LUKAS 6:1-26

LUKAS 6:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya. Beberapa orang Farisi berkata, “Mengapa kamu melakukan apa yang dilarang oleh Taurat kita pada hari Sabat?” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke dalam Khemah Allah dan mengambil roti yang telah dipersembahkan kepada Allah, lalu memakannya. Kemudian dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya. Tetapi menurut Taurat kita, tidak sesiapa pun boleh makan roti itu kecuali para imam.” Lalu Yesus berkata, “Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat!” Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Berdirilah dan marilah ke depan.” Orang itu bangun lalu berdiri di situ. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?” Yesus memandang mereka semua, lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh. Tetapi mereka sangat marah dan mula berunding sesama sendiri tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus. Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. Mereka terdiri daripada Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot), Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat. Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut. Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan. Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua. Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata, “Berbahagialah kamu yang miskin; kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu yang lapar sekarang; kamu akan dikenyangkan! Berbahagialah kamu yang menangis sekarang; kamu akan tertawa! Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga. Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini, kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup! Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini, kerana kamu akan kelaparan! Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini, kerana kamu akan berdukacita dan menangis! Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.”

LUKAS 6:1-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA pada skali pŭrstua adalah pada hari sabtu yang kadua kumdian deripada yang pŭrtama, maka bŭrjalanlah Isa mŭlalui ladang ladang gandom, maka murid muridnya pun mŭmŭteklah akan gandom bŭrtangkie, lalu dimakannya sŭrta diramasnya akan dia ditangannya. Maka adalah sa’orang orang Farisia anu bŭrkata kapadanya, Mŭngapa kamu pŭrbuat yang haram dipŭrbuat dalam hari sabtu? Maka Isa mŭnjawab akan dia katanya, Tiadakah kamu mŭmbacha sŭbŭgini banyak pun, apa yang tŭlah dipŭrbuat ulih Daud, apabila iya sŭndiri dalam kŭlaparan, dan sagala marika itu yang ada bŭrsama sama dŭngan dia? Maka bagimana iya pŭrgi masok kŭdalam rumah Allah, dan tŭlah mŭngambil, dan mŭmakan roti pŭrsŭmbahan, dan dibrinya pula kapada orang orang bŭrsama sama dŭngan dia, yang haram dimakan, mŭlainkan bagie imam imam itu sahja? Maka kata Isa kapada marika itu, Adapun Anak manusia itu pun Tuhanlah bagie hari sabtu. Dan lagi pada skali pŭrstua pada suatu hari sabtu yang lain pun, maka masoklah iya kŭdalam kŭnisa lalu mŭngajar, maka adalah sa’orang disana mati tangannya kanan. Maka khatib khatib, dan orang Farisia mŭnjaga akan Isa kalau kalau iya mŭnyŭmbohkan pada hari sabtu, supaya bulih marika itu mŭndapat suatu jalan handak mŭnudohkan dia. Tŭtapi dikŭtahuinya fikiran marika itu, lalu bŭrkata kapada orang yang mati tangannya, Bangunlah sŭrta bŭrdiri ditŭngah tŭngah; maka bangunlah iya sŭrta bŭrdiri. Kumdian bŭrkatalah Isa kapada marika itu, Aku handak bŭrtanya kapada kamu suatu pŭrkara, halalkah bŭrbuat baik pada hari sabtu, atau bŭrbuat jahat? Mŭnulong jiwakah, atau mŭmbinasakan dia? Maka ditengoknya bŭrkliling kapada marika itu skalian, lalu katanya kapada orang itu, Hulorkanlah tanganmu. Maka dihulorkannya, maka tangannya pun pulanglah sŭmula spŭrti yang lain. Maka marika itu pun spŭrti gilalah sangat. Maka bŭrkatalah sa’orang dŭngan sa’orang, Apakah yang handak dipŭrbuatnya kapada Isa. ¶ Maka skali pŭrstua pada suatu masa itu, Isa pun pŭrgilah kluar kapada sa’buah gunong akan mŭminta doa, maka sŭmalam malaman itu adalah iya mŭminta doa kapada Allah. ¶ Shahadan maka apabila sianglah hari, maka dipanggilnyalah murid muridnya, maka dalam marika itu, dipilehnyalah dua blas orang yang dinamainya rasol rasol: Simon, iyalah juga yang digŭlar Petros, dan Andria saudaranya, Yakob, dan Yahya, Philipus, dan Bartholomew: Matthius dan Thomas, Yakob anak Alpheus, dan Simon yang bŭrgŭlar Zelotes: Dan Yahuda saudara Yakob, dan Judas Iskariot, iyalah yang tŭlah mŭnjadi pŭmbelot. ¶ Maka turonlah Isa bŭrsama sama dŭngan marika itu, sŭrta bŭrdirilah dipadang itu, maka pŭrhimponan murid muridnya, sŭrta banyak bŭlatantara orang orang itu yang kluar deri dalam sagala tanah Yahuda, dan Jerusalem, dan deripada sŭblah tŭpi laut Thor dan Sidon, yang tŭlah datang mŭnŭngar pŭrkataannya, dan akan disŭmbohkannya sagala pŭnyakitan marika itu. Maka orang orang yang tŭlah diusik ulih hantu itu skaliannya disŭmbohkannya. Maka sagala bŭlatantara itu pun mŭncharilah handak mŭnjamah akan dia, kŭrna adalah kluar khasiat deripadanya, dan disŭmbohkannyalah marika itu skalian. ¶ Maka diangkatnyalah matanya mŭmandang murid muridnya, maka katanya, Bŭrbahgialah kiranya kamu yang mŭskin, kŭrna kamulah ampunya krajaan Allah. Bŭrbahgialah kiranya bagie kamu yang lapar skarang, kŭrna kamu akan dikŭnyangkan. Bŭrbahgialah kamu yang mŭnangis skarang, kŭrna kamu kŭlak akan tŭrtawa. Bŭrbahgialah kiranya kamu apabila dibŭnchikan orang, dan apabila marika itu kŭlak mŭnchŭriekan kamu deripada pŭrhimponannya, dan akan diumpatnya kamu, dan ditolaknya namamu spŭrti jahat adanya, ulih sŭbab Anak manusia datangnya. Bŭrsuka chitalah kamu pada hari itu, dan mŭlompatlah kamu sŭbab gŭmar, kŭrna sŭsungguhnya fahalamu bŭsarlah dalam shorga, kŭrna dŭmkianlah halnya dipŭrbuat ulih nenek moyang marika itu kapada nabi nabi. Tŭtapi karamlah bagie kamu yang kaya! kŭrna kamu tŭlah mŭnŭrima kŭsŭnangan. Karamlah kiranya bagie kamu yang ada pŭnoh! kŭrna angkau kŭlak akan lapar. Karamlah bagie kamu yang tŭrtawa skarang! kŭrna angkau kŭlak akan bŭrduka chita dan mŭnangis. Karamlah bagiemu apabila sagala orang kŭlak akan bŭrtutor baik deri halmu! kŭrna dŭmkianlah tŭlah dipŭrbuat ulih nenek moyang marika itu kapada nabi nabi dusta.

LUKAS 6:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari Sabat Yesus berjalan melalui ladang gandum dan murid-murid-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya. Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan mereka yang mengikutinya berasa lapar: bagaimana dia masuk ke dalam Rumah Allah lalu makan roti persembahan serta memberikan roti itu kepada mereka yang mengikutinya, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu?” Seterusnya Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.” Pada suatu hari Sabat yang lain, Yesus masuk ke saumaah lalu mengajar di situ. Di situ ada seorang yang lumpuh tangan kanannya. Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, “Bangunlah dan berdiri di sini.” Orang itu pun bangun dan berdiri di situ. Yesus berkata kepada mereka, “Aku bertanya kepadamu, manakah yang wajar dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Yesus memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu langsung melakukannya dan tangannya terus sembuh. Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dilakukan terhadap Yesus. Pada masa itu Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah. Setelah hari siang, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul: Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas saudaranya, Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot, Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pengkhianat. Yesus turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata. Di situ terdapat sebilangan besar daripada murid-Nya dan ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Yerusalem dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon yang datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh jahat turut datang dan mereka juga disembuhkan. Semua orang cuba menyentuh Yesus kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua. Yesus memandang murid-murid-Nya lalu berkata: “Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah. Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dipuaskan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria. Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Anak Manusia. Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melompatlah kegembiraan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Begitu jugalah diperlakukan nenek moyang mereka terhadap para nabi. Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang. Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak. Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.”