LUKAS 18:1-5
LUKAS 18:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun. Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. ‘Tolonglah saya menghadapi lawan saya,’ kata balu itu. Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, ‘Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun, tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!’ ”
LUKAS 18:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA bŭrkatalah iya kapada marika itu dŭngan suatu pŭrumpamaan, dŭmkian, Bahwa manusia itu patutlah slalu mŭminta doa, jangan bŭrlŭlah. Katanya, Maka adalah dalam sa’buah nŭgri sa’orang hakim yang tiada mŭnakoti akan Allah, atau mŭngindahkan manusia. Maka adalah sa’orang pŭrampuan janda dalam nŭgri itu, datanglah iya kapadanya, katanya, Balaskanlah halku dŭngan musohku itu. Maka sŭmŭntara itu hakim tiada mahu, tŭtapi kumdian bŭrfikirlah iya dalam hatinya, mŭski pun aku tiada takot akan Allah, atau mŭngindahkan manusia, Maka ulih sŭbab pŭrampuan ini mŭnyusahkan aku, maka aku akan sŭlŭsiekan dia, asal jangan iya datang slalu mŭmŭnatkan aku.
LUKAS 18:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa. Di kota itu juga ada seorang balu yang kerap kali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya. Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapa pun, tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’ ”