LUKAS 24:1-53
LUKAS 24:1-53 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka. Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus. Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’ ” Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku. Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?” “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi. Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?” Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!” Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti. Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sejahteralah kamu!” Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu? Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.” Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka. Kemudian Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur mesti berlaku.” Kemudian Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga. Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem. Kamulah saksi semua perkara ini. Aku akan mengirim apa yang telah dijanjikan oleh Bapa kepada kamu. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kuasa daripada Allah turun kepada kamu.” Kemudian Yesus membawa mereka ke luar kota sehingga ke Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. Sementara Yesus memberkati mereka, Dia terangkat ke syurga, lalu meninggalkan mereka. Mereka sujud menyembah Dia, lalu balik ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka sentiasa di Rumah Tuhan dan memuji Allah.
LUKAS 24:1-53 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA adapun pada hari yang pŭrtama ahad itu, pagi pagi hari, datanglah marika itu kapada kubor itu mŭmbawa rŭmpah rŭmpah itu yang tŭlah disŭdiakannya, dan orang yang lain lain bŭrsama sama dŭngan dia. Maka didapati ulih marika itu batu itu tŭlah tŭrgolek deri pada kubor itu. Maka masoklah marika itu, maka tiadalah didapatinya mayat Tuhan Isa. Maka skali pŭrstua tŭngah marika itu dalam bŭbrapa wasangka disitu, hieran, tŭrdirilah dua orang dŭkat marika itu, dŭngan baju yang bŭrchahya chahya. Maka tŭngah marika itu kŭtakotan, ditundokkannya mukanya sampie kabumi, kata dua orang itu kapadanya, Mŭngapa kamu mŭnchari yang hidop diantara yang mati itu? Iya tiada disini, sudahlah iya bŭrbangkit; ingat, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadamu, apabila ada iya lagi dalam Galilia. Katanya, Anak manusia itu dapat tiada akan disŭrahkan kŭdalam tangan orang yang bŭrdosa, maka akan disalibkan, dan pada hari yang katiga bŭrbangkit pula. Maka tŭringatlah marika itu akan pŭrkataannya. Lalu pulanglah marika itu deri kubor, sŭrta mŭngatakan sagala pŭrkara itu kapada yang kasŭblas orang itu, sŭrta kapada sagala yang lain lain. Maka iya itu Mŭriam Magdalani, dan Johanna, dan Mŭriam ibu Yakob, dan pŭrampuan pŭrampuan lain yang ada dŭngan marika itu yang tŭlah bŭrkata pŭrkara pŭrkara ini kapada rasol rasol. Adapun pŭrkataan marika itu mŭnjadi spŭrti pŭrkataan yang bukan bukan kapada rasol rasol itu, maka tiadalah marika itu pŭrchaya akan dia. Sŭtlah itu maka bŭrbangkitlah Petros, sŭrta bŭrlari pŭrgi kakubor itu, lalu mŭnjungkok kŭbawah, dilihatnya akan kain khasa ada tŭrlŭtak sahja; maka kŭmbalilah iya dŭngan hieran dalam dirinya sŭndiri derihal pŭrkara yang tŭlah jadi itu. ¶ Maka sŭsungguhnya dua orang deripada marika itu pŭrgi pada hari itu juga kapada suatu duson yang bŭrnama Imaus, yang ada deri Jerusalem kira kira tujoh mil jauhnya. Maka bŭrtutorlah marika itu bŭrsama sama akan sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku itu. Pada skali pŭrstua, maka sŭmŭntara marika itu bŭrchakap bŭrsama sama sŭrta bŭrbantah, maka Isa pun sŭndiri datang hampir sŭrta bŭrjalan dŭngan marika itu. Maka marika itu mŭlihat akan dia, tŭtapi tiada dapat dikŭnalnya. Maka katanya kapada marika itu, Apa macham pŭrtutoran ini kamu sa’orang dŭngan sa’orang, sambil kamu bŭrjalan dan bŭrsusah? Maka adalah sa’orang deripada marika itu yang bŭrnama Kleophas mŭnjawab, katanya kapadanya, Angkau sa’orang dagang sahjakah dalam Jerusalem, tiada mŭngŭtahui akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi disana pada masa ini? Maka katanya kapada marika itu, Apa pŭrkara pŭrkara itu? Maka kata marika itu kapadanya, Derihal Isa orang Nazareth, sa’orang nabi yang bŭrkwasa dalam pŭrbuatan, dan pŭrkataannya dihadapan Allah dan sagala kaum itu. Maka bagimana kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu kami tŭlah mŭnyŭrahkan dia kapada hukum mati dibunoh, dan tŭlah disalibkan dia. Tŭtapi kami tŭlah haraplah, maka iyalah yang akan patut mŭnŭbus Israil, maka bŭrtambah pula hari ini hari yang katiga sŭmŭnjak pŭrkara pŭrkara itu tŭlah jadi. Bahkan maka pŭrampuan pŭrampuan anu pun deripada kawan kami, mŭmbuat kami hieran, yang tŭlah pŭrgi pagi pagi dikubor itu. Maka apabila tiada didapati mayatnya, datanglah marika itu katanya, Ada pula dia orang mŭlihat suatu pŭnglihatan mŭliekat mŭliekat yang tŭlah bŭrkata iya tŭlah hidop. Maka orang orang anu itu yang ada bŭrsama sama dŭngan kami pŭrgilah kakubor itu; maka didapatinya sungguh spŭrti pŭrkataan pŭrampuan pŭrampuan itu, tŭtapi marika itu tiada mŭlihat akan Isa. Sŭtlah itu kata Isa kapada marika itu, Hie bodoh dan lŭmah hati, sŭbab sŭgan akan pŭrchaya sagala pŭrkara yang tŭlah dikatakan ulih nabi nabi. Bukankah patut Almasih itu akan mŭrasai pŭrkara pŭrkara ini, sŭrta masok kŭdalam kŭmuliannya? Maka pŭrmulaannya deri Musa dan sagala nabi, iya tŭlah mŭngartikan kapada marika itu dalam sagala kitab itu, akan pŭrkara pŭrkara derihalnya sŭndiri. Maka hampirlah marika itu akan duson yang ditŭmpat dia orang handak pŭrgi; maka Isa mŭmbuat buat spŭrti iya handak pŭrgi jauh lagi. Tŭtapi dipinta sangat sangat ulih marika itu akan dia, katanya, Tinggallah dŭngan kami, kŭrna hari sudah pŭtang, malam pun sudah sampie; maka pŭrgilah iya tinggal bŭrsama sama dŭngan marika itu. Maka skali pŭrstua tatkala iya dudok makan dŭngan marika itu, diambil roti lalu dibŭrkatinya sŭrta dipŭchahkannya maka dibrinya kapada marika itu. Maka tŭrbukalah mata marika itu, lalu dikŭnal marika itu akan dia, maka raiblah iya deripada pŭnglihatan marika itu. Maka kata marika itu sa’orang kapada sa’orang, bukankah tŭrgalak hati kita sŭmŭnjak iya bŭrkata kata dŭngan kita dijalan, dan sŭmŭnjak dibukakannya bagie kami kitab kitab itu. Maka bŭrbangkitlah marika itu pada waktu itu juga lalu kŭmbalilah kaJŭrusalem; maka didapatinya orang yang kasŭblas itu bŭrhimpun sama sama, dan orang orang itu yang ada dŭngan marika itu. Katanya sungguh Tuhan itu tŭlah bŭrbangkit pula, dan tŭlah kŭlihatan kapada Simon. Maka dikatakanlah ulih marika itu pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi dijalan, dan bagimana dia orang tŭlah mŭngŭtahui deri halnya dalam mŭmŭchahkan roti. ¶ Maka tŭngah marika itu bŭrkata kata dŭmkian, Isa pun sŭndiri tŭrdiri ditŭngah tŭngah marika itu, sŭraya bŭrkata kapada marika itu, Sŭjahtralah kiranya atas kamu. Tŭtapi marika itu kŭtakotan sŭrta dahshat, maka pada sangka dia orang tŭlah mŭlihat sa’orang jin. Maka katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu mŭnjadi susah, dan mŭngapakah bŭrbangkit fikiran dalam hatimu? Tengoklah tanganku, dan kakiku, maka inilah aku sŭndiri; jamahlah akan daku; lihatlah, kŭrna jin itu tiada ada bŭrdaging, dan bŭrtulang spŭrti yang angkau lihat ada padaku. Maka apabila sudah iya bŭrkata kata itu, lalu diunjokkannya tangannya, dan kakinya kapada marika itu. Maka sŭmŭntara marika itu bŭlom bulih pŭrchaya, ulih sŭbab suka chitanya, dan hierannya itu, maka kata Isa kapada marika itu, Adakah barang makanan kapada kamu disini? Maka dibri ulih marika itu sa’kŭping ikan goring, dan sarang lŭbah bŭrmadu. Maka diambilnya, sŭraya dimakannya dihadapan marika itu. Maka katanya kapada marika itu, Adapun pŭrkataan inilah yang kukatakan kapada kamu sŭmŭntara aku lagi dŭngan kamu, iya itu sagala pŭrkara pŭrkara itu dapat tiada akan digŭnapi, yang tŭlah tŭrtulis dalam Tauret Musa, dan dalam surat nabi nabi, dan dalam Mazmor derihal aku. Sŭtlah itu dibukakannyalah akal marika itu, supaya bulih mŭngarti akan kitab itu. Maka katanya kapada marika itu, Dŭmkianlah tŭlah tŭrtulis, dan dŭmkianlah patut Almasih itu akan mŭrasai, dan bŭrbangkit deripada mati pada hari yang katiga. Maka taubat, dan kalŭpasan deripada dosa patutlah dimashorkan dŭngan namanya diantara sagala bangsa, mulai diJerusalem. Maka kamulah ada saksi derihal pŭrkara pŭrkara ini. ¶ Maka sŭsungguhnya aku sampiekan pŭrjanjian Ayahku ka’atas kamu, tŭtapi nantilah kamu dalam nŭgri Jerusalem sampie kamu bŭrulih kwasa deripada kŭtinggian. ¶ Maka diiringkannya akan marika itu kluar sŭjauh kaBŭthani, sŭrta diangkatnya tangannya, lalu dibŭrkatinya marika itu. Maka skali pŭrstua sŭmŭntara dibŭrkatinya akan marika itu, maka bŭrchŭrielah iya deri pada marika itu, lalu tŭrangkatlah iya kŭlangit. Maka sujudlah marika itu akan dia, lalu kŭmbalilah kaJerusalem dŭngan suka chita sangat. Maka slalulah marika itu dalam ka’abah mŭmuji, dan mŭnguchap shukor akan Allah: Amin.
LUKAS 24:1-53 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada hari pertama minggu itu ketika masih awal pagi lagi, mereka pun pergi ke makam dengan membawa ramuan rempah yang telah disediakan mereka. Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam. Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Tuhan Yesus tiada lagi. Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati? Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: ‘Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ” Mereka pun teringatlah akan kata-kata Yesus. Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Mereka, iaitu Maria orang Magdalena, Yohana, Maria, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu. Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka. Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku. Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem. Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. Mereka nampak Yesus tetapi mereka tidak mengenali Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?” Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.” Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?” Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain. Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, “Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.” Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?” Mereka terus bangun dan kembali ke Yerusalem. Mereka mendapati sebelas murid itu berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Sesungguhnya, Tuhan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!” Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Yesus semasa Dia membahagikan roti. Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Yesus sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu!” Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu? Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.” Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Yesus pun bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua. Kemudian, Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan kitab Mazmur pasti akan berlaku.” Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. Dia berkata lagi, “Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem. Kamulah saksi segala perkara ini. Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi.” Kemudian Yesus membawa murid-murid-Nya ke luar kota sehingga Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka. Murid-murid-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka menumpukan masa di Bait Suci untuk memuji Allah.