LUKAS 2:8-20

LUKAS 2:8-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat.

LUKAS 2:8-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka adalah dalam nŭgri itu juga gombala gombala kambing itu tinggal dalam padang, iya itu mŭnjaga akan kawan kawan kambingnya pada malam. Maka sŭsungguhnya datanglah mŭliekat Tuhan atas marika itu, dan kŭmuliaan Tuhan pun bŭrchayalah bŭrkliling marika itu, maka marika itu skalian kŭtakotanlah sangat. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu kapada marika itu, Janganlah takot, kŭrna sŭsungguhnya aku mŭmbawa kapada kamu khabar yang baik, yang mŭndatangkan kasukaan yang bŭsar, iya itu akan jadi kapada sagala kaum. Kŭrna kapada kamu tŭlah jadi pada hari ini dalam nŭgri Daud sa’orang Pŭnulong, maka iya itulah Almasih Tuhan itu. Maka inilah tandahnya kapada kamu, maka kamu akan mŭndapat kanak kanak itu bŭrbalot dŭngan kain bŭdong, tŭrlŭtak dalam suatu kandang. Maka sŭkunyung kunyung adalah disana bŭrsama sama dŭngan mŭliekat suatu bŭlatŭntara deri langit bŭrpasukan mŭmuji Allah; maka katanya, Pujilah akan Allah dalam kŭtinggiannya, dan sŭjahtralah diatas bumi, kŭbajikan bagie manusia. Sŭbarmula maka sŭtlah sudahlah mŭliekat itu kŭmbali deripada marika itu kŭlangit, maka bŭrkatalah gombala gombala itu sa’orang kapada sa’orang, Skarang biarlah kita pŭrgi mŭski pun kaBethliham, sŭrta mŭlihat pŭrkara yang tŭlah jadi, yang tŭlah dibri tahu ulih Tuhan kapada kita. Maka marika itu pun datanglah dŭngan gopohnya, maka didapatinya Mŭriam, dan Yusof, dan kanak kanak itu pun adalah bŭrbaring dalam kandang. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, dimashorkanlah ulih marika itu akan pŭrkataan yang tŭlah dikatakan kapadanya derihal kanak kanak itu. Maka sagala marika itu yang mŭnŭngar itu, hieranlah akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dikatakan ulih gombala gombala itu kapada marika itu. Tŭtapi ditarohlah ulih Mŭriam akan sagala pŭrkara itu dalam hatinya, sambil iya bŭrfikir fikir. Maka gombala gombala itu pun kŭmbalilah, sambil mŭmuliakan, dan mŭmuji Allah, sŭbab sagala pŭrkara yang tŭlah didŭngar, sŭrta dilihatnya, spŭrti yang tŭlah dikatakan kapadanya.

LUKAS 2:8-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.” Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung. Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya. Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.