LUKAS 2:1-12
LUKAS 2:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk Empayar Roma mendaftarkan diri untuk dibanci. Pembancian yang pertama dijalankan sewaktu Kirenius menjadi gabenor negeri Siria. Semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. Yusuf berangkat dari Nasaret di Galilea, lalu pergi ke Betlehem di Yudea, tempat lahir Raja Daud. Yusuf pergi ke sana kerana dia keturunan Raja Daud. Dia mendaftarkan diri bersama-sama Maria, tunangannya yang sedang mengandung. Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.”
LUKAS 2:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA pada skali pŭrstua pada zaman itu, kluarlah suatu hukum deri Kiesar Agustus, iya itu sagala dunia patutlah kŭna chukie. Adapun chukie itu tŭlah jadi deripada mula mula tŭtkala Kirenius mŭnjadi pŭmŭrentah di‐Syria. Maka sagala orang pun pŭrgilah masing masing kanŭgrinya akan dichukienya. Maka Yusof pŭrgilah deri Galilia, kluar deripada nŭgri Nazareth, kapada Yahuda, dalam nŭgri Daud, yang bŭrnama Bethliham; (kŭrna adalah iya itu klorga dan kŭturonan Daud.) Akan dichukienya dŭngan Mŭriam, tunangannya, tŭngah ada iya mŭngandong sarat. Hata maka dŭngan hal yang dŭmkian, sŭmŭntara ada marika itu disana, maka hari pun gŭnaplah yang patut pŭrampuan itu branak. Maka branaklah iya akan anaknya yang sulong sa’orang anak laki laki, maka dibungkusnya akan dia dŭngan kain bŭdong, lalu dibawanya masok kŭdalam kandang lŭmbu, kŭrna tiada ada bŭrtŭmpat pada marika itu dalam rumah mŭnompang. Maka adalah dalam nŭgri itu juga gombala gombala kambing itu tinggal dalam padang, iya itu mŭnjaga akan kawan kawan kambingnya pada malam. Maka sŭsungguhnya datanglah mŭliekat Tuhan atas marika itu, dan kŭmuliaan Tuhan pun bŭrchayalah bŭrkliling marika itu, maka marika itu skalian kŭtakotanlah sangat. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu kapada marika itu, Janganlah takot, kŭrna sŭsungguhnya aku mŭmbawa kapada kamu khabar yang baik, yang mŭndatangkan kasukaan yang bŭsar, iya itu akan jadi kapada sagala kaum. Kŭrna kapada kamu tŭlah jadi pada hari ini dalam nŭgri Daud sa’orang Pŭnulong, maka iya itulah Almasih Tuhan itu. Maka inilah tandahnya kapada kamu, maka kamu akan mŭndapat kanak kanak itu bŭrbalot dŭngan kain bŭdong, tŭrlŭtak dalam suatu kandang.
LUKAS 2:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci. Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri. Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil. Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan. Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.”