LUKAS 23:38-43
LUKAS 23:38-43 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.”
LUKAS 23:38-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka suatu pŭnudohan pun tŭlah dituliskan diatasnya dŭngan huruf Grika dan Rom dan Ibrani: INILAH DIA RAJA ORANG YAHUDI. ¶ Maka adalah sa’orang deripada orang orang dŭrhaka yang tŭlah digantong itu, mŭnista akan dia katanya, Jikalau angkau sungguh Almasih lŭpaskanlah akan dirimu sŭrta kami. Tŭtapi yang lain mŭnjawab sŭrta ditŭngkingnya akan dia katanya, Tiadakah angkau takot akan Allah, sŭdang angkau kŭna akan sama hukuman? Maka kami ini sungguh dŭngan sŭpatut patutnya, kŭrna kami mŭnŭrima akan balasan yang patut atas pŭrbuatan kami, tŭtapi orang itu suatu pun tiada pŭrbuatannya yang salah. Maka katanya kapada Isa, Tuhan, ingatlah akan daku apa bila angkau masok dalam krajaanmu kŭlak. Maka kata Isa padanya, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, pada hari ini angkau bŭrsama sama dŭngan aku dalam fŭrdus.
LUKAS 23:38-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”