LUKAS 5:12-16
LUKAS 5:12-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.” Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa.
LUKAS 5:12-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Isa ada dalam sa’buah nŭgri anu, maka sŭsungguhnya adalah sa’orang pŭnoh dŭngan kusta, apabila dilihatnya Isa, maka sujudlah iya kabumi, sŭrta minta kapadanya, katanya, Tuhan, jikalau angkau mahu bulihlah angkau mŭnyuchikan aku. Maka dihulorkannyalah tangannya, lalu dijamahnya akan dia, katanya, Baiklah, jadilah angkau suchi. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga kusta itu pun tŭrbanglah deripadanya. Maka dipintanya kapadanya, Janganlah katakan kapada sa’orang jua pun, mŭlainkan pŭrgilah unjokkan dirimu kapada imam, dan buatlah korban, kŭrna angkau sudah suchi, spŭrti pŭsanan Musa, akan mŭnjadi saksi kapada marika itu. Tŭtapi makinlah lebih pŭchah warta itu bŭrkliling deri halnya. Maka banyaklah bŭlatantara datang bŭrkampong mŭnŭngar, dan akan disŭmbohkannya pŭnyakit pŭnyakitnya. ¶ Maka undorlah Isa kapada padang itu, lalu mŭminta doa.
LUKAS 5:12-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu hari Yesus berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Yesus, dia meniarap lalu merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Lalu Yesus pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga, penyakit kustanya hilang. Yesus menyuruhnya, “Jangan beritahu sesiapa pun hal ini tetapi pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.” Akan tetapi, berita tentang Yesus tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar-Nya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa.