LUKAS 22:31-34,54-62
LUKAS 22:31-34 Alkitab Berita Baik (BM)
“Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!” Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”
LUKAS 22:54-62 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu.
LUKAS 22:31-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata Tuhan, Simon, Simon, sŭsungguhnya Shietan tŭlah mŭnghandaki mŭndapat dikau, supaya bulih ditapisnya dikau spŭrti gandom. Tŭtapi aku tŭlah mŭmintakan doa akan dikau, supaya imanmu jangan hilang, maka apabila kamu tŭlah bŭrbalek, tŭgohkanlah akan saudara saudaramu. Maka kata Petros kapada Isa, Tuhan, adalah aku sŭdia akan pŭrgi bŭrsama sama dikau, baik kŭdalam pŭnjara, baik kapada mati. Maka kata Isa, Aku bŭrkata kapadamu, Petros, ayam jantan tiada akan bŭrkokok pada hari ini, kalau sŭbŭlom tiga kali angkau bŭrsangkal, iya itu tiada angkau mŭngŭnal aku.
Injil Lukas 22:54-62 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭtlah itu ditangkap ulih marika itu akan Isa, sŭrta dihelakan dibawanya kŭrumah imam yang bŭsar, maka diikotlah ulih Petros jauh jauh. Maka apabila sudah marika itu mŭnyalakan suatu api ditŭngah halaman itu, maka dudoklah marika itu skalian bŭrsama sama, Petros pun dudoklah diantara marika itu. Maka dilihat ulih sa’orang dayang anu tŭngah Petros dudok dŭkat api itu, diamat amatinya akan dia, lalu katanya, Orang ini pun ada bŭrsama sama juga dŭngan dia. Maka bŭrsangkallah iya akan dia, katanya, Hie pŭrampuan, aku tiada kŭnal akan dia. Maka skutika lagi dilihat ulih orang lain akan dia, katanya, Angkau pun bŭsŭrta juga dŭngan dia. Maka kata Petros, Hie orang, bukannya aku. Maka adalah kira kira sa’jam lamanya, kumdian sa’orang lain mŭngatakan dŭngan tŭntunya, katanya, Dŭngan sŭbŭnarnya iya ini pun bŭrsama sama dŭngan dia, kŭrna iya ini sa’orang orang Galilia juga. Maka kata Petros, Hie orang, aku tiada tahu apa katamu. Maka skutika itu juga sŭmŭntara iya lagi bŭrkata kata maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka Tuhan bŭrpaling, lalu mŭmandang akan Petros. Maka Petros pun tŭringatlah akan pŭrkataan Tuhan itu, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadanya, Dahulu deripada ayam bŭrkokok, angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka Petros pŭrgilah kluar, lalu mŭnangislah iya amat sangat.
LUKAS 22:31-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.”
Lukas 22:54-62 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.