LUKAS 18:9-14
LUKAS 18:9-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik. Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’ Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
LUKAS 18:9-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka Isa bŭrkata akan pŭrumpamaan ini kapada orang orang anu yang harap akan dirinya sŭndiri, iyalah sahja bŭnar, dan dibŭnchikannya orang lain lain. Maka adalah dua orang masok kŭdalam ka’abah mŭminta doa, iya itu sa’orang orang Farisia, dan sa’orang orang mŭmŭgang chukie. Maka orang Farisia itu bŭrdiri, sambil mŭminta doa dŭmkian: Allah, aku mŭnguchap shukor akan dikau, yang aku ini tiada spŭrti orang lain, iya itu pŭrampas, atau tiada adil, atau pŭrsundalan, atau mŭski pun spŭrti orang mŭmŭgang chukie ini. Aku ini puasa dua kali sa’jŭmaat, dan aku mŭmbayar sa’puloh asa deripada sagala milekku. Maka orang yang mŭmŭgang chukie itu ada bŭrdiri jauh jauh, tiadalah iya sampie handak mŭnŭngadah kŭlangit, mŭlainkan ditŭpok tŭpoknya dadanya, katanya, Allah, kasihankanlah akan daku sa’orang bŭrdosa. Aku bŭrkata kapadamu, bahwa orang ini pulanglah karumahnya, iya itu dibŭnarkan tŭrlebih deripada orang lain itu, kŭrna barang siapa mŭmbŭsarkan dirinya itu, iya itu akan dihinakan, dan orang yang mŭrŭndahkan dirinya itu, maka iya itu akan dibŭsarkan.
LUKAS 18:9-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain: “Dua orang masuk ke dalam Bait Suci untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.’ Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ” “Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”