LUKAS 7:1-50

LUKAS 7:1-50 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Di situ ada seorang ketua askar Roma yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, “Orang ini layak tuan tolong. Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.” Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah bersusah-susah ke rumah saya. Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, “Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!” Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh. Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke kota Nain. Pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi dengan Dia. Ketika Dia tiba di pintu gerbang kota itu, penduduk kota sedang menghantar jenazah ke luar kota. Yang mati itu anak lelaki tunggal seorang balu. Banyak penduduk kota menyertai ibu itu. Apabila Tuhan melihat wanita itu, Dia kasihan kepadanya lalu berkata, “Janganlah menangis.” Setelah itu Dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung pun berhenti. Yesus berkata, “Hai anak muda, Aku menyuruh kamu bangun!” Pemuda yang dihidupkan semula itu duduk dan mula bercakap. Lalu pemuda itu diserahkan oleh Yesus kepada ibunya. Semua orang takut lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Seorang nabi yang besar telah datang di kalangan kita! Allah sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya!” Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri dan di daerah sekitarnya. Pengikut Yohanes memberitahu Yohanes segala perkara ini. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan Yesus, “Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah atau adakah kami harus menantikan seorang lain?” Apabila mereka bertemu dengan Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis menyuruh kami bertanya kepada tuan, ‘Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?’ ” Kebetulan pada masa itu, Yesus menyembuhkan banyak orang sakit. Dia mengusir roh-roh jahat dan mencelikkan mata orang buta. Oleh itu Yesus menjawab utusan-utusan Yohanes, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan menjadi sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!” Setelah utusan-utusan Yohanes pergi, Yesus mula bercakap tentang Yohanes kepada orang ramai. Dia berkata, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian indahkah? Orang yang berpakaian demikian dan yang hidup mewah tinggal di istana! Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi. Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.’ ” Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.” Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes. Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes. Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’ Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’ Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’ Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima kebijaksanaan itu.” Seorang Farisi bernama Simon menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke rumahnya lalu mulai makan. Di kota itu ada pula seorang wanita yang hidup dalam dosa. Dia mendengar bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, lalu dia pergi ke situ sambil membawa sebotol minyak wangi. Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi. Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, “Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!” Yesus berkata kepadanya, “Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah guru.” Yesus berkata, “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak. Kedua-duanya tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakah akan lebih mengasihi dia?” Simon menjawab, “Pada pendapat saya orang yang berhutang lebih banyak!” “Pendapatmu benar,” jawab Yesus. Lalu Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Kamu nampak perempuan ini? Aku datang ke rumahmu dan kamu tidak menyediakan air untuk membersihkan kaki-Ku. Tetapi wanita ini membasuh kaki-Ku dengan air matanya, dan mengeringkannya dengan rambutnya. Kamu tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kaki-Ku sejak Aku tiba. Kamu tidak menyediakan minyak untuk kepala-Ku, tetapi wanita ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. Sesungguhnya, kasihnya yang besar itu menunjukkan bahawa dosanya yang banyak sudah diampunkan! Jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bererti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.” Lalu Yesus berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.” Mereka yang makan bersama-sama Yesus mula bertanya sesama sendiri, “Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?” Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Oleh sebab kamu percaya kepada-Ku, kamu diselamatkan. Pergilah dengan sejahtera!”

LUKAS 7:1-50 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA apabila sudah dihabiskannya sagala pŭrkataannya pada pŭnŭngaran kaum itu, lalu masoklah iya kaKapŭrnaum. Maka sa’orang hamba pŭnghulu sa’ratus orang yang dikasihinya, adalah iya sakit hampir mati. Maka apabila didŭngar ulih pŭnghulu itu derihal Isa, maka disurohkannya pŭrgi kapadanya orang tua tua deripada orang Yahudi mŭminta akan Isa, supaya iya datang sŭmbohkan hambanya. Maka apabila datanglah marika itu kapada Isa, maka dipintanyalah akan dia dŭngan sŭgranya itu, katanya, Orang yang patut ditulongkan ini sa’orang yang layak adanya: Kŭrna iya ada mŭngasihani akan bangsa kita, dan lagi iya tŭlah mŭmbangunkan bagie kami sa’buah kŭnisa. Sŭtlah itu maka pŭrgilah Isa dŭngan marika itu, maka apabila iya tiada brapa jauh deri pada rumah itu, maka disurohkannya ulih pŭnghulu itu sahabat sahabatnya kapadanya, katanya, Tuhan, janganlah mŭnyusahkan dirimu, kŭrna aku ini tiadalah layak Tuhan handak masok kŭbawah atapku. Maka sŭbab itu, bahwasanya aku bŭrfikir, aku pun sŭndiri tiada layak datang kapada Tuhan, mŭlainkan katalah sa’patah kata, maka hambaku itu akan disŭmbohkan. Kŭrna aku pun sa’orang yang dibawah prentah, maka ada pula dibawahku rayat, maka aku bŭrkata kapada sa’orang, pŭrgi, maka pŭrgilah iya; dan kapada yang lain, mari, maka datanglah iya; dan kapada hambaku, buatlah ini, maka dibuatnya itu. Maka apabila didŭngar Isa akan pŭrkara ini, maka hieranlah iya akan dia, lalu bŭrpalinglah iya, sambil bŭrkata kapada orang orang yang mŭngikot dia, Aku bŭrkata kapadamu, bŭlomlah aku mŭndapat iman sŭtŭgoh ini, tidak, dalam orang Israil pun tidak. Adapun orang orang yang disurohkan itu pun kŭmbalilah karumah itu, maka didapatinya akan hambah itu sŭmboh yang tŭlah sakit itu. ¶ Maka pada skali pŭrstua pada kaesokkan harinya, maka pŭrgilah Isa kŭdalam sa’buah nŭgri yang bŭrnama Nain, maka banyaklah murid muridnya pŭrgi bŭrsama sama dŭngan dia, sŭrta banyaklah kaum. Shahadan maka apabila hampirlah iya kapada pintu nŭgri itu, maka sŭsungguhnya adalah sa’orang mati diangkat orang kluar, maka iya itu sa’orang sahja anak maknya, maka pŭrampuan itu sa’orang janda; banyaklah kaum deripada nŭgri itu ada bŭrsama sama dŭngan dia. Maka apabila dilihat Tuhan akan dia, maka kasihanlah iya akan dia, lalu bŭrkata kapada pŭrampuan itu, Janganlah mŭnangis. Hata maka datanglah Isa, sŭrta dijamahnya akan tangga tangga mayat, maka orang mŭmikol itu pun bŭrdirilah tŭrdiam, maka kata Isa, Orang muda, aku bŭrkata kapadamu, bangunlah. Maka orang yang sudah mati itu pun bangunlah dudok, sŭrta mŭmulai bŭrtutor; lalu disŭrahkan Isa akan dia kapada maknya. Maka datanglah kŭtakotan kapada sagala orang, maka marika itu mŭmuliakan Allah, katanya, Iya itu sa’orang Nabi yang bŭsar tŭlah bŭrbangkit diantara kami, dan Allah itu tŭlah datang mŭlawat akan kaumnya. Maka khabar itu pun tŭrmashorlah kapada sagala tanah Yahuda, dan kapada sagala jajahan yang bŭrklilingnya. Maka murid murid Yahya mŭnunjokkan kapadanya akan sagala pŭrkara ini. ¶ Maka Yahya pun mŭmanggil dua orang murid muridnya, maka disurohkannya kapada Isa katanya, Angkaukah dia yang patut datang, atau kami nantikah yang lain? Maka apabila datanglah orang orang itu kapadanya, maka bŭrkata marika itu, Yahya Pŭmbaptisa tŭlah mŭnyurohkan kami datang kapadamu, katanya, Angkaukah yang patut datang itu, atau kami nantikah yang lain? Maka pada waktu itu juga disŭmbohkannya banyak idap idapan, dan pŭnyakitan marika itu, dan hantu hantu, dan kapada banyak orang buta iya tŭlah mŭmbri pŭnglihatan. Hata maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Pŭrgilah kamu pulang, dan katakan kapada Yahya, apakah pŭrkara yang tŭlah kamu lihat dan dŭngar, bagimana orang buta itu tŭlah mŭlihat, dan orang tempang tŭlah bŭrjalan, dan orang kusta tŭlah disuchikan, dan orang tuli tŭlah mŭnŭngar, dan orang mati itu tŭlah hidop, dan kapada orang mŭskin Injil itu akan diajarkan. Maka bŭrbahgialah kiranya barang siapa yang tiada mŭnaroh shak akan daku. ¶ Shahadan maka apabila utus utusan deripada Yahya itu tŭlah kŭmbali, maka Isa mŭmulai bŭrkata kata kapada kaum itu derihal Yahya. Apakah yang kamu kluar kŭdalam padang bŭlantara yang handak dilihat? Sa’batang bulohkah yang digonchangkan ulih angin? Tŭtapi apakah yang kamu kluar mŭlihat, sa’orang yang mŭmakie pakiean haluskah? Bahwa sŭsungguhnya orangyang mŭmakie yang mulia mulia itu, sŭrta hipop dŭngan lazatnya, iya itu adalah diistana raja raja. Tŭtapi apakah yang kamu kluar mŭlihat, sa’orang nabikah? Bahkan, aku bŭrkata kapadamu, iya itu tŭrlebih deri pada sa’orang nabi. Maka inilah dia yang tŭlah tŭrtulis, Sŭsungguhnya aku mŭnyurohkan surohanku dihalratmu yang kŭlak akan mŭnyŭdiakan jalanmu dihadapanmu. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, diantara orang yang tŭlah dipranakkan deripada pŭrampuan, tiadalah sa’orang jua pun yang tŭrlebih bŭsar nabi deri pada Yahya Pŭmbaptisa; akan tŭtapi barang siapa yang tŭrkŭchil dalam krajaan Allah, maka iyalah yang tŭrlebih bŭsar deripadanya. Adapun sagala kaum sŭrta dŭngan orang orang mŭmŭgang chukie mŭnŭngar pŭrkataannya itu, dibŭnarkannyalah akan Allah, tŭtkala dipŭrbaptiskannyalah akan dia orang dŭngan baptisan Yahya itu. Tŭtapi orang orang Farisia, dan orang khatib khatib mŭnolakkan akan mufakat Allah mŭlawan akan dirinya sŭndiri, sŭbab tiada iya dibaptiskannya. ¶ Maka kata Tuhan, Dŭngan apakah kiranya aku handak samakan kŭturonan bangsa ini, dan dŭngan apakah marika itu sama? Adalah marika itu spŭrti kanak kanak yang dudok ditŭmpat pasar, dan dipanggilnya sa’orang lŭpas sa’orang, lalu katanya, Kami tŭlah mŭniopkan suling kapadamu, maka tiada kamu mŭnari; kami tŭlah bŭrduka chita kapadamu, maka tiada kamu mŭnangis. Kŭrna Yahya Pŭmbaptisa tŭlah datang dŭngan tiada makan roti, atau minum ayer anggor, maka kamu kata iya tŭrkŭna hantu. Maka Anak manusia datang dŭngan makan minum, maka kamu kata sŭsungguhnya sa’orang glojoh, dan sa’orang pŭminum ayer anggor, dan sahabat orang orang pŭgang chukie, dan orang orang bŭrdosa. Tŭtapi budi itu dibŭnarkan ulih sagala anak anaknya. ¶ Maka adalah sa’orang orang Farisia mŭminta kapada Isa, supaya iya makan dŭngan dia, maka pŭrgilah iya kŭrumah orang Farisia itu, lalu dudok makan. Maka sŭsungguhnya adalah sa’orang pŭrampuan dalam nŭgri itu, iya itu sa’orang orang bŭrdosa; maka apabila dikŭtahui ulih pŭrampuan itu, bahwa Isa dudok makan dalam rumah orang Farisia itu, maka dibawanya satu chŭmbol batu marmar bŭrisi minyak bahu bahuan. Maka bŭrdirilah iya diblakangnya mŭnangis, sambil dimulainya mŭmbasoh kaki Isa dŭngan ayer matanya, dan disapunya dŭngan rambut kŭpalanya, lalu dichiumnya kakinya sŭraya dibubohkannya minyak bahu bahuan. Adapun apabila dilihat ulih orang Farisia yang mŭnjamu akan dia itu, maka iya bŭrkata dalam dirinya, katanya, Orang ini jikalau iya sa’orang nabi, patutlah dikŭtahuinya, siapakah, dan apakah macham pŭrampuan ini yang mŭnjamah akan dia, kŭrna pŭrampuan itu sa’orang bŭrdosa. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Simon, adalah kapadaku barang pŭrkara yang handak kukatakan kapadamu. Maka katanya, Tuan, katalah. Maka adalah sa’orang anu mŭmbri hutang kapada orang hutang hutangannya, maka sa’orang bŭrhutang lima ratus dinar, dan sa’orang lima puloh. Maka apabila suatu pun tiada pŭmbayarnya, maka dimaafkannyalah kapada kadua marika itu dŭngan kŭmurahannya; maka sŭbab itu katakanlah kapadaku, yang manakah deri pada marika itu nanti mŭngasihi lebih akan dia? Maka jawab Simon sŭrta katanya, Pada fikiranku orang yang lebih diampuninya. Maka kata Isa kapadanya, Sangkamu itu bŭnarlah. Maka bŭrpalinglah iya kapada pŭrampuan itu, lalu bŭrkata kapada Simon, Lihatlah ulihmu akan pŭrampuan ini, aku masok kŭdalam rumahmu, tiadalah angkau mŭmbri ayer pŭmbasoh kakiku, tŭtapi iya tŭlah mŭmbasoh kakiku dŭngan ayer mata, dan disapunya dŭngan rambut kŭpalanya. Angkau tiadalah mŭnchium akan daku, tŭtapi pŭrampuan ini sŭmŭnjak aku datang tiadalah bŭrhŭnti iya deripada mŭnchium kakiku. Kŭpalaku tiada angkau mŭminyaki, tŭtapi pŭrampuan ini sudah mŭminyaki kakiku dŭngan minyak bahu bahuan. Sŭbab itu aku bŭrkata kapadamu, dosanya yang banyak itu tŭlah diampuni, kŭrna pŭrampuan itu mŭngasihi banyak; tŭtapi kapada siapa sŭdikit diampuni, iyalah mŭngasihi sŭdikit. Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Dosamu tŭlah diampuni. Adapun orang orang yang ada bŭrsama sama dŭngan dia dudok makan itu pun mŭmulailah bŭrkata kata dalam dirinya, Siapakah ini, dosa pun bulih diampuninya? Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Imanmu tŭlah mŭnulong dikau, pulanglah angkau dŭngan sŭjahtranya.

LUKAS 7:1-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah Yesus habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Yesus untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu. Ketika mendapatkan Yesus, mereka merayu kepada-Nya, “Dia wajar mendapat pertolongan-Mu, kerana dia mencintai bangsa kita dan telah mendirikan sebuah saumaah bagi kami.” Lalu Yesus pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Yesus, “Tuan, tidak usah Tuan menyusahkan diri kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, “Aku berkata kepadamu, Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.” Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh. Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; murid-murid-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya. Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu. Apabila Tuhan melihat balu itu, Dia berbelas kasihan terhadapnya lalu Dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.” Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Yesus berkata, “Hai pemuda, Aku berkata kepadamu — bangun!” Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Yesus mengembalikannya kepada ibunya. Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita!” dan “Allah telah mendatangi umat-Nya.” Khabar tentang Yesus ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya. Murid-murid Yohanes memaklumkan segala perkara ini kepadanya. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?” Apabila mereka datang kepada Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis itu menyuruh kami bertanya kepada Tuan, ‘Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?’ ” Pada masa itu, Yesus sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit, wabak dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta. Lalu Yesus menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula serta perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin. Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.” Setelah utusan-utusan Yohanes pulang, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, “Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin? Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Ketahuilah, orang yang berpakaian mewah dan hidup dalam kekayaan ada di istana. Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi. Tentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci: ‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’ Aku berkata kepadamu bahawa Yohanes itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.” Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Yesus. Mereka mengakui cara Allah adalah benar kerana mereka telah menerima baptisan Yohanes. Tetapi orang Farisi dan ahli-ahli Taurat enggan menerima baptisan Yohanes, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka. “Dengan apakah dapat Kubandingkan orang zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka? Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri: ‘Kami memainkan seruling untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap untukmu, tetapi kamu enggan menangis.’ Kerana Yohanes Pembaptis telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis.’ Ketika Anak Manusia datang, Dia makan dan minum lalu kamu berkata, ‘Lihatlah Dia ini: pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa.’ Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar oleh semua orang yang menerimanya.” Salah seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus masuk ke rumah orang Farisi itu lalu duduk bertelekan di meja. Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Yesus makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah kendi pualam berisi minyak wangi. Dia berdiri di belakang Yesus dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Yesus dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya. Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Yesus berkata-kata dalam hatinya, “Jika orang ini seorang nabi, tentulah Dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.” Yesus menjawabnya, “Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon berkata, “Ya Guru, katakanlah.” “Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus keping wang dinar dan seorang lagi lima puluh. Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?” Simon menjawab, “Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.” Yesus berkata kepadanya, “Betullah anggapanmu.” Lalu Yesus berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, “Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air untuk membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya. Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku. Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Dosa-dosamu telah diampunkan.” Mereka yang makan bersama Yesus berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan damai sejahtera.”