LUKAS 24:17-27
LUKAS 24:17-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?” “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi.
LUKAS 24:17-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka katanya kapada marika itu, Apa macham pŭrtutoran ini kamu sa’orang dŭngan sa’orang, sambil kamu bŭrjalan dan bŭrsusah? Maka adalah sa’orang deripada marika itu yang bŭrnama Kleophas mŭnjawab, katanya kapadanya, Angkau sa’orang dagang sahjakah dalam Jerusalem, tiada mŭngŭtahui akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi disana pada masa ini? Maka katanya kapada marika itu, Apa pŭrkara pŭrkara itu? Maka kata marika itu kapadanya, Derihal Isa orang Nazareth, sa’orang nabi yang bŭrkwasa dalam pŭrbuatan, dan pŭrkataannya dihadapan Allah dan sagala kaum itu. Maka bagimana kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu kami tŭlah mŭnyŭrahkan dia kapada hukum mati dibunoh, dan tŭlah disalibkan dia. Tŭtapi kami tŭlah haraplah, maka iyalah yang akan patut mŭnŭbus Israil, maka bŭrtambah pula hari ini hari yang katiga sŭmŭnjak pŭrkara pŭrkara itu tŭlah jadi. Bahkan maka pŭrampuan pŭrampuan anu pun deripada kawan kami, mŭmbuat kami hieran, yang tŭlah pŭrgi pagi pagi dikubor itu. Maka apabila tiada didapati mayatnya, datanglah marika itu katanya, Ada pula dia orang mŭlihat suatu pŭnglihatan mŭliekat mŭliekat yang tŭlah bŭrkata iya tŭlah hidop. Maka orang orang anu itu yang ada bŭrsama sama dŭngan kami pŭrgilah kakubor itu; maka didapatinya sungguh spŭrti pŭrkataan pŭrampuan pŭrampuan itu, tŭtapi marika itu tiada mŭlihat akan Isa. Sŭtlah itu kata Isa kapada marika itu, Hie bodoh dan lŭmah hati, sŭbab sŭgan akan pŭrchaya sagala pŭrkara yang tŭlah dikatakan ulih nabi nabi. Bukankah patut Almasih itu akan mŭrasai pŭrkara pŭrkara ini, sŭrta masok kŭdalam kŭmuliannya? Maka pŭrmulaannya deri Musa dan sagala nabi, iya tŭlah mŭngartikan kapada marika itu dalam sagala kitab itu, akan pŭrkara pŭrkara derihalnya sŭndiri.
LUKAS 24:17-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?” Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.” Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?” Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.