LUKAS 24:13-35

LUKAS 24:13-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?” “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi. Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?” Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!” Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti.

LUKAS 24:13-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka sŭsungguhnya dua orang deripada marika itu pŭrgi pada hari itu juga kapada suatu duson yang bŭrnama Imaus, yang ada deri Jerusalem kira kira tujoh mil jauhnya. Maka bŭrtutorlah marika itu bŭrsama sama akan sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku itu. Pada skali pŭrstua, maka sŭmŭntara marika itu bŭrchakap bŭrsama sama sŭrta bŭrbantah, maka Isa pun sŭndiri datang hampir sŭrta bŭrjalan dŭngan marika itu. Maka marika itu mŭlihat akan dia, tŭtapi tiada dapat dikŭnalnya. Maka katanya kapada marika itu, Apa macham pŭrtutoran ini kamu sa’orang dŭngan sa’orang, sambil kamu bŭrjalan dan bŭrsusah? Maka adalah sa’orang deripada marika itu yang bŭrnama Kleophas mŭnjawab, katanya kapadanya, Angkau sa’orang dagang sahjakah dalam Jerusalem, tiada mŭngŭtahui akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi disana pada masa ini? Maka katanya kapada marika itu, Apa pŭrkara pŭrkara itu? Maka kata marika itu kapadanya, Derihal Isa orang Nazareth, sa’orang nabi yang bŭrkwasa dalam pŭrbuatan, dan pŭrkataannya dihadapan Allah dan sagala kaum itu. Maka bagimana kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu kami tŭlah mŭnyŭrahkan dia kapada hukum mati dibunoh, dan tŭlah disalibkan dia. Tŭtapi kami tŭlah haraplah, maka iyalah yang akan patut mŭnŭbus Israil, maka bŭrtambah pula hari ini hari yang katiga sŭmŭnjak pŭrkara pŭrkara itu tŭlah jadi. Bahkan maka pŭrampuan pŭrampuan anu pun deripada kawan kami, mŭmbuat kami hieran, yang tŭlah pŭrgi pagi pagi dikubor itu. Maka apabila tiada didapati mayatnya, datanglah marika itu katanya, Ada pula dia orang mŭlihat suatu pŭnglihatan mŭliekat mŭliekat yang tŭlah bŭrkata iya tŭlah hidop. Maka orang orang anu itu yang ada bŭrsama sama dŭngan kami pŭrgilah kakubor itu; maka didapatinya sungguh spŭrti pŭrkataan pŭrampuan pŭrampuan itu, tŭtapi marika itu tiada mŭlihat akan Isa. Sŭtlah itu kata Isa kapada marika itu, Hie bodoh dan lŭmah hati, sŭbab sŭgan akan pŭrchaya sagala pŭrkara yang tŭlah dikatakan ulih nabi nabi. Bukankah patut Almasih itu akan mŭrasai pŭrkara pŭrkara ini, sŭrta masok kŭdalam kŭmuliannya? Maka pŭrmulaannya deri Musa dan sagala nabi, iya tŭlah mŭngartikan kapada marika itu dalam sagala kitab itu, akan pŭrkara pŭrkara derihalnya sŭndiri. Maka hampirlah marika itu akan duson yang ditŭmpat dia orang handak pŭrgi; maka Isa mŭmbuat buat spŭrti iya handak pŭrgi jauh lagi. Tŭtapi dipinta sangat sangat ulih marika itu akan dia, katanya, Tinggallah dŭngan kami, kŭrna hari sudah pŭtang, malam pun sudah sampie; maka pŭrgilah iya tinggal bŭrsama sama dŭngan marika itu. Maka skali pŭrstua tatkala iya dudok makan dŭngan marika itu, diambil roti lalu dibŭrkatinya sŭrta dipŭchahkannya maka dibrinya kapada marika itu. Maka tŭrbukalah mata marika itu, lalu dikŭnal marika itu akan dia, maka raiblah iya deripada pŭnglihatan marika itu. Maka kata marika itu sa’orang kapada sa’orang, bukankah tŭrgalak hati kita sŭmŭnjak iya bŭrkata kata dŭngan kita dijalan, dan sŭmŭnjak dibukakannya bagie kami kitab kitab itu. Maka bŭrbangkitlah marika itu pada waktu itu juga lalu kŭmbalilah kaJŭrusalem; maka didapatinya orang yang kasŭblas itu bŭrhimpun sama sama, dan orang orang itu yang ada dŭngan marika itu. Katanya sungguh Tuhan itu tŭlah bŭrbangkit pula, dan tŭlah kŭlihatan kapada Simon. Maka dikatakanlah ulih marika itu pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi dijalan, dan bagimana dia orang tŭlah mŭngŭtahui deri halnya dalam mŭmŭchahkan roti.

LUKAS 24:13-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem. Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. Mereka nampak Yesus tetapi mereka tidak mengenali Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?” Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.” Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?” Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain. Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, “Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.” Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?” Mereka terus bangun dan kembali ke Yerusalem. Mereka mendapati sebelas murid itu berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Sesungguhnya, Tuhan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!” Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Yesus semasa Dia membahagikan roti.