LUKAS 9:9-62

LUKAS 9:9-62 Alkitab Berita Baik (BM)

Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.” “Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.” Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.” Dia berkata juga, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.” Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum? Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, maka Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya dan dengan kemuliaan Bapa serta kemuliaan malaikat-malaikat yang suci! Ketahuilah, ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah.” Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!” Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka. Keesokan harinya Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya turun dari bukit dan orang ramai datang menjumpai Yesus. Seorang lelaki dari tengah-tengah orang ramai itu berseru, “Guru, tolonglah lihat anak saya - anak tunggal saya! Apabila roh jahat merasuknya, dia tiba-tiba berteriak dan menderita penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu terus-menerus menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya! Saya telah meminta pengikut-pengikut Guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus menjawab, “Hai kamu yang sesat dan tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu dan bersabar terhadap kamu?” Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bawalah anakmu ke mari.” Ketika anak itu menghampiri Yesus, roh jahat membanting anak itu ke tanah lalu tubuhnya berkejang-kejang. Yesus mengusir roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kembali kepada bapanya. Semua orang hairan melihat kuasa Allah yang begitu besar! Sementara mereka masih terhairan-hairan tentang segala perkara yang dilakukan-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Janganlah lupa akan apa yang Aku katakan ini: Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.” Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak memahami maksud kata-kata itu. Allah merahsiakan hal itu daripada mereka sehingga mereka tidak dapat memahaminya. Tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus tentang perkara itu. Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisi-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!” Yohanes berkata, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada Yohanes dan pengikut-Nya yang lain, “Jangan larang dia, kerana orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.” Apabila sudah dekat masanya Yesus diangkat ke syurga, Dia mengambil keputusan untuk pergi ke Yerusalem. Dia menyuruh orang pergi terlebih dahulu daripada Dia. Mereka berangkat dan pergi ke sebuah pekan di Samaria untuk menyediakan tempat bermalam bagi Yesus. Tetapi penduduk pekan itu tidak mahu menerima Yesus, kerana nyata sekali bahawa Yesus sedang menuju ke Yerusalem. Ketika Yakobus dan Yohanes, pengikut Yesus mengetahui hal itu, mereka berkata, “Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?” Yesus berpaling lalu memarahi mereka. Setelah itu Dia dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan lain. Sedang mereka meneruskan perjalanan, datanglah seseorang berkata kepada Yesus, “Saya bersedia mengikut tuan ke mana sahaja tuan pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu Dia berkata pula kepada seorang lain, “Ikutlah Aku.” Tetapi orang itu berkata, “Tuan, benarkan saya balik untuk mengebumikan jenazah bapa saya dahulu.” Yesus menjawab, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri. Tetapi kamu, pergilah khabarkan berita bahawa Allah sudah mula memerintah.” Seorang lain pula berkata, “Tuan, saya mahu mengikut tuan, tetapi benarkan saya balik dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga saya.” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Allah.”

LUKAS 9:9-62 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka kata Herodis, Yahya itu tŭlah kupanchong kŭpalanya, tŭtapi siapakah ini aku mŭnŭngar pŭrkara pŭrkara yang dŭmkian? Maka iya handak mŭlihat akan Isa. ¶ Maka apabila bŭrbaliklah Rasol Rasol itu, dikatakannyalah kapada Isa barang yang tŭlah dipŭrbuatnya. Maka dibawanya marika itu kasŭblah suatu tŭmpat sunyi, iya itu tŭrta’lok kapada nŭgri yang bŭrnama Bethsieda. Maka apabila dikŭtahuilah ulih kaum itu, diikotnyalah akan dia; lalu ditrimalah ulih Isa akan marika itu, sŭrta bŭrkata kata iya kapada marika itu derihal krajaan Allah, lalu disŭmbohkannya akan marika itu yang patut disŭmbohkan. Maka apabila hari hampirlah malam, datanglah dua blas murid muridnya bŭrkata kapadanya, Surohkanlah bŭlatantara ini pŭrgi, supaya bulih marika itu pŭrgi kŭdalam kampong kampong, dan nŭgri nŭgri yang bŭrkuliling mŭnumpang, dan mŭndapat makanan, kŭrna adalah kita ini disini dalam tŭmpat sunyi. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Brilah ulih kamu akan marika itu makan. Maka kata marika itu, Tiadalah kapada kami lebih deripada lima buah roti, dan dua ekor ikan, mŭlainkan kalau kami pŭrgi mŭmblikan makanan akan sagala kaum ini. Kŭrna adalah marika itu skalian kira kira lima ribu orang. Maka kata Isa kapada murid muridnya, Dudokkanlah marika itu lima lima orang sa’tompok. Maka dŭmkian didudokkannyalah marika itu skalian. Sŭtlah itu diambilnyalah lima buah roti dan dua ekor ikan, sŭrta tŭngadah kŭlangit, dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannya sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, supaya ditarohkan dihadapan bŭlatantara itn. Maka dimakanlah ulih marika itu sampie skaliannya kŭnyang; diangkatlah remah remah yang tŭrtinggalkan kapada marika itu dua blas bakol. ¶ Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Isa sa’orang orang tŭngah mŭminta doa, adalah murid muridnya bŭrsama sama dŭngan dia; maka ditanyanya kapada marika itu, Siapakah aku ini kata sagala orang? Maka jawab marika itu, katanya, Yahya Pŭmbaptisa; tŭtapi ada yang bŭrkata Ilias; dan kata yang lain, iya itu sa’orang deripada nabi yang dahulu dahulu tŭlah bŭrbangkit pula. Maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi siapakah kata kamu aku ini? Petros mŭnjawab katanya, Almasih yang deripada Allah. Maka dŭngan skutika itu juga diingatkannya kapada marika itu, sŭrta dipŭsannya janganlah dikatakan kapada sa’orang pun akan pŭrkara itu. Katanya, Anak manusia kŭlak dapat tiada mŭrasai banyak pŭrkara, sŭrta akan ditolakkan ulih orang tua tua, dan pŭnghulu pŭnghulu imam, dan khatib khatib, dan akan dibunoh, sŭrta dibangkitkan pula pada hari yang katiga. ¶ Maka katanya kapada marika itu skalian, Jikalau barang siapa yang handak mŭngikot aku, maka biarlah iya mŭnyangkali akan dirinya, dan mŭngangkat salibnya sa’hari hari, lalu mŭngikot aku. Kŭrna barang siapa yang mŭmliharakan jiwanya itu akan mŭnghilangkan dia; tŭtapi barang siapa yang mŭnghilangkan jiwanya ulih sŭbab aku, maka iya kŭlak akan mŭmliharakan dia. Kŭrna apakah faidahnya jikalau kiranya iya mŭndapat akan sagala dunia skali pun, tapi hilanglah dirinya atau iya dibuangkan. Kŭrna barang siapa yang ada malu akan daku, dan akan pŭrkataanku, maka kapadanyalah Anak manusia pun malu apabila iya kŭlak datang dŭngan kŭmuliannya, dan kŭmulian Ayahnya, dan mŭliekat mŭliekatnya yang suchi itu. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu dŭngan sŭbŭnarnya, adalah orang yang bŭrdiri disini yang tiada kŭlak mŭrasai mati sampie iya mŭlihat akan krajaan Allah. ¶ Maka pada skali pŭrstua adalah kira kira dŭlapan hari kumdian deripada sagala pŭrkataan itu, maka dibawalah ulih Isa Petros, dan Yahya, dan Yakob, naiklah iya ka’atas sabuah gunong akan mŭminta doa. Maka tŭngah iya mŭminta doa, maka ayer mukanya pun bŭrubahlah, dan pakieannya pun putehlah gilang gumilang. Bahwa sŭsungguhnya adalah dua orang bŭrtutor dŭngan dia, iya itu Musa dan Ilias. Maka adalah iya itu klihatan dŭngan kŭmulian, sŭrta bŭrtutor derihal kŭmatiannya yang patut digŭnapkannya diJerusalem. Tŭtapi Petros sŭrta sagala marika itu yang ada dŭngan dia pun sangatlah mŭngantok, maka apabila marika itu tŭrsŭdar, dilihatnyalah kŭmuliannya, dan dua orang bŭrdiri dŭngan dia. Maka skali pŭrstua sŭtlah kŭmbalilah marika itu deripadanya, kata Petros kapada Isa, Guru, baiklah kita diam disini, dan biarlah kami pŭrbuatkan tiga buah khemah, sa’buah bagiemu, dan sa’buah bagie Musa, dan sa’buah bagie Ilias. Tiada dikŭtahuinya apa yang dikatanya. Maka sŭmŭntara iya bŭrkata kata, datanglah suatu awan diklubunginya akan orang orang itu, maka kŭtakotanlah marika itu sa’olah olah masok kŭdalam awan itu. Maka datanglah suatu swara deripada awan itu, katanya, Inilah anakku yang kukasih, dŭngarlah akan pŭrkataannya. Maka apabila lalulah swara itu, didapati Isa ada sa’orang orang, maka disimpan ulih marika itu akan rahsia itu, kapada sa’orang pun tiada dikatakan pada masa itu barang apa deripada pŭrkara itu yang tŭlah dilihatnya. ¶ Maka pada skali pŭrstua pada esoknya, apabila marika itu turon deri bukit itu, maka banyaklah orang bŭrtŭmu dŭngan Isa. Maka hieran, adalah sa’orang deripada pŭrhimpunan itu bŭrtriak, katanya, Guru, aku pinta akan dikau, lihatlah kiranya akan anak laki lakiku ini, kŭrna iyalah sa’orang sahja anakku. Maka tengoklah sa’orang hantu tŭlah mŭngambil akan dia, sŭkunyung kunyung iya bŭrtriaklah, dan dihŭmpas hŭmpaskannya akan dia sampielah bŭrbueh bueh mulotnya, sŭrta dilukakannya akan dia, sampielah ta’bulih tŭrlŭpas deripadanya. Maka aku mŭminta kapada murid muridmu mŭmbuangkan dia, tiadalah marika itu bulih. Maka Isa mŭnjawab, katanya, Hie kŭturonan yang korang iman, dan bŭbal, brapakah lama aku akan bŭrsama sama dŭngan angkau, dan mŭnahani akan dikau? Bawalah anakmu itu kŭmari. Maka tŭngah iya handak datang, dijatohkan ulih hantu itu kŭbawah, maka dihŭmpas hŭmpaskannya akan dia, maka Isa pun mŭnŭngkinglah akan hantu itu, sŭrta disŭmbohkannyalah akan budak itu, lalu disŭrahkannya kapada bapanya kŭmbali. ¶ Maka sagala marika itu pun hieranlah mŭlihat kwasa yang sangat bŭsar deripada Allah itu; tŭtapi sŭmŭntara hieran masing masing marika itu akan sagala pŭrkara yang dipŭrbuatnya, maka kata Isa kapada murid muridnya, Biarlah pŭrkataan ini masok kŭdalam tŭlingamu, kŭrna Anak manusia itu kŭlak disŭrahkan kŭdalam tangan manusia. Tŭtapi tiadalah marika itu mŭngarti akan pŭrkataan ini, maka adalah iya itu tŭrsŭmbunyi deripada marika itu, tiadalah iya mŭngarti akan dia; maka takotlah marika itu bŭrtanya kapadanya deirhal pŭrkataan itu. ¶ Sŭtlah itu bŭrbangkitlah suatu pŭrbantahan diantara marika itu, siapakah patut mŭnjadi tŭrlebih bŭsar. Maka dikŭtahuilah ulih Isa akan fikiran marika itu dalam hatinya, maka diambilnya sa’orang kanak kanak, lalu didudokkannya dŭkatnya: Maka katanya kapada marika itu, Barang siapa akan mŭnyambut kanak kanak ini dŭngan namaku, sŭrasa iya mŭnyambut aku; dan barang siapa mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang mŭnyurohkan aku, kŭrna orang yang tŭrkŭchil diantara kamu skalian, iya itu akan mŭnjadi bŭsar. Maka dijawab Yahya lalu katanya, Guru, kami mŭlihat sa’orang mŭmbuangkan hantu dŭngau namamu, maka kami larangkan dia, kŭrna iya tiada mŭnurot kita. Maka kata Isa kapadanya, Janganlah larangkan dia, kŭrna orang yang tiada mŭlawan akan kita ini, iyalah deripada kita. Maka skali pŭrstua apa bila sampielah waktu yang patutlah iya ditrima ka’atas, maka mŭngadaplah iya handak pŭrgi kaJerusalem. Maka disurohkannya suroh surohan dahulu, maka pŭrgilah marika itu lalu masok kŭdalam duson orang Samaritan akan mŭnyŭdiakan tŭmpat bagie dia. Maka tiadalah ditrima ulih marika itu, kŭrna pŭnghadapannya bŭtol handak pŭrgi kaJerusalem. Maka apabila dilihat ulih murid muridnya, iya itu Yakob dan Yahya itu, kata marika itu, Tuhan, mahukah angkau supaya kita surohkan api turon deri langit mŭnghanguskan marika itu spŭrti yang dipŭrbuat ulih Ilias itu? Tŭtapi bŭrpalinglah iya sŭrta ditŭngkingnya akan marika itu, katanya, Kamu tiada mŭngtahui apa pri prangie yang kamu ada. Kŭrna Anak manusia datang bukannya mŭmbinasakan jiwa manusia, mŭlainkan mŭmliharakan dia. Maka pŭrgilah marika itu kaduson yang lain. ¶ Maka skali pŭrstua tŭngah marika itu bŭrjalan, maka sa’orang anu bŭrkata kapadanya, Tuhan, aku handak mŭngikot akan dikau barang dimana angkau pŭrgi. Maka kata Isa kapadanya, Anjing anjing hutan itu ada lobang, dan onggas yang diudara itu ada sarang, tŭtapi Anak manusia tiada bŭrtŭmpat iya handak mŭmbaringkan kŭpalanya. Maka katanya kapada yang lain, Ikotlah akan daku; tŭtapi katanya, Tuhan, biarlah hamba pŭrgi mŭnanamkan bapa hamba dahulu. Kata Isa padanya, Biarlah orang yang mati itu mŭnanamkan yang mati, tŭtapi pŭrgilah angkau mŭngajarkan krajaan Allah. Maka yang lain pun bŭrkata, Tuhan, aku handak mŭngikot akan dikau, tŭtapi biarlah aku pŭrgi dahulu mŭmbri slamat tinggal kapada marika itu yang dirumahku. Maka kata Isa kapadanya, Apabila sa’orang mŭmbuboh tangannya kapada bajak itu sambil mŭmandang kablakang, tiadalah iya layak akan masok kŭdalam krajaan Allah.

LUKAS 9:9-62 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Herodes berkata, “Yohanes itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Yesus. Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Yesus menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan. Menjelang senja, dua belas murid itu datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Murid-murid itu melakukan suruhan Yesus dan semua orang pun duduk. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata salah seorang nabi telah hidup semula.” Yesus bertanya kepada mereka, “Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?” Petrus menjawab, “Kristus daripada Allah.” Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun; dan menambah, “Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula.” Yesus berkata kepada semua, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku. Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya. Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian? Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Anak Manusia juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah.” Kira-kira lapan hari setelah Yesus mengatakan perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yohanes dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa. Semasa Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. Tiba-tiba dua orang, Musa dan Elia, muncul dan bercakap dengan Dia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Yesus tentang kematian-Nya yang akan ditunaikan di Yerusalem. Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Yesus serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya. Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Tuan, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah: satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu lagi untuk Elia.” Dia tidak tahu apa yang dikatakannya. Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan. Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, “Inilah Anak-Ku yang Kupilih. Dengarlah kata-kata-Nya!” Setelah suara itu berhenti, Yesus kelihatan seorang sahaja. Murid-murid itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu. Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Yesus. Seorang antaranya berseru, “Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku. Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya. Aku telah memohon murid-murid-Mu supaya menghalau roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus menjawab, “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu dan bersabar denganmu? Bawa anakmu itu ke mari.” Semasa dia datang, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Yesus memarahi roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya. Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Yesus, Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Anak Manusia akan diserahkan ke tangan manusia.” Mereka tidak mengetahui maksud kata-kata itu kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Yesus tentang perkara itu. Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya. Yesus berkata, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sebabnya yang terkecil antara kamu semua ialah yang terbesar!” Yohanes berkata, “Tuan, kami telah melihat seorang yang menghalau roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.” Yesus berkata kepadanya, “Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.” Tatkala waktunya sudah dekat untuk Yesus diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Yerusalem. Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Yesus. Tetapi orang Samaria tidak menerima Yesus kerana Dia sedang menuju ke Yerusalem. Ketika Yakobus dan Yohanes, murid-murid Yesus melihat perkara ini, mereka berkata, “Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?” Yesus berpaling dan memarahi mereka. Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain. Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Yesus, “Aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.” Yesus berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.” Lalu Dia berkata kepada seorang yang lain, “Ikutlah Aku.” Tetapi dia menjawab, “Tuhan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.” Yesus berkata kepadanya, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah mengkhabarkan kerajaan Allah.” Seorang lain pula berkata, “Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.” Yesus berkata kepadanya, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.”