LUKAS 8:40-48
LUKAS 8:40-48 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal. Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?” Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.” Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.”
LUKAS 8:40-48 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka pada skali pŭrstua apabila Isa sudah bŭrbalik, maka kaum itu pun mŭnŭrimalah akan dia dŭngan suka chita, kŭrna marika itu skaliannya ada mŭnanti akan dia. ¶ Maka sŭsungguhnya datanglah sa’orang yang bŭrnama Jerius, iya itu suatu pŭnghulu kŭnisa, maka mŭnyŭmbahlah iya kapada kaki Isa, sŭrta mŭminta akan dia, supaya iya datang karumahnya. Kŭrna adalah kapadanya sa’orang anak pŭrampuan tunggal sahja, kira kira dua blas tahun umornya, maka adalah iya itu tŭrbaring handak mati. Maka apabila Isa handak bŭrjalan, orang pun bŭrkrumun lah. ¶ Maka ada sa’orang pŭrampuan tumpah tumpah darah tŭlah dua blas tahun yang sudah diblanjakannya sagala hartanya kapada tabib tabib, itu pun ta’bulih disŭmbohkan ulih barang sa’orang. Datanglah iya diblakang Isa, lalu dijamahnya kŭliman bajunya, maka skutika itu juga maka darah itu pun bŭrbahulah. Maka kata Isa, Siapakah mŭnjamah aku? Maka skaliannya pun bŭrsangkal. Maka Petros sŭrta marika itu yang ada bŭrsama sama dŭngan dia bŭrkata, Guru, bŭlatantara ini bŭrkrumun, dan mŭngasak akan dikau, katalah angkau, siapakah mŭnjamah aku. Maka kata Isa, Ada orang tŭlah mŭnjamah aku, kŭrna aku rasai khasiat tŭlah kluar deri padaku. Maka apabila dilihat ulih pŭrampuan itu tiada bulih disŭmbunyikannya itu, datanglah iya dŭngan gŭmŭntar, maka jatohlah iya kahadapannya, lalu diakuinyalah kapadanya dihadapan kaum itu, apa sŭbabnya iya tŭlah mŭnjamah akan dia, dan bagimana iya tŭlah sŭmboh dŭngan skutika itu. Maka katanya kapada pŭrampuan itu, Anak, hiborkanlah hatimu, imanmu tŭlah mŭnyŭmbohkan akan dikau, pulanglah angkau dŭngan sŭjahtranya.
LUKAS 8:40-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekembalinya Yesus ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya. Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Yesus dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Semasa Yesus berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua pihak. Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh. Yesus berkata, “Siapakah yang menyentuh Aku?” Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, “Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.” Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Yesus dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Yesus serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.”