LUKAS 2:41-52
LUKAS 2:41-52 Alkitab Berita Baik (BM)
Tiap-tiap tahun ibu bapa Yesus pergi ke Yerusalem untuk merayakan Perayaan Paska. Ketika Yesus berumur dua belas tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa. Sehabis perayaan itu mereka pulang, tetapi Yesus, anak itu, masih di Yerusalem. Ibu bapa-Nya tidak tahu. Mereka menyangka Dia bersama-sama rombongan itu. Setelah mereka berjalan sejauh sehari, barulah mereka mencari Dia antara sanak saudara dan kawan mereka. Tetapi mereka tidak menjumpai Yesus. Lalu mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari Dia. Pada hari ketiga mereka mendapati Yesus di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan. Semua orang yang mendengar Yesus hairan kerana jawapan-Nya bijak. Ibu bapa-Nya pun hairan melihat Dia. Ibu-Nya berkata kepada Dia, “Nak, mengapa berbuat seperti ini terhadap ayah dan emak? Cemas hati ayah dan emak mencari-Mu!” Yesus menjawab, “Mengapa mencari Aku? Tidakkah Aku harus di rumah Bapa-Ku?” Tetapi mereka tidak memahami jawapan Yesus. Setelah itu Yesus pulang bersama-sama mereka ke Nasaret dan taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan semua perkara ini di dalam hati. Yesus bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia.
LUKAS 2:41-52 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka pŭrgilah ayah bondanya ka‐Jerusalem pada tiap tiap tahun, pada hari raya langkah. Maka apabila datanglah asianya kapada dua blas tahun, pŭrgilah marika itu ka‐Jerusalem spŭrti adat hari raya itu. Maka apabila sudah marika itu mŭnggŭnapkan hari itu, tŭtkala marika itu pun kŭmbali, maka Isa, kanak kanak itu mŭninggalkan dirinya diblakang, dalam Jarusalem, maka Yusof dan bondanya pun tiadalah tahu itu. Tŭtapi ulih sŭbab sangka marika itu ada iya bŭrsama sama, maka pŭrgilah marika itu sŭjauh sa’hari pŭrjalanan; maka dicharilah ulih marika itu akan dia diantara kaum kŭlorganya, dan kŭnal kŭnalannya itu. Maka apabila tiadalah didapat ulih marika itu akan dia, bŭrbaliklah marika itu pula ka‐Jerusalem mŭnchari akan dia. Shahadan maka kumdian deripada tiga hari, maka didapatilah ulih marika itu akan dia dalam ka’abah, iya itu dudok ditŭngah tŭngah pŭndita pŭndita, mŭnŭngarkan pŭrkataannya, dan bŭrtanya sual sual kapadanya. Maka sagala orang yang mŭnŭngar akan pŭrkataannya itu pun ajaiblah akan pŭngŭtahuannya, dan jawab jawabnya. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, hieranlah; maka kata bondanya kapadanya, Anak, mŭngapakah angkau bŭrbuat laku kapada kami dŭmkian? Tengoklah bapamu, dan aku mŭnchari angkau dŭngan bŭrsusah susah. Maka katanya kapada marika itu, Bagimanakah kamu ini mŭnchari aku, ta’mahukah angkau yang aku handak bŭrbuat pŭkŭrjaan Ayahku? Maka tiadalah marika itu mŭngarti akan pŭrkataan yang dikatakannya kapada marika itu. Maka pŭrgilah iya bŭrsama sama dŭngan marika itu, lalu datanglah kaNazareth, sŭrta mŭna’lokkan dirinya kapada marika itu; tŭtapi bondanya mŭnarohlah sagala pŭrkataan ini dalam hatinya. Maka Isa pun bŭrtambah tambahlah hikmat, dan chŭrdeknya, dan bŭrulih kasihan Allah dan manusia.
LUKAS 2:41-52 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah. Ketika Yesus berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa. Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Yesus, anak mereka itu tertinggal di Yerusalem dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu. Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu, mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Yesus dalam kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka. Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari-Nya. Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Yesus di dalam Bait Suci. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan. Semua orang yang mendengar Yesus kagum akan pengertian dan jawapan-Nya. Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, “Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.” Lalu Yesus menjawab, “Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?” Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka. Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nazaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya. Yesus semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia.