LUKAS 2:21-24
LUKAS 2:21-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. Di dalam hukum Tuhan tertulis, “Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.” Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda.
LUKAS 2:21-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka apabila dŭlapan hari tŭlah gŭnaplah, supaya budak itu disunatkan, maka dinamai akan dia ISA, yang tŭlah dinamai dŭmkian ulih mŭliekat tŭrdahulu deripada iya lagi digandongkan dalam rahim. Maka apabila sudah lŭpas hari suchi maknya spŭrti hukum Musa itu, maka dibawalah ulih marika itu akan dia kanŭgri Jerusalem, handak dihadapkan kapada Tuhan. Spŭrti yang tŭrtulis dalam hukum Tuhan, Skalian laki laki yang kluar deri prot, iya itu akan disŭbot suchi kapada Tuhan. Dan akan dipŭrsŭmbahkan suatu korban spŭrti yang tŭlah tŭrsŭbot dalam hukum Tuhan, Sa’pasang tŭkukor, atau dua ekor anak mŭrpati.
LUKAS 2:21-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Yesus, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maria. Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Yesus ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.