LUKAS 5:4-10
LUKAS 5:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.” “Guru,” jawab Simon, “sepanjang malam kami berjerih tetapi tidak menangkap apa-apa pun! Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala.” Mereka menebarkan jala, lalu mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak. Oleh itu mereka minta pertolongan rakan-rakan di perahu lain. Mereka memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam. Apabila Simon nampak apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus sambil berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!” Simon dan semua orang yang bersama-sama dia kagum melihat banyaknya ikan yang dijala oleh mereka. Demikian juga halnya dengan rakan Simon yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.”
LUKAS 5:4-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun sŭtlah sudah iya bŭrkata kata, maka katanya kapada Simon, Sorongkanlah pŭrahu ini kapada tŭmpat dalam, buanglah pukatmu tangkap ikan. Maka jawab Simon sŭrta bŭrkata kapadanya, Tuhan, sudahlah kami lŭlah sŭmalam malaman ini suatu pun tiada dapat, kahandatilah, sŭbab pŭrkataan Tuhan, bulihlah hamba buang pukat ini. Maka apabila sudah dibuang, dilengkongnya tŭrlalu sangat banyak ikan, maka pŭchahlah pukat marika itu. Maka dilambie ulih marika itu akan kawan kawannya yang ada dalam pŭrahu lain, supaya marika itu datang mŭnulong dia, maka datanglah marika itu, diisilah dua buah pŭrahu itu pŭnoh ikan, sampielah hampir karam. Apabila dilihat Simon Petros itu, maka jatohlah iya dilutot Isa, katanya, Undorlah deripadaku, kŭrna aku ini sa’orang yang bŭrdosa, ya Tuhan. Kŭrna Simon dan sagala orang yang ada bŭrsama sama dungan dia tŭrchŭnganglah, sŭbab mŭlihat banyak ikan akan ditangkapnya itu. Maka dŭmkianlah juga Yakob dan Yahya, anak Zabdi yang tŭlah bŭrakan dŭngan Simon. Maka bŭrkatalah Isa kapada Simon, Janganlah takot, kŭrna deripada masa ini angkau kŭlak akan mŭnangkap orang.
LUKAS 5:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.” Simon menjawab, “Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Tetapi, kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala.” Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak. Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam. Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus dan berkata, “Tinggalkan hamba, ya Tuhan, kerana hamba seorang yang berdosa!” Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka. Begitu juga Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!”