LUKAS 23:13-25

LUKAS 23:13-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai. Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya. Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.” [ Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.] Semua orang di situ berseru, “Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!” ( Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai. Tetapi mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, “Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya.” Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya. Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus sesuai dengan kehendak orang ramai. Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati.

LUKAS 23:13-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka apabila tŭlah dipanggil ulih Pilatus kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu kaum itu bŭrsama sama; Katanya kapada marika itu, Kamu tŭlah mŭmbawa orang ini kapadaku spŭrti sa’orang yang mŭngachau akan kaum ini, maka sŭsungguhnya aku tŭlah mŭmreksai akan dia dihadapan kamu, tiada kudapat salahnya orang ini derihal pŭrkara pŭrkara yang kamu tudoh akan dia. Tidak, mŭskipun Herodis, kŭrna aku sudah hantarkan kamu kapadanya, maka sŭsungguhnya suatu pun tiada salahnya yang patut dihukumkan dia dŭngan hukum mati. Maka sŭbab itu bulihlah aku sŭsah akan dia, sŭrta mŭlŭpaskan dia. Kŭrna dapat tiada patutlah Pilatus mŭlŭpaskan sa’orang kapada marika itu dalam hari raya itu. Maka bŭrtriaklah marika itu skaliannya skali gus katanya, Nyahlah orang ini, dan lŭpaskanlah bagie kami Bŭraba; Iya itu kŭrna deri hal dŭrhaka yang tŭlah dipŭrbuat dalam nŭgri, dan kŭrna mŭmbunoh orang, iya tŭlah dimasokkan kŭdalam pŭnjara. Maka sŭbab itu Pilatus handak mŭlŭpaskan Isa, bŭrkalah iya pula kapada marika itu. Tŭtapi marika itu bŭrtriak katanya, Salibkanlah dia! Salibkanlah dia! Maka katanya kapada marika itu kŭtiga kali, Mŭngapa, apakah jahat yang tŭlah dipŭrbuatnya? Aku tiada mŭndapat suatu sŭbab yang patut dibunoh akan dia, maka sŭbab itu bulihlah aku sŭsah dia, sŭrta mŭlŭpaskan dia pŭrgi. Maka dŭngan sŭgranya marika itu mŭminta dŭngan suara yang nyaring, supaya iya disalibkan, maka suara marika itu, dan suara kŭpala kŭpala imam mŭmbantunkan. Maka Pilatus pun mŭmbri hukum, supaya jadilah spŭrti pŭrmintaan marika itu. Maka dilŭpaskannya kapada marika itu orang yang kŭrna deri hal dŭrahka dan mŭmbunoh, tŭlah dimasokkan kŭdalam pŭnjara, dan yang tŭlah dipinta marika itu, mŭlainkan disŭrahkannya Isa kapada kahandak marika itu.

LUKAS 23:13-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai lalu berkata kepada mereka, “Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu. Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.” Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka. Tetapi semua orang berteriak, “Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.” (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi. Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: “Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.” Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Yesus disalib. Akhirnya, mereka berjaya. Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan. Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Yesus diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.