LUKAS 23:1-56

LUKAS 23:1-56 Alkitab Berita Baik (BM)

Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Yesus ke hadapan Pilatus. Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, “Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan dia mengaku diri sebagai Kristus, seorang raja.” Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.” Kemudian Pilatus berkata kepada para ketua imam dan orang ramai, “Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sehingga orang ini patut dihukum.” Tetapi mereka berulang kali berkata, “Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula.” Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, “Adakah orang ini orang Galilea?” Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem. Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun. Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat. Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus. Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan. Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai. Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya. Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.” [ Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.] Semua orang di situ berseru, “Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!” ( Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai. Tetapi mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, “Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya.” Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya. Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus sesuai dengan kehendak orang ramai. Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati. Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus. Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus. Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu. Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’ Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?” Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!” Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu. Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu. Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula. Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat.

LUKAS 23:1-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA sagala bŭlatantara deripada marika itupun bangunlah, lalu dibawanya akan Isa kapada Pilatus. Maka dimulainyalah ulih marika itu mŭnudoh akan dia, katanya, Kami tŭlah mŭndapat iya ini mŭngachaukan bangsa ini, dan mŭlarangkan mŭmbayar chukie kapada Kiesar; katanya iya sŭndiri Almasih, sa’orang raja. Maka ditanya ulih Pilatus akan dia katanya, Angkaukah raja orang Yahudi? maka jawabnya akan dia sŭrta katanya Angkau tŭlah bŭrkata itu. Sŭtlah itu maka kata Pilatus kapada kŭpala kŭpala Imam, dan kapada kaum itu, Aku tiada mŭndapat salahnya orang ini. Maka marika itu mŭnjadi tŭrlebih garang, katanya, Iya mŭnggalakkan kaum ini, mŭngajar bŭrkŭliling sagala tanah Yahuda, pŭrmulaannya deri tanah Galilia sampie katŭmpat ini. Maka apabila Pilatus mŭnŭngar deri hal Galilia, ditanyanya kalau orang ini, orang Galilia. Maka sŭrta dikŭtahuinya iya itu dibawah pŭrentah Herodis lalu disurohnya hantarkan kapadanya, kŭrna Herodis tŭlah ada pada masa itu diJerusalem. ¶ Maka apabila dilihat ulih Herodis akan Isa, maka iya pun suka chitalah sangat, kŭrna niatnya handak mŭlihat dia lama sudah, kŭrna iya tŭlah mŭnŭngar banyaklah pŭrkara pŭrkara deri halnya, maka haraplah Herodis handak mŭlihat barang mujizat yang diadakannya. Sŭtlah itu maka disualnyalah akan dia dŭngan bŭbrapa pŭrkataan; tŭtapi suatu pun tiada dijawabnya akan dia. Maka kŭpala kŭpala Imam dan khatib khatib bŭrdiri dŭngan kŭrasnya mŭnudoh akan dia. Maka Herodis sŭrta orang orang prangnya mŭnghinakan dia, dan mŭngolok olokkan dia sŭrta dipakiekannya suatu baju mulia; lalu disurohnya hantarkan akan dia kŭmbali kapada Pilatus. ¶ Maka pada hari itu juga Pilatus dan Herodis tŭlah mŭnjadi sahabat, kŭrna dahulu marika itu tŭlah bŭrmusoh antaranya. ¶ Maka apabila tŭlah dipanggil ulih Pilatus kŭpala kŭpala imam, dan pŭnghulu pŭnghulu kaum itu bŭrsama sama; Katanya kapada marika itu, Kamu tŭlah mŭmbawa orang ini kapadaku spŭrti sa’orang yang mŭngachau akan kaum ini, maka sŭsungguhnya aku tŭlah mŭmreksai akan dia dihadapan kamu, tiada kudapat salahnya orang ini derihal pŭrkara pŭrkara yang kamu tudoh akan dia. Tidak, mŭskipun Herodis, kŭrna aku sudah hantarkan kamu kapadanya, maka sŭsungguhnya suatu pun tiada salahnya yang patut dihukumkan dia dŭngan hukum mati. Maka sŭbab itu bulihlah aku sŭsah akan dia, sŭrta mŭlŭpaskan dia. Kŭrna dapat tiada patutlah Pilatus mŭlŭpaskan sa’orang kapada marika itu dalam hari raya itu. Maka bŭrtriaklah marika itu skaliannya skali gus katanya, Nyahlah orang ini, dan lŭpaskanlah bagie kami Bŭraba; Iya itu kŭrna deri hal dŭrhaka yang tŭlah dipŭrbuat dalam nŭgri, dan kŭrna mŭmbunoh orang, iya tŭlah dimasokkan kŭdalam pŭnjara. Maka sŭbab itu Pilatus handak mŭlŭpaskan Isa, bŭrkalah iya pula kapada marika itu. Tŭtapi marika itu bŭrtriak katanya, Salibkanlah dia! Salibkanlah dia! Maka katanya kapada marika itu kŭtiga kali, Mŭngapa, apakah jahat yang tŭlah dipŭrbuatnya? Aku tiada mŭndapat suatu sŭbab yang patut dibunoh akan dia, maka sŭbab itu bulihlah aku sŭsah dia, sŭrta mŭlŭpaskan dia pŭrgi. Maka dŭngan sŭgranya marika itu mŭminta dŭngan suara yang nyaring, supaya iya disalibkan, maka suara marika itu, dan suara kŭpala kŭpala imam mŭmbantunkan. Maka Pilatus pun mŭmbri hukum, supaya jadilah spŭrti pŭrmintaan marika itu. Maka dilŭpaskannya kapada marika itu orang yang kŭrna deri hal dŭrahka dan mŭmbunoh, tŭlah dimasokkan kŭdalam pŭnjara, dan yang tŭlah dipinta marika itu, mŭlainkan disŭrahkannya Isa kapada kahandak marika itu. Maka tŭngah dibawah ulih marika itu akan dia, lalu ditangkapnya sa’orang Serini, Simon namanya yang kluar deri nŭgri, maka dilŭtakkannya kayu salib itu atasnya supaya dipikulnya itu deri blakang Isa. ¶ Maka adalah mŭngikut akan dia itu tŭrlalu banyak orang dan pŭrampuan, yang ada bŭrdukachita dan mŭratapkan dia. Tŭtapi Isa bŭrpaling kapada marika itu katanya, Hie anak anak Jerusalem janganlah kamu mŭnangis sŭbab aku, mŭlainkan mŭnangiskanlah kŭrna dirimu sundiri dan kŭrna anak anakmu. Kŭrna sasungguhnya zaman kŭlak akan datang pada masa itu marika itu akan bŭrkata, Slamatlah kiranya mandol dan rahim rahim yang tiada pŭrnah mŭngandong, dan tetek yang tiada pŭrnah mŭmbri susu. Maka pada masa itu kŭlak, marika itu akan mŭmulai bŭrkata kapada gunong gunong, timpahlah ka’atas kami, dan kapada bukit bukit tudongkanlah akan kami. Kŭrna jikalau marika itu bŭrbuat pŭrkara pŭrkara ini dalam sa’puhon kayu muda, bŭtapa kŭlak akan jadi dalam yang tua? Maka adalah dua orang lain pun yang dŭrhaka dibawa orang bŭrsama sama dŭngan Isa yang handak dibunoh. Maka apabila sampielah marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Kalbari maka disanalah disalibkannya akan Isa dan orang orang yang dŭrhaka itu, sa’orang disŭblah kanan dan sa’orang disŭblah kiri. ¶ Sŭtlah itu kata Isa, Ayah ampunilah akan marika itu kŭrna tiada dikŭtahui marika itu apa yang dipŭrbuatnya. Maka dibahgi ulih marika itu pakiean Isa dŭngan mŭmbuang undi. Maka kaum kaum itu pun bŭrdirilah mŭmandang; maka pŭnghulu pŭnghulu pun bŭrsama sama dŭngan marika itu mŭnista akan dia katanya, Iya mŭlŭpaskan orang orang lain, biarlah dilŭpaskannya dirinya sŭndiri jikalau iya Almasih yang tŭlah tŭrpileh ulih Allah. Maka rayat rayat itu pun mŭngolok olok akan dia, datang kapadanya lalu dibrinya akan dia chuka; Sambil bŭrkata, Jikalau angkau raja orang orang Yahudi lŭpaskanlah dirimu sŭndiri. Maka suatu pŭnudohan pun tŭlah dituliskan diatasnya dŭngan huruf Grika dan Rom dan Ibrani: INILAH DIA RAJA ORANG YAHUDI. ¶ Maka adalah sa’orang deripada orang orang dŭrhaka yang tŭlah digantong itu, mŭnista akan dia katanya, Jikalau angkau sungguh Almasih lŭpaskanlah akan dirimu sŭrta kami. Tŭtapi yang lain mŭnjawab sŭrta ditŭngkingnya akan dia katanya, Tiadakah angkau takot akan Allah, sŭdang angkau kŭna akan sama hukuman? Maka kami ini sungguh dŭngan sŭpatut patutnya, kŭrna kami mŭnŭrima akan balasan yang patut atas pŭrbuatan kami, tŭtapi orang itu suatu pun tiada pŭrbuatannya yang salah. Maka katanya kapada Isa, Tuhan, ingatlah akan daku apa bila angkau masok dalam krajaanmu kŭlak. Maka kata Isa padanya, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, pada hari ini angkau bŭrsama sama dŭngan aku dalam fŭrdus. Maka adalah kira kira pada pukol duablas, maka tŭlah jadi gŭlap diatas bumi sampielah pada pukol tiga pŭtang. Maka matahari pun gŭlaplah, dan tirie ka’abah pun chareklah tŭngah tŭngahnya. ¶ Maka apabila bŭrtriaklah Isa dŭngan nyaring suara, katanya, Ayah, dalam tanganmulah aku sŭrahkan rohku; maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, maka putuslah nyawanya. Maka apabila dilihat ulih pŭnghulu sa’ratus orang apa yang tŭlah jadi itu, iya pun mŭmuliakan Allah, katanya, Sŭsungguhnya inilah sa’orang yang bŭnar. Maka sagala kaum itu yang datang bŭrsama sama handak mŭlihat itu, sŭtlah dilihatnyalah akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi itu, ditŭpoknya dadanya, lalu pulang. Maka sagala kŭnal kŭnalannya, dan pŭrampuan pŭrampuan yang mŭngikot akan dia deri Galilia, bŭrdirilah jauh jauh mŭlihatkan sagala pŭrkara ini. ¶ Maka sŭsungguhnya adalah sa’orang yang bŭrnama Yusof, orang bichara, iya itu sa’orang baik, lagi bŭnar. Maka orang inilah yang tiada mŭluluskan dalam mufakat pŭrbuatan marika itu; adalah iya itu orang Armethia, sa’buah nŭgri orang Yahudi, maka adalah iya sŭndiri pun mŭnantikan krajaan Allah. Maka pŭrgilah orang itu kapada Pilatus, dipintanya mayat Isa. Maka dituronkannya itu, sŭrta dikafannya dŭngan khasa, maka dibawanya itu kapada kubor yang tŭlah dipahat dalam batu, yang bŭlom pŭrnah disana dahulu orang bŭrtanam. Maka hari itu pun kŭlangkapan dan hari sabtu hampir sampie. Maka adapun pŭrampuan pŭrampuan pun yang tŭlah datang dŭngan dia deri Galilia itu mŭngikotlah diblakang, sŭrta dilihatnya kubor itu, dan bagimana mayat Isa tŭlah ditanam. Maka pulanglah marika ttu sŭrta mŭnyŭdiakan rŭmpah rŭmpah, dan minyak bahu bahuan, maka pada hari sabtu itu bŭrhŭntilah marika itu spŭrti hukumnya.

LUKAS 23:1-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Yesus menghadap Pilatus. Mereka mula menuduh Dia, “Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya Kristus, seorang raja!” Pilatus bertanya kepada Yesus, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah seperti katamu.” Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, “Aku tidak mendapati-Nya bersalah.” Tetapi mereka semakin mendesak, “Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.” Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Yesus seorang Galilea. Ketika Pilatus mengetahui Yesus berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Yesus dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Yerusalem. Apabila Herodes melihat Yesus, dia sangat gembira. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Yesus kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Lagipun, dia berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Yesus. Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus. Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu. Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai lalu berkata kepada mereka, “Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu. Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.” Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka. Tetapi semua orang berteriak, “Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.” (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi. Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: “Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.” Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Yesus disalib. Akhirnya, mereka berjaya. Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan. Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Yesus diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka. Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya. Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, “Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!’ Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbuslah kami!’ Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?” Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.” Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir. Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.” Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini. Terdapat seorang bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar. Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus. Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan. Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula. Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami