita semua mempunyai bapa yang sama? Bukankah kita semua diciptakan oleh Allah yang sama? Tetapi mengapakah kita saling memungkiri janji? Mengapakah kita menghina perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita? Penduduk Yehuda sudah memungkiri janji mereka kepada Allah serta melakukan hal-hal yang mengerikan di Yerusalem dan di seluruh negeri. Mereka sudah mencemarkan Rumah TUHAN yang dikasihi TUHAN. Orang lelaki sudah berkahwin dengan perempuan yang menyembah dewa-dewa bangsa lain. Semoga TUHAN menyingkirkan orang yang berbuat demikian daripada umat Israel, dan tidak membenarkan mereka ikut dengan bangsa kita untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Selain itu ada lagi yang kamu lakukan. Kamu menggenangi mazbah TUHAN dengan air mata; kamu menangis dan meratap kerana TUHAN tidak lagi menerima persembahan kamu. Kamu menanyakan sebabnya Dia tidak lagi menerima persembahan kamu. Hal itu demikian kerana TUHAN tahu bahawa kamu tidak lagi setia kepada wanita yang kamu kahwini pada masa muda kamu. Wanita itu teman hidup dan isteri kamu, tetapi kamu sudah memungkiri janji kepadanya, walaupun kamu telah berjanji di hadapan Allah untuk tetap setia kepadanya. Bukankah Allah yang menjadikan kamu satu tubuh dan satu jiwa dengan wanita itu? Apakah maksud Allah dengan hal itu? Maksud-Nya adalah supaya kamu mendapat anak yang benar-benar umat Allah. Oleh itu, pastikanlah supaya tiada orang di kalangan kamu yang memungkiri janji kepada isterinya. TUHAN Allah Israel berfirman, “Aku membenci perceraian. Aku tidak suka apabila salah seorang daripada kamu berbuat hal sekejam itu terhadap isterinya. Pastikanlah supaya kamu tidak memungkiri janji untuk tetap setia kepada isteri kamu.” Kamu sudah menjemukan TUHAN dengan kata-kata kamu. Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah kami menjemukan TUHAN?” Dengan berkata, “Semua orang yang berbuat jahat dianggap baik oleh TUHAN Yang Maha Kuasa, dan Dia berkenan kepada mereka.” Atau dengan bertanya, “Di manakah Allah yang dianggap adil itu?”

MALEAKHI 2:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Sekarang, wahai para imam, perintah ini adalah untuk kamu! Jika kamu tidak mendengar dan jika kamu tidak memperhatikannya demi memuliakan nama-Ku,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, “maka Aku akan menimpakan kutukan atasmu dan akan mengutuk mana-mana berkat yang kamu terima. Malahan sekarang ini pun Aku memang telah mengutuk berkatmu kerana kamu tidak mengambil berat terhadapnya. Sesungguhnya, Aku akan mencela keturunanmu dan menghamburkan najis, malah kotoran daripada korban hari-hari perayaan kamu, ke mukamu, lalu kamu akan dibuang bersama-samanya. Maka kamu tahu bahawa Aku telah mengirimkan perintah ini kepadamu, agar perjanjian-Ku dengan Lewi tetap berkuat kuasa,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Perjanjian-Ku dengan dia ialah perjanjian kehidupan dan kedamaian. Semua itu Kukurniakan kepadanya supaya dia takut, lalu dia pun takut kepada-Ku dan gentar terhadap Aku dan memuliakan nama-Ku. Pengajaran yang benar ada di mulutnya dan kecurangan tidak didapati pada bibirnya. Dia mengikuti Aku dalam kedamaian dan kejujuran, serta membuat ramai orang berpaling daripada kemungkaran mereka. Sememangnya bibir imam patut memelihara ilmu pengetahuan dan orang pun patut mencari pengajaran daripada mulutnya, kerana dialah utusan TUHAN alam semesta. Tetapi kamu telah menyimpang daripada jalan. Kamu telah menyebabkan tersandungnya ramai orang dalam hal hukum, dan kamu telah melenyapkan nilai perjanjian dengan Lewi itu,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Maka Aku telah menjadikan kamu hina dan rendah di hadapan seluruh umat ini kerana kamu tidak memelihara jalan-jalan-Ku, tetapi bersikap berat sebelah dalam hal-hal hukum.” Bukankah kita semua sebapa? Bukankah Allah yang esa yang menciptakan kita? Mengapakah kita saling mengkhianati dengan menista perjanjian nenek moyang kita? Yehuda berkhianat. Kekejian dilakukan di Israel dan di Yerusalem, kerana Yehuda telah menista tempat suci yang dikasihi TUHAN dan menjadi suami kepada anak perempuan penyembah tuhan asing. TUHAN akan menyentak sesiapa sahaja yang berbuat demikian daripada khemah-khemah Yakub, sekalipun dia membawa persembahan kepada TUHAN alam semesta. Inilah lagi satu hal yang kamu lakukan: Kamu meliputi mazbah TUHAN dengan air mata, tangisan, dan rintihan, kerana Dia tidak lagi mengendahkan persembahanmu dan tidak berkenan menerimanya daripada tanganmu. Kamu bertanya, “Mengapakah demikian?” Kerana TUHAN telah menjadi saksi antara engkau dengan isteri yang kaukahwin pada masa mudamu. Engkau telah mengkhianatinya, padahal dialah teman hidupmu dan isterimu berasaskan ikrar. Bukankah Allah menjadikan mereka satu? Jiwa dan roh mereka milik-Nya. Apakah yang dicari-Nya? Dia mencari keturunan yang salih. Oleh sebab itu jagalah dirimu, dan janganlah ada antara kamu yang mengkhianati isteri dari masa mudamu. “Aku membenci perceraian,” demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, “juga orang yang menjadikan tindakan ganas sebagai pakaiannya,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Oleh sebab itu jagalah hatimu dan jangan berkhianat.” Kamu membuat TUHAN muak dengan perkataanmu. Tetapi kamu masih bertanya, “Bagaimanakah kami membuat Dia muak?” Dengan berkata, “Setiap orang yang berbuat jahat adalah baik di mata TUHAN. Kepada merekalah Dia berkenan,” atau, “Di manakah Allah Yang Maha Adil itu?”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami